YANGON: Tunjuk perasaan secara besar-besaran telah diadakan di Yangon, selepas beberapa hari junta tentera merampas kuasa.
Penunjuk perasaan juga tidak mengendahkan amaran pihak tentera yang akan mengambil tindakan terhadap perhimpunan beramai-ramai.
Mereka menuntut pembebasan pemimpin Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD), Aung San Suu Kyi dan demokrasi dikembalikan.
Slogan ''bebaskan Aung San Suu Kyi'' telah dilaungkan oleh penunjuk perasaan sambil berarak ke jalan utama dengan memakai baju merah iaitu warna rasmi NLD.
Dalam pada itu, pihak berkuasa dilaporkan telah menahan sekurang-kurangnya 27 penunjuk perasaan di bandar Mandalay, termasuk wartawan.
Namun ia tidak berjaya menakutkan penunjuk perasaan sebaliknya mereka bertegas untuk terus berarak di jalan raya.
``Kami tidak takut dengan amaran, sebab itu kami keluar ke jalan raya. Kami tidak boleh menerima alasan penipuan undi. Kami tidak mahu pemerintahan tentera,'' kata seorang guru, Thein Win Soe kepada AFP.

