Berita Terkini

1 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 6 hari yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 1 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Kelonggaran SOP Pada Waktu Yang Salah?

Kolum Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 12 Aug 2021 11:48AM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Pada Ahad 8 Ogos, hari ketika kes jangkitan harian COVID-19 berada pada angka 18,688 dengan 360 kematian, tertinggi pernah dicatatkan, Perdana Menteri, Tan Sri Muyhiddin Yassin mengumumkan beberapa kelonggaran untuk mereka yang telah menerima suntikan dos kedua vaksin COVID-19, berkuatkuasa 10 Ogos.

Dengan angka jangkitan begitu tinggi dan sentiasa turun naik, timbul persoalan adakah sekarang waktu sesuai untuk memberi kelonggaran? Tidakkah ini dilihat sebagai satu keputusan yang dibuat pada waktu yang salah?

Kenapa tidak ditunggu sehingga sekurang-kurangnya negara mencapai tahap imuniti kelompok atau herd community di mana sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk mendapat suntikan kedua? Dijangkakan matlamat ini dicapai menjelang hujung tahun.

Rakyat mungkin mengharap kelonggaran setelah sekian lama ‘terkurung’ akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Tetapi kerajaan tidak perlu melakukannya jika keadaan belum mengizinkan. Rakyat akan faham.

Malah dalam keadaan sekarang, kemungkinannya ramai yang bersikap tunggu dan lihat. Mereka masih belum bersedia mengambil peluang daripada kelonggaran itu kerana bimbang dengan situasi COVID-19 masa kini.

Antara kelonggaran diberi bagi seluruh negara ialah kebenaran rentas daerah dan negeri bagi pasangan jarak jauh. Kebenaran sama diberi untuk ibu bapa bertemu dengan anak di bawah umur 18 tahun. Selain itu kebenaran diberi untuk solat jemaah di masjid dan surau.

Kelonggaran tambahan bagi negeri dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) ialah rentas daerah, makan di restoran (dine in), aktiviti sukan dan rekreasi luaran (outdoor) tanpa melibatkan sentuhan atau berkumpulan, serta pelancongan dalam negeri yang sama melibatkan hotel dan inap desa (homestay).  

Namun yang paling merisaukan ialah kelonggaran kepada pengembara warga negara dan bukan warga negara yang mempunyai kediaman di Malaysia, menjalani kuarantin wajib di rumah apabila tiba atau pulang dari luar negara, tidak lagi di premis ditetapkan kerajaan.

Langkah ini dilihat seperti membuka flood gate jangkitan yang boleh mendatangkan kesan tidak diingini kepada ahli keluarga dan orang sekeliling. Ini kerana tidak diketahui tahap sebenar kesihatan mereka yang kembali dari luar walau pun telah menerima dua dos suntikan.

Perlu diingat, negara sedang berdepan dengan varian Delta, Delta Plus dan Lambda yang lebih pantas menyerang dan merebak tanpa bergejala. Varian Lambda yang berasal dari Peru dikatakan jauh lebih berbahaya daripada Delta.

Justeru kenapa dibuka ‘lubang’ untuk varian pembunuh ini mudah menyusup ke dalam negara? Sepatutnya ia ditutup ketat. Mereka yang datang dari luar negara memang berpotensi menjadi pembawa atau carrier.

Kerana itu tidak harus membenarkan mereka menjalani kuarantin di rumah. Letakkan di tempat khas seperti sebelum ini. Sebarang potensi yang menjurus kepada penularan COVID-19 mesti disekat.

Menjalani kuarantin di rumah tidak menjamin mereka mengasingkan diri dengan jujur serta mematuhi segala SOP. Difahamkan mereka dikenakan Perintah Pemerhatian dan Pengawasan di Rumah (HSO). Tetapi bagaimana kaedah pemantauan ini dan siapa yang memantau?

Dibimbangi nama sahaja kuarantin tetapi bebas bercampur gaul dengan ahli keluarga sehingga boleh menyebarkan virus. Risikonya tinggi, apatah lagi jika ada ahli keluarga belum mendapat suntikan dos kedua. Bagaimana pula jika mereka keluar rumah bercampur gaul dengan orang ramai?

Keadaan tentu berlainan jika menjalani kuarantin di premis ditetapkan oleh kerajaan. Perlakuan dan pergerakan mereka dipantau dan pematuhan kepada SOP sentiasa diawasi.

Justeru adalah wajar kerajaan mengkaji semula kelonggaran kuarantin pengembara dari luar ini dengan membatal atau menangguhkan pelaksanaannya dengan mengambil kira risiko yang terpaksa ditanggung akibat kelonggaran berkenaan.

Teliti pula kelonggaran lain seperti rentas daerah dan negeri serta dine in. Sejauh mana dapat dipercayai mereka yang diberi kelonggaran akan mematuhi peraturan? Bagaimana memastikan mereka yang merentas daerah dan negeri benar-benar bertemu pasangan jarak jauh atau anak di bawah umur 18 tahun?

Tidak mungkinkah mereka ini mengambil peluang bagai burung bebas terbang dengan bertemu lebih daripada hanya pasangan atau anak remaja? Bagaimana jika mereka mengambil peluang balik kampung bertemu sanak saudara? Lebih bahaya lagi jika yang ditemui itu masih belum lengkap dua dos suntikan.

Membenarkan pasangan jarak jauh bertemu, serta ibu bapa bertemu anak, menggambarkan rentas daerah dan negeri adalah selamat. Jika begitu kenapa hanya dua kategori ini sahaja diberi kelonggaran?

Begitu juga dengan kebenaran dine in di kedai makan atau restoran. Bolehkah pemilik premis berjanji membuat pemantauan ketat untuk memastikan hanya yang layak boleh masuk?

Misalnya, yang datang mungkin bertiga atau berempat, tetapi hanya satu atau dua yang lengkap dua dos. Pemilik kedai percaya apabila diberitahu semua sudah selesai dua dos. Dia pula tidak membuat pemeriksaan satu persatu. Bagi sahaja masuk. Bukankah ini menyebabkan risiko jangkitan?

Sepatutnya bukan sahaja pelanggan yang perlu mematuhi peraturan suntikan lengkap.  Pemilik dan pekerja kedai makan juga mesti sudah disuntik dua dos untuk memastikan persekitaran lebih selamat.

Namun terdapat juga pemilik kedai makan yang masih bimbang dengan keadaan semasa COVID-19. Mereka telah pun menyatakan belum bersedia menerima pelanggan waktu ini.

Sebenarnya banyak kesangsian timbul daripada keputusan memberi kelonggaran dalam suasana yang masih runcing ini. Orang ramai mempunyai pilihan apa yang terbaik untuk diri sendiri dan keluarga.

Yang penting diingat, sudah mendapat suntikan kedua bukan bermakna tidak boleh menjangkiti atau dijangkiti. Sudah ada kes sedemikian berlaku di negara ini dan banyak berlaku di negara luar. Berwaspadalah sepanjang masa. COVID-19 masih mengganas di sekeliling kita. - Getaran, 12 Ogos 2021

Berita Berkaitan

1

Sukan 5 hari yang lalu

Pecahkan Dominasi JDT Musim Ini - Azman Adnan

2

Luar Negara 2 minggu yang lalu

Singapura Rampas 1.5 Tan Produk Segar, Makanan Proses Dari Malaysia

3

Semasa 3 minggu yang lalu

Anwar Terima Kunjungan Menteri Luar India

4

Sukan 3 minggu yang lalu

Beraksi Di Laman Sendiri Gagal Bantu Harimau Malaya Saingi Kehebatan Oman

Sorotan

1

PRK DUN Kuala Kubu Baharu: Calon Atas Nama Kerajaan Perpaduan, Bukan Parti - Zamry

2

JS-SEZ, SFZ Mampu Pacu Ekonomi Johor Atasi Negeri Lain – PM

3

Peluang PN Menang Di KKB Lebih Besar Kalau Calon Melayu - Sanusi

4

MCMC Ambil Keterangan Chegubard, Salim Iskandar Dan Papagomo

5

Tun Musa Teguh Dengan Prinsip, Integriti – PM

6

200 Ulama Nusantara Dijangka Hadiri Persidangan Ulama Sedunia Mei Ini

7

Penumpang Terkandas Di Lapangan Terbang Selepas Letusan Gunung Berapi Menyebabkan Pembatalan Penerbangan