Berita Terkini

4 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 5 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Pendekatan Baharu Diperkenal Dalam Kurikulum Persekolahan 2027 - Fadhlina

Pendidikan Dikemaskini 4 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 06 Dec 2023 8:15PM

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek. gambar BERNAMA

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

PUTRAJAYA - Pendidikan karakter, literasi asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira serta kelas pembelajaran bersepadu adalah pendekatan baharu yang akan diperkenalkan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam Kurikulum Persekolahan 2027.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, Kurikulum Persekolahan 2027 yang dibentuk berteraskan kurikulum berasaskan standard dan berorientasikan kompetensi itu bermatlamat melahirkan murid yang berpengetahuan dan kompeten serta mencapai keseimbangan yang optimum dalam memberikan pendidikan berkualiti.

“Bagi kurikulum 2027 ini, kita memilih pendekatan yang lebih segar iaitu pendidikan karakter yang akan dilaksanakan sebagai satu slot masa khusus dan berfokuskan kepada pembelajaran sosioemosi secara amali bermula dari prasekolah sehingga peringkat menengah atas.

“Malah, untuk memberikan makna kepada kehidupan sebagai warganegara yang bertanggungjawab, pendidikan karakter juga akan diterapkan dalam konteks pembinaan karakter bangsa Malaysia,” katanya semasa berucap bersempena dengan Bicara Profesional KPM Kurikulum Persekolahan 2027 di sini, hari ini.

Beliau berkata, fokus pembelajaran dan pembentukan karakter dalam pelbagai disiplin ilmu akan disesuaikan dengan setiap tahap persekolahan.

Fadhlina berkata, KPM komited memastikan murid menguasai literasi 3M seawal mungkin untuk membolehkan mereka bersedia mengikuti pembelajaran pada tahap seterusnya kerana kegagalan menguasai kemahiran asas itu akan mengekang murid daripada merealisasikan potensi mereka.

Beliau berkata, intervensi awal akan diberikan bagi membantu murid yang menghadapi masalah menguasai kemahiran literasi dan numerasi sebelum murid berpindah ke Tahap Dua dan Tahap Tiga.

Fadhlina berkata, satu slot khusus akan diperuntukkan bagi Kelas Pembelajaran Bersepadu yang akan diperkenalkan bermula di sekolah rendah.

“Kelas Pembelajaran Bersepadu ini merupakan satu pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang menggabungkan isi kandungan dan kemahiran daripada pelbagai disiplin ilmu.

“Murid akan belajar mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran dan nilai  dalam satu pengalaman pembelajaran yang holistik, bermakna, relevan dan berhubung kait dengan dunia sebenar. Slot pembelajaran ini akan dimasukkan dalam jadual waktu bagi membolehkan pelaksanaan yang lebih berstruktur dan berkesan,” katanya.

Fadhlina berkata, kurikulum prasekolah akan dibangunkan dengan memberi fokus untuk melahirkan murid yang mempunyai kebolehan berkomunikasi dan bersosialisasi dengan yakin serta memiliki sifat kasih sayang, berdaya tahan, mampu menyelesaikan masalah dan berkeinginan untuk belajar melalui kaedah bermain dan meneroka.

Beliau berkata, Kurikulum Persekolahan 2027 juga menyaksikan murid sekolah rendah dibahagikan kepada tiga tahap iaitu Tahap Satu (tahun satu dan dua); Tahap Dua (tahun tiga dan empat); serta Tahap Tiga (tahun lima dan enam).

Pada masa ini, murid sekolah rendah dibahagikan kepada dua tahap iaitu Tahap Satu (tahun satu, dua dan tiga) dan Tahap Dua (tahun empat, lima dan enam).

Beliau berkata, fokus utama pembelajaran bagi pendidikan rendah Tahap Satu adalah penguasaan literasi dan numerasi serta pembangunan karakter, dan murid akan melalui pengalaman pembelajaran secara didik hibur supaya mereka berminat untuk mengikuti pembelajaran secara formal dan bermotivasi untuk hadir ke sekolah.

Pendidikan rendah Tahap Dua pula menumpukan kepada penguasaan kemahiran mengaplikasi pengetahuan untuk menyelesaikan masalah serta pembangunan karakter.

Beliau berkata, pembelajaran pada Tahap Dua boleh diperluas kepada perkara yang lebih mencabar dan memerlukan rangsangan kognitif lebih tinggi serta murid juga berpeluang untuk mempelajari dan meneroka elemen Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seperti kemahiran hidup, teknologi dan digital lebih awal.

“Pendidikan rendah Tahap Tiga melibatkan penguasaan kemahiran menganalisis dan menghasilkan inovasi. Pembelajaran juga berfokus kepada peningkatan keupayaan kognitif dan pembangunan karakter. Tahap ini merupakan persediaan ke sekolah menengah,” katanya.

Bagi pendidikan menengah rendah yang melibatkan pelajar tingkatan satu hingga tiga, Fadhlina berkata, mereka akan diberi peluang meneroka pelbagai bidang ilmu dan didorong mengenali minat dan potensi diri termasuk perkembangan bakat dan pembentukan karakter.

“Pendidikan menengah atas melibatkan murid tingkatan empat dan lima, dan pelajar disediakan dengan laluan bidang yang ingin diceburi ke peringkat pengajian tinggi dan dipersiapkan untuk menjadi sebahagian daripada masyarakat.

“Fokus pembelajaran dan pembentukan karakter dalam pelbagai disiplin ilmu akan lebih mendalam dan meluas serta pelajar juga akan diperkenalkan dengan pengalaman bekerja melalui perantisan,” katanya.

Beliau berkata, Kurikulum Persekolahan 2027 akan dilaksanakan secara berperingkat dimulakan dengan prasekolah pada 2026, manakala tahun satu dan tingkatan satu pada 2027. 

Mengenai pentaksiran, Fadhlina berkata, Kurikulum Persekolahan 2027 akan memperkasa pelaksanaan pentaksiran bilik darjah yang bertujuan mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid dan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang diubah suai bagi meningkatkan tahap penguasaan murid.

“Guru akan menilai proses pembelajaran yang dilalui oleh murid secara holistik bagi membantu murid meningkatkan keupayaan dan potensi mereka dalam tugasan yang diberi.

“Tumpuan tidak lagi diberikan kepada hasil tugasan semata-mata. Dengan cara ini, proses pengajaran dan pembelajaran akan lebih fleksibel, menyeronokkan dan bermakna bagi guru dan murid,” katanya. - BERNAMA
 

Berita Berkaitan

1

Semasa 4 minggu yang lalu

Video 'Kafir' Sudah Diseleweng, Diambil Luar Dari Konteks Sebenar - Fadhlina

2

Pendidikan 1 bulan yang lalu

Dasar Buku Negara Diteliti Semula - Fadhlina

3

Pendidikan 1 bulan yang lalu

Kantin Sekolah Dibuka Untuk Pelajar Bukan Islam - Fadhlina

4

Pendidikan 1 bulan yang lalu

Jemputan Sertai Program Di Sekolah Harus Patuhi Garis Panduan - Fadhlina

Sorotan

1

Akta Keselamatan Kesihatan Pekerja (Pindaan) 2022 Berkuat Kuasa 1 Jun

2

Kempen PRK KKB: Semua Pihak Diingatkan Tidak Sentuh Isu 3R - Fahmi

3

Genting Malaysia Nafi Babit Bincang Mengenai Kasino Di Forest City

4

Akta Laut Wilayah Masih Sah, Terpakai Termasuk Di Terengganu - PMO

5

PM Akan Hadir Forum Ekonomi Dunia Di Riyadh Dalam Lawatan Kerja

6

Kemenangan Ke Atas Hong Kong Lonjak Keyakinan Kem Perseorangan - Jun Hao

Disyorkan untuk anda

Semasa 1 hari yang lalu

Bekas Isteri Didakwa Bunuh Nurman

Semasa 19 jam yang lalu

Mayat Tanpa Identiti Ditemukan Terapung Di Sungai Linggi 

Luar Negara 22 jam yang lalu

Misi Gaza Freedom Flotilla Ditangguhkan, Peserta Dinasihat Pulang - Ann Wright

Semasa 1 hari yang lalu

Anak MB Perlis, 4 Yang Lain Dilepas Dengan Jaminan SPRM