web statsweb stats

Berita Terkini

1 bulan yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 1 bulan yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 6 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 7 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 8 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


KARYAWAN Diminta Henti Keluar Kenyataan Memudaratkan Pemegang Hakcipta Muzik

MACP, RPM dan PPM mendesak KARYAWAN dan pihak lain untuk tidak gunakan sentimen ketidakpuasan hati sebilangan kecil ahli-ahli mereka sebagai alasan untuk mengulangi kesilapan lalu.

Muzik Dikemaskini 5 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 16 Jul 2021 4:15PM

Encik Rosmin Hashim, Pengerusi Public Performance Malaysia Berhad (PPM)

oleh

Ellyna Ali

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Tindakan Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) memburukkan badan-badan pelesenan sedia ada berdasarkan tuduhan-tuduhan tidak berasas serta seruan untuk menghidupkan semula badan pelesenan tunggal dan ironinya, mewujudkan lebih banyak badan pelesenan di Malaysia Timur telah menimbulkan pelbagai persoalan. 

Apa yang cuba KARYAWAN lakukan? Untuk kepentingan siapa? Tindakan itu bukan sahaja disifatkan sebagai jahil, bahkan ia juga tidak mendatangkan apa-apa keuntungan serta memudaratkan lagi kepentingan pemegang hakcipta dan pengguna muzik secara keseluruhan.

Pengerusi Public Performance Malaysia Berhad (PPM),  Rosmin Hashim berkata, permohonan Music Rights Sabah (MRS) dan Music Rights Sarawak Berhad (MRSB) untuk diwartakan sebagai badan pelesenan jelas menunjukkan bahawa badan-badan tersebut mahu diberi hak untuk mengutip dan mengagih royalti ahli-ahli mereka secara persendirian. 

“KARYAWAN sudah tentu faham akan fungsi badan-badan pelesenan dalam pengurusan hakcipta milik ahli-ahli mereka yang bebas menentukan bagaimana kutipan dan pengedaran royalti dibuat malahan sistem yang digunapakai.

“Bahkan pihak MyIPO tidak boleh memaksa melalui tindakan undang-undang agar semua badan-badan pelesenan menggunapakai hanya satu sistem seperti yang disarankan oleh Karyawan dan bukan juga menjadi tanggungjawab MyIPO untuk memastikan tiada pertindihan dalam sistem yang digunapakai.

“Oleh itu, amat jelas bahawa tindakan KARYAWAN melempar pelbagai tohmahan terhadap badan-badan pelesenan sedia ada tidak dibuat atas kepentingan industri muzik secara keseluruhan dan pengurusan kolektif hakcipta muzik secara khusus. 

“Sedangkan, KARYAWAN bukan pun sebuah badan pelesenan muzik. Adalah menjadi tanggungjawab untuk memaklumkan kepada semua pihak di luar sana bahawa KARYAWAN dan Presidennya, Dato’ Freddie Fernandez berdepan kes saman fitnah berkaitan beberapa kenyataan yang dibuat beliau sebelum ini,” katanya. 

Rosmin Hashim turut memberitahu bahawa sejak webinar anjuran “Sabah Musical Treasures: Returning Our Treasures Back Home” anjuran Wisdom Foundation – Malaysia pada 15 Jun 2021 lalu tercetus disusuli dengan kenyataan media KARYAWAN bertajuk  “Plan to Form New Bodies in Sabah and Sarawak Reflective of Failure of Existing Bodies to Adequately Protect Members’ Rights,”  Badan Pelesenan (BP) telah mengambil inisiatif untuk memberi maklumbalas yang lebih holistik berdasarkan fakta dan rekod sebenar yang tercatit mengenai isu-isu yang dibangkitkan di Webinar tersebut kepada pihak berkuasa. 

“Disebabkan penglibatan data dan maklumat sensitif, kami tidak dapat mendedahkannya kepada umum tetapi kami yakin data tersebut akan memberi gambaran yang komprehensif kepada pihak kerajaan mengenai keadaan sebenar,” katanya. 

Menurut Rosmin Hashim lagi, bagi syarikat yang berdaftar secara terbuka atau terhad oleh jaminan (company limited by guarantee - CLBG), seperti ketiga-tiga badan pelesenan sedia ada iaitu Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP), Recording Performers Malaysia Berhad (RPM) serta PPM sendiri, perbincangan terbuka serta perdebatan hangat dan   perbezaan pendapat bukanlah suatu perkara yang baru yang berlaku. 

“Selama ini, ahli-ahli kami bebas untuk menyuarakan pandangan dan penilaian mereka. Selain itu, menerusi badan pelesenan masing-masing yang mempunyai lebih daripada 4,400 dan 1,900 ahli, pastinya ada ahli MACP dan RPM yang tidak bersetuju atau tidak berpuas hati dengan hasil tertentu. 

“Ini wujud dalam semua institusi demokrasi. Dilihat dari sudut ini, kami bangga mengamalkan nilai demokratik untuk kepentingan terbaik badan pelesenan dan ahli-ahli kami selagi komen dibuat dengan berhemah tanpa tuduhan dan agenda tersembunyi yang tidak berasas. 

“Sebagai CLBG, kami mengambil serius semua perkara yang dibangkitkan oleh ahli-ahli kami dalam usaha berterusan kami untuk meningkatkan operasi dan pengurusan badan pelesenan masing-masing,” katanya. 

Berkaitan siasatan oleh SPRM, Rosmin Hashim menjelaskan, bahawa masih terlalu awal untuk PPM, MACP dan RPM mengeluarkan sebarang kenyataan pada ketika ini kerana menghormati proses perundangan. 

“Adalah memadai untuk dinyatakan bahawa apabila isu ini diselesaikan kelak, masyarakat berhak untuk mengetahui hasil siasatan dan pihak yang membuat aduan, maksud serta tujuan mereka. 

“Kami pasti Karyawan sedia maklum mengenai perkara ini dan tidak menggunakannya untuk menimbulkan keraguan terhadap kredibiliti semua badan pelesenan sedia ada,” katanya lagi. 

Dalam pada itu, kata Rosmin Hashim, baik MACP, RPM mahupun PPM sendiri yakin bahawa segala keraguan yang ditimbulkan dari pertuduhan tersebut dapat dan akan ditangani sebaik mungkin berdasarkan semua fakta dan rekod yang dikongsi dengan pihak kementerian.

“Kami mendesak KARYAWAN dan pihak lain untuk tidak menggunakan sentimen ketidakpuasan hati sebilangan kecil ahli-ahli kami sebagai alasan untuk mengulangi kesilapan lalu terutama dalam pengisytiharan lebih daripada satu badan pelesenan dalam kelas yang setaraf seperti RPM dan Badan Pengutip Royalti Hak Pelaku dan Persembahan Artis (PRISM) sebelum ini serta  penubuhan badan pelesenan tunggal Music Rights Malaysia (MRM) yang gagal. 

“Adalah kurang bijak untuk mengambil satu tindakan yang sama dan mengharapkan hasil yang berbeza,” katanya lagi. - Getaran, 16 Julai 2021.

Foto ihsan PPM

Berita Berkaitan

1

Muzik 4 jam yang lalu

Tipe-X, Last Child Dan Ruffedge Bakal Gegar Latihan Pestapora Malaysia 2026

2

Muzik 1 minggu yang lalu

SOUNDSTAGE Satukan NIDJI, Hujan Dan 3 Band Tempatan Dalam Konsert Rentas Sempadan

3

Muzik 2 minggu yang lalu

AJL40 Bawa Peminat Selami Dunia Muzik Menerusi Muzik Lab

4

Muzik 3 minggu yang lalu

Tiket AJL40 Tinggal 20 Peratus, Bahang Malam Muzik Paling Berprestij Negara Kian Memuncak

Sorotan

1

Sultan Terengganu Dalam Keadaan Sihat, Teruskan Rawatan Susulan Di Luar Negara 

2

‘BN, PN, Sila Hentikan Retorik Perkauman; Tumpu Politik Berasaskan Isu’ - DAP

3

Kanak-Kanak Autistik Maut Terjatuh Dari Tingkat 13

4

PM Pertahan Subsidi RON 95, Kerajaan Tanggung Kenaikan Kos Bahan Api Global 

5

187 Jenis Ubat Berisiko Tinggi, Jumlah Stok Kurang 60 Hari - MOH

6

Kebakaran Pasar Borong Selangor Dipadam Sepenuhnya, Operasi Beralih Kepada Fasa Baik Pulih

Disyorkan untuk anda

Muzik 4 jam yang lalu

Tipe-X, Last Child Dan Ruffedge Bakal Gegar Latihan Pestapora Malaysia 2026

oleh Rahayu MN