Konsert solo sulung, Nourul yang sepatutnya berlangsung pada 17 April kini sah dijadualkan semula ke 30 Mei.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan, keputusan ini dibuat demi memastikan kualiti terbaik sebelum penyanyi yang popular dengan lagu hit Kerana Terluka itu benar-benar ‘membuka panggung’ untuk malam yang cukup bermakna selepas lebih tiga dekad dalam industri seni.

Menurut wakil penganjur, ND Entertainment, tarikh baharu dipilih atas beberapa faktor penting termasuk menghormati dua perayaan besar umat Islam iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.
Bukan itu sahaja, pemilihan 30 Mei juga dianggap lebih sesuai bagi memberi ruang kepada peminat menyusun semula bajet selepas musim perayaan.
“Kami mahu For You Nourul menjadi hari keraian khas untuk Nourul dan peminat dalam suasana yang lebih selesa dan meriah,” jelas wakil penganjur .
Tukar Penganjur, Tukar Perancangan?
Lebih menarik, Nourul atau nama sebenarnya Noorulhuda Ab. Wahab, 49, turut mendedahkan bahawa penjadualan semula ini memberi kelebihan dari segi perancangan produksi dan barisan artis jemputan.
Malah, pertukaran penganjur lama kepada syarikat miliknya sendiri menjadi antara faktor penting dalam penyusunan semula jadual konsert ini.
Konsert For You Nourul akan berlangsung di tempat yang sama dijadualkan sebelum ini iaitu Zepp Kuala Lumpur, jam 8 malam.

Tiket-tiket dijual pada harga RM198 (Sehati Sejiwa), RM298 (Cinta Azali), RM328 (Keliru), RM388 (Kerana Terluka) serta RM6,000 untuk VIP Box, dan boleh dibeli menerusi laman sesawang rasmi Ticket2U.
Apa pun alasannya, satu perkara pasti penganjur mahukan yang terbaik. Dengan perancangan lebih rapi, produksi lebih mantap dan mungkin barisan artis jemputan yang lebih ‘wow’, konsert sulung Nourul ini dijangka mampu mencipta kenangan manis di kalangan peminatnya.
Jangan sampai ‘Keliru’, jangan lupa tarikh temujanji yang baru, 30 Mei 2026. ‘Sehati Sejiwa’ di Zepp Kuala Lumpur! - Getaran, 27 Februari 2026
