Penyanyi Datuk Sheila Majid tampil dengan sebuah lagu terbaru sebagai hadiah menghargai semangat juang barisan hadapan semasa Covid-19 menggila melanda dunia.
Lagu yang bertajuk Wira Hatiku ini juga merupakan runut bunyi bagi filem Juang hasil kolaborasi lima sutradara terkenal antaranya Matt Lai, Datuk Rosyam Nor dan Jack Lim.
“Saya selalu ingin melakukan sesuatu untuk frontliners, sesuatu yang sangat bermakna buat mereka.
“Jadi terlibat dalam projek ini dan menyanyikan Wira Hatiku adalah penghormatan yang cukup besar terhadap setiap pengorbanan yang dilakukan mereka kepada kita semua,”kata Sheila Majid dalam satu kenyataan akhbar.
Wira Hatiku didukung dengan pasukan pemuzik profesional yang tidak mahu terlepas momen bergabung dalam sebuah projek bersejarah ini.
Mereka adalah pemuzik odari Orkestra Filharmonik Malaysia atau Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) yang memberikan persembahan penuh penghormatan sambil dikuatkan dengan susunan muzik dari Mac Chew.
Ketua Bahagian Pembangunan Bakat Malaysian Philharmonic Orchestra, Ahmad Muriz Che Rose teruja kerana diberi penghormatan untuk terlibat dengan projek yang disifatkannya sebagai epik ini.

“Peluang yang diberi oleh pihak produksi untuk kolaborasi ini bersama Datuk Sheila Majid dan karya epik sebagai tribute untuk frontliners kita ini adalah sebuah kerjasama yang baik dan kami amat menghargainya,” katanya.
Wira Hatiku yang diterbitkan oleh Cheng Lee dan Elaine Soong kemudian dirakamkan dalam bentuk orkestra oleh Peter Chong dengan bantuan Hep Kim Fai dan Chong Soon Jet.
Rakaman serta mixing juga dari Peter Chong dan mastered oleh Cheng Lee @ Prodigee Studio.
Muzik video Wira Hatiku dirakamkan dalam Dewan Filharmonik disulam dengan adegan yang meruntun jiwa, cukup melahirkan rasa patriotisme buat penonton mengenang bukan mudah kehidupan yang diharungi saat pandemik tanpa bantuan dan sokongan para frontliners.
Filem Juang yang dibarisi pelakon seperti Zizan Razak, Janna Nick, Izzue Islam, Sangeeta dan Zul Ariffin dijangka akan menemui penonton pada 8 September 2022. - Getaran, 29 Julai 2022