Berita Terkini

4 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 5 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Penduduk Gaza Bertahan Dalam Derita, Bersatu Demi Kelangsungan Hidup

Luar Negara Dikemaskini 5 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 23 Nov 2023 8:18PM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

JABALIA (Palestin) - Di celah-celah lorong perumahan yang musnah di kem Jabalia, utara Gaza, kelihatan beberapa penduduk Palestin menguis timbunan kayu dan kadbod untuk dijadikan bahan api bagi memasak hidangan “ful” (sejenis sup kekacang) untuk dihidangkan kepada ribuan orang di kem pelarian itu.

Aktivis belia Amin Abed dari kem Jabalia ketika dihubungi Agensi Berita Palestin (WAFA) berkata beliau dan ribuan rakyat Palestin lain yang enggan meninggalkan kem, membantu antara satu sama lain menyediakan makanan kepada keluarga yang memerlukan.

“Keluarga yang memerlukan di sini bukan bermaksud kaya atau miskin, sebaliknya ia merangkumi semua orang yang berada di kem itu.

"Ada antara mereka memiliki wang tetapi tidak dapat membeli apa pun kerana tiada apa yang boleh dibeli," katanya.

Beliau dan rakan-rakannya memasak kira-kira 1,500 kawah hidangan “ful” setiap hari dan kuantiti itu mencukupi untuk kira-kira 4,500 orang sahaja di kem itu.

"Kami memasak hidangan “ful” kerana ia mengenyangkan untuk jangka masa yang lama. Penduduk Palestin terutamanya dari pusat perlindungan atau di sekitar kawasan itu akan beratur mengambil bahagian mereka," tambah beliau.

Beliau berkata hanya hidangan itu sahaja yang mereka ada. Itu pun diperoleh menerusi inisiatif bakul makanan yang diterima daripada Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) atau organisasi-organisasi tempatan atau kedai-kedai yang musnah akibat pengeboman.

Pada masa sama, mereka juga mengalami masalah kekurangan ubat-ubatan dan ini menyebabkan penduduk di kem mengambil keputusan saling berkongsi ubat-ubatan yang mereka ada bagi merawat penyakit bergejala seperti cirit-birit, sembelit, influenza dan gastroenteritis, menurut WAFA.

“Gejala-gejala ini kerap muncul akibat pencemaran air dan kami tiada peluang untuk ke hospital. Justeru, orang ramai saling membantu memberi ubat untuk penyakit seperti diabetes dan tekanan darah tinggi”, katanya.

“Ini lah yang kami sebut sebagai perpaduan dalam kalangan rakyat Palestin," katanya.

Tidak semua rakyat Palestin meninggalkan kedua-dua wilayah utara Gaza (termasuk Jabalia dan kem-kem sekitarnya, Beit Lahia dan Beit Hanoun) dan juga "Gaza" (yang merangkumi Bandar Gaza dan pinggir bandarnya, termasuk kem pelarian al-Shati).

Tiada statistik tepat jumlah penduduk yang keluar atau yang masih berada di wilayah itu, namun terdapat sekurang-kurangnya ratusan ribu lagi memilih untuk tinggal di kediaman mereka, di tengah-tengah pengeboman berterusan Israel terhadap rumah dan pusat perlindungan, menurut Amin.

Mengenai keengganan ribuan lagi rakyat Palestin untuk keluar dari utara Gaza, Salah Abed (bapa Amin) menyatakan ini disebabkan ramai yang takut mereka tidak akan dapat kembali semula dan tragedi Nakba Palestin pada tahun 1948 akan berulang.

Ada juga disebabkan tidak mampu bergerak atas sebab kesihatan dan tiada kenderaan.

"Seperti jiran kami, mereka sudah tua dan tidak mampu bergerak. Jadi, anak-anak dan cucu-cucunya mengambil keputusan untuk tinggal bersamanya.

“Kami juga pergi ke perumahan yang telah musnah untuk mengutip kayu api. Memang sangat berbahaya. Bom bila-bila masa saja akan dijatuhkan, risiko roket yang jatuh tapi belum meletup, ditimpa dinding bangunan runtuh...amat bahaya tapi kami terpaksa.

“Masih banyak mayat warga Palestin yang syahid berada di bawah runtuhan bangunan dan tiada siapa yang dapat mengeluarkannya,” kata Salah

Dianggarkan 14,532 orang, termasuk lebih dari 6,000 kanak-kanak dan 4,000 wanita terbunuh dalam serangan tentera Israel ke atas Gaza sejak Okt 7.

Rakyat di seluruh Semenanjung Gaza juga mengalami kesukaran berhubung ekoran kemusnahan pada rangkaian komunikasi akibat pengeboman atau sengaja dirosakkan oleh tentera Zionis Israel.

Mengenai sumber air, Salah berkata tidak ada dan telaga tidak berfungsi kerana Israel telah memotong bekalan elektrik, memusnahkan rangkaian pembekal elektrik dan juga kekurangan bahan api.

Tetapi sukarelawan muda dan penduduk di situ tetap gigih dan tidak berputus asa. Mereka mencari sumber air yang diperoleh daripada tangki air di atas bumbung-bumbung rumah yang penduduknya diarahkan ke selatan Gaza dan juga dari telaga air milik agensi UNRWA yang turut rosak.

“Belia di sini berusaha mengumpul sejumlah wang untuk membeli beberapa liter bahan api untuk enjin telaga, namun wang tidak lagi mempunyai nilai jika tiada apa untuk dibeli.

"Tetapi sejauh mana kami mampu bertahan. Memang benar kami tabah dan sabar, tetapi jika keadaan berterusan, sesetengah daripada kami mungkin mati kehausan dan kelaparan dan akibat jangkitan penyakit disebabkan kekurangan air," katanya.

Beliau berkata penduduk di pusat perlindungan berada dalam keadaan yang sukar digambarkan dan setiap sekolah yang menjadi pusat perlindungan menempatkan antara 4,000 hingga 6,000 orang.

Sekolah-sekolah di utara Gaza terdedah kepada pengeboman dan yang paling terkini Sekolah Al-Fakhoura dan Tal Al-Zaatar yang menyebabkan kematian kira-kira 200 rakyat Palestin dan puluhan lagi cedera.

"Krisis bukan sahaja mengenai makanan dan minuman, tetapi juga risiko kematian. Terdapat keperluan mendesak untuk bayi-bayi antaranya susu, lampin dan apa jua yang diperlukan oleh bayi dan ibu yang baru bersalin," katanya.

Kaum wanita di Gaza menghadapi masalah untuk membersihkan bayi selepas lahir. Disebabkan tiada lampin, mereka terpaksa menggunakan kain dan ia perlu dibasuh setelah digunakan. Namun, akibat ketiadaan air, menyebabkan berlaku kes-kes penyakit yang mungkin boleh berjangkit.

Beliau berkata peranan belia lelaki tidak terhad kepada memasak dan menyediakan air, tetapi mereka turut membantu mengangkut orang cedera dan syahid, mencari perlindungan sekiranya rumah dibom dan menghantar orang sakit atau wanita yang mahu bersalin ke hospital.

Semalam, Kementerian Luar Qatar mengumumkan permulaan “jeda kemanusiaan” antara Israel dan Hamas akan diumumkan dalam tempoh 24 jam.

“Qatar mengumumkan kejayaan usaha menjadi pengantara bersama dengan Mesir dan Amerika Syarikat (AS) yang menghasilkan perjanjian untuk jeda kemanusiaan antara Hamas dan Israel,” kata Kementerian Luar Qatar di X lapor Agensi Anadolu.

Menurut kementerian itu, jeda kemanusiaan akan berlangsung selama empat hari dan tertakluk kepada lanjutan.

Dalam tempoh itu, bantuan kemanusiaan termasuk bahan api akan dibenarkan masuk ke Semenanjung Gaza. - BERNAMA-WAFA

Sorotan

1

Kempen PRK KKB: Semua Pihak Diingatkan Tidak Sentuh Isu 3R - Fahmi

2

Genting Malaysia Nafi Babit Bincang Mengenai Kasino Di Forest City

3

Akta Laut Wilayah Masih Sah, Terpakai Termasuk Di Terengganu - PMO

4

PM Akan Hadir Forum Ekonomi Dunia Di Riyadh Dalam Lawatan Kerja

5

Kemenangan Ke Atas Hong Kong Lonjak Keyakinan Kem Perseorangan - Jun Hao

6

Misi Gaza Freedom Flotilla Ditangguhkan, Peserta Dinasihat Pulang - Ann Wright

7

Kerajaan Tidak Bercadang Gantung Sementara Perkhidmatan Helikopter Jenis Fennec, HOM

Disyorkan untuk anda

Politik 22 jam yang lalu

Zahid harap MCA Berubah Hati, Bantu Kempen PRK Kuala Kubu Bharu

oleh Diyana Nawwar

Semasa 22 jam yang lalu

3 Maut, 5 Cedera Parah Nahas Jalan Kuala Krai - Gua Musang

Semasa 14 jam yang lalu

Siapa Punya Kerja, Tanam Paku Kat Bahu Jalan

oleh Wartawan Getaran

Politik 18 jam yang lalu

‘Tipu Ijazah Ialah ‘Disaster’, Jangan Hina Pengundi KKB’ - Saifuddin

oleh Sophia Ahmad