KUALA LUMPUR - Kemunculan calon muda dalam arena politik negara bukan perkara baharu atau ganjil, namun keputusan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempertaruhkan gadis berumur 21 tahun, Farzana Hayani Mohd Nasir sebagai calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, menyaksikan cerita berbeza.
Pemilihan mahasiswa di sebuah universiti awam (UA) itu, mencetuskan kekecohan dan menerima pelbagai maklum balas daripada masyarakat yang mempersoalkan faktor umur serta pengalaman politik dimiliki.
Bagi segelintir penyokong, mereka bukan menentang hak PKR untuk menentukan mana-mana calon diingini, tetapi Farzana Hayani dianggap terlalu mentah dalam menggalas tanggungjawab sebagai calon wakil rakyat di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai.
Mereka tertanya-tanya, cukup bersediakah dia berdepan ‘sepak terajang’ dunia politik, hentaman parti lawan atau menerima kritikan pedas netizen, terutama apabila bertanding atas tiket sebuah gabungan besar seperti PH.
Walaupun ketika ini dia memegang jawatan sebagai Ketua Srikandi PKR Melaka dan anggota Majlis Pimpinan Pusat Mahasiswa Keadilan Malaysia (MPK), pengalaman ditimba itu dianggap hanya sekelumit jika dibandingkan cabaran bakal dihadapi di pentas politik negara.
Namun, di sebalik keraguan dan pandangan terbabit, segelintir pihak dan netizen pula menyambut baik keputusan PKR mengetengahkan calon pilihan raya termuda dalam sejarah negara, yang disifatkan sebagai usaha membentuk barisan pelapis Malaysia lebih muda dan segar.
“Semoga saudari @_nananasir (Farzana Hayani) menjadi pilihan di Sungai Rambai. Kita perlukan lebih ramai anak muda yang lantang dan berdisiplin untuk pimpin negeri serta kawasan kita,” ciap Twitter Negeri Melaka menerusi akaun @twt_melaka.
“Ini lah jenis wakil yang patut diberikan peluang, bukan katak tua yang kaki main politik saja,” ciap pula pengguna lain.
“Boleh. Tiada peruntukan undang-undang yang melarang pelajar untuk menjadi wakil rakyat. Yang pasti jangan berkempen dalam kampus dengan menggunakan nama institusi,” ciap @ameer_fatah ketika menjawab persoalan sama ada seorang mahasiswa boleh menceburkan diri sebagai calon pilihan raya.

Sementara itu, Pengarah Himpunan Mahasiswa Bangkit 2021, Muhammad NurSyahmi Shaare menganggap, pendekatan diambil PKR untuk mengetengahkan calon muda dan ‘segar’ seperti Farzana Hayani, sebagai usaha baik dalam memperjuangkan kepentingan rakyat.
Pemilihan individu berkenaan, katanya, menunjukkan tindakan berani mahasiswa dalam berpolitik pada usia muda.
Bagaimanapun, pemilihan terbabit menimbulkan sedikit kebimbangan dan kegusaran kepada pihaknya mengenai kebajikan mahasiswa itu sendiri, memandangkan perkara penting yang patut diberikan perhatian adalah melihat individu berkenaan menamatkan pengajian dengan baik.
“Perlu ada penelitian terperinci mengenai had umur dan sama ada wajar atau tidak seseorang mahasiswa ini diketengahkan. Pada pendapat saya, kita perlu melihat banyak faktor, termasuk daripada segi kematangannya untuk berpolitik dan pada masa sama memberi tumpuan kepada akademik.
“Kita mahu lihat apabila mahasiswa ini dicalonkan, bagaimana masa depan dia selepas daripada itu kerana kita risau apabila bertanding sama ada menang atau kalah, ini akan menggugat pencapaian akademik dia dan boleh menyebabkan dia tidak habis belajar serta sebagainya,” katanya ketika dihubungi Getaran.
Ditanya sama ada mahasiswa sememangnya boleh berpolitik secara aktif dan bertanding sebagai calon pilihan raya, Muhammad NurSyahmi memaklumkan setiap universiti mempunyai peraturan berbeza.
Jelasnya, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) belum mengeluarkan garis panduan terperinci mengenai pembabitan mahasiswa dalam politik negara.
Ketiadaan garis panduan itu, katanya, menimbulkan tanda tanya mengenai aktiviti berpolitik mahasiswa, seperti penerimaan pengurusan universiti dan pendirian KPT berhubung perkara terbabit.
“Jadi saya mencadangkan andai kata perkara berkenaan (garis panduan) akan dibawa berbincang lebih lanjut, kementerian sendiri perlu membawa keluar garis panduan sama ada calon dalam kalangan mahasiswa boleh bertanding atau tidak.
“Perincian mengenai perkara ini adalah lebih penting. Jika boleh bertanding bagaimana cara harus dilakukan mereka,” katanya. - Getaran, 8 November 2021
