Berita Terkini

1 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 6 hari yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 1 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Masalahnya Dengan Generasi Media Sosial

Boleh pening kepala memikirkan tentang anak muda sekarang. Kolumnis kami, Suzie Adnan berkongsi pendapatnya tentang generasi media sosial kini.

Kolum Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 13 Feb 2021 11:16AM

Gambar: Ketut Subiyanto, Pexels

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Apabila ramai ibu-ibu mengeluh ketika anak-anak terpaksa bersekolah secara atas talian di rumah sewaktu PKP dilaksanakan, seorang teman pernah menelefon mengadu mengenai anak perempuannya yang masih bersekolah rendah. Cukup degil katanya. Bila disuruh belajar, dia tanya balik, “Kenapa?” Konteks penuh jawapannya adalah, apa guna belajar susah-susah kalau boleh kaya dengan hanya jadi influencer

Ya, itulah mentaliti ramai budak-budak sekarang. Itu kisah anak kecil, anak remaja apatah lagi. Suka atau tidak, kita sekarang berada di ambang zaman di mana media sosial menguasai segenap informasi yang dicurahkan ke dalam kotak minda generasi hari ini. 

Media sosial sememangnya suatu medium yang cukup berkuasa. Pengaruhnya sungguh meluas dan dunia dirasakan teramat kecil apabila hantaran berita bertebaran ke segenap pelusuk dengan kelajuan sesaat. Ianya lubuk pemasaran yang efektif untuk menjual produk. Ia juga platform buat setiap orang yang teringin menjadi seseorang. Tidak perlu ijazah, tidak perlu bakat, hanya perlu kesungguhan. Sebagaimana ucapan artis, Andy Warhol separuh abad yang lalu, “In the future, everyone will be world-famous for 15 minutes.” Siapa sangka kenyataan itu pada hari ini menjadi realiti. Lihat sahaja di media sosial, Instafamous bersepah-sepah. Namun sayang, lebih ramai yang menyediakan content mengarut dari yang membawa manfaat. 

'It’s a filtered life' dan generasi kini mendefinisikan cantik itu sebagai sejenis kesempurnaan maya yang jelas artifisial.

Influencer atau terma popular di kalangan orang kita, Instafamous, kini ibarat suatu kerjaya. Laporan digital yang disediakan Meltwater pada akhir 2019 menyaksikan 94.5 peratus rakyat Malaysia memilih Instagram sebagai platform media sosial utama. Maka tabiat mempamerkan gaya hidup diri sendiri melalui online presence dalam jangka masa panjang menjadikan realiti sebenar tampil agak samar, lebih-lebih lagi apabila komunikasi secara fizikal mulai berkurangan. It’s a filtered life dan generasi kini mendefinisikan cantik itu sebagai sejenis kesempurnaan maya yang jelas artifisial. Jadi, yang mana satukah realiti dan yang mana pula fantasi? Bagaimana mahu membezakan yang palsu di antara kebenaran? 

Sensasi fake news atau berita palsu nyata kian berleluasa. Rata-rata ramai yang ingin mempercayainya, lagi-lagi yang jelik dan sarat provokasi. Berita sebenar pula tersepit dicelah-celah limpahan content yang pelbagai di medan suapan (feed). Generasi media sosial secara amnya lebih mudah menilai sesuatu isu itu menerusi komentar tidak berasas dari blog-blog picisan yang lebih banyak menyindir dan mengapi-apikan rasa tidak puas hati – demi sekadar menaikkan trafik blog masing-masing. Tindak balas daripada kelompok netizen juga tidak kurang bisanya, berlagak sebagai keyboard warrior, mewujudkan cancel culture dengan menghukum individu yang mereka tidak kenali tanpa asas. Orang kita turut suka pada segala yang viral, walaupun ianya bukanlah apa-apa, cuma strategi menjual produk semata-mata. Kerana itu, amatlah penting akan kewujudan sebilangan media yang berintegriti sebagai penyalur laporan serta maklumat tepat.

Ironi sungguh dikala golongan muda hari ini yang diberi jolokan the woke generation, turut dalam masa sama memiliki sikap tidak ambil peduli, tidak endah, ignorant.

Menyentuh mengenai palsu, paling saya tidak berkenan apabila ada puak yang menggunakan sentimen agama sebagai content pelaris. Kata orang sekarang, acah-acah suci. Ya, iman naik turun dan tiada siapa yang sempurna. Namun kadangkala generasi media sosial ini saya kira agak keterlaluan. Sungguh saya tidak begitu faham dengan remaja sekarang yang tampak elok berhijab walhal galak bergelek di TikTok, ustaz dan ustazah media sosial menjatuhkan hukum sesuka hati. Mungkin anak-anak muda ini sekali-sekala perlu diberi peringatan mengenai batas perlakuan dan sesetengah perkara tertentu perlu dihormati. 

Ironi sungguh dikala golongan muda hari ini yang diberi jolokan the woke generation, turut dalam masa sama memiliki sikap tidak ambil peduli, tidak endah, ignorant. Mereka sibuk ‘memperjuangkan’ pelbagai isu semasa dunia seperti hak kesamarataan gender, bangsa dan sebagainya; namun mereka sendiri pun kurang sensitiviti serta cepat melatah. Mahu melatah pun di media sosial juga. Mahu mengejek diciptakan meme pula. Lalu yang lain pula kongsi dan kongsi dan kongsi hingga terbuka semua aib. Inikah mentaliti pelapis masyarakat akan datang? 

Dalam pada saya mengupas sisi negatif, generasi media sosial ini saya akui mempunyai kelebihan tersendiri dengan kuasa untuk mempengaruhi. Jika caranya berarahkan kebaikan, maka ramailah yang akan menerima faedahnya. Dan saya berharap trend ini diseimbangi dengan pencarian ilmu yang bermanfaat. Saya sendiri memiliki anak perempuan yang masih di bangku sekolah dan memerhatikan revolusi generasi hari ini membuatkan hati saya bimbang. Tentunya saya tidak mahu dia membesar dengan minda yang dengkel dek pengaruh media sosial yang lebih banyak melekakan. Dengan itu, saya selalu mengingatkan diri sendiri (dan anda harus juga), you reap what you sow. Pandanglah lebih jauh ke hadapan. Jangan takdirkan anak keturunan kita nanti menjadi hamba kepada skrin hitam. Dalam erti kata lain, jangan biarkan generasi seterusnya terus-menerus membentuk pemikiran yang mana kejayaan dan kekayaan mampu dikecapi tanpa perlu menimba ilmu. Kalau semua mahu cari duit dengan menjadi Instafamous, maka berkuranglah golongan profesional. Dan apabila negara kurang orang bijak pandai, maka binasalah kita. - Getaran, 13 Februari 2021

Mula berkecimpung di dalam dunia penulisan fesyen sejak 2004, Suzie Adnan adalah bekas Ketua Pengarang kepada majalah fesyen unggul tanah air, GLAM. Bergelar graduan Sarjana Muda Seni Reka Fesyen di UiTM, beliau turut berpengalaman di dalam lapangan peruncitan fesyen mewah ataupun 'luxury retail'. Ibu kepada dua cahaya mata ini kini menyediakan khidmat konsultasi di dalam bidang-bidang berkaitan.
 

Isu Pada

Alvin Chong

13 Feb 2021

Berita Berkaitan

1

Semasa 3 minggu yang lalu

Orang Ramai Diminta Henti Perbuatan Hina Agama Di Media Sosial - Mohd Naim

2

Semasa 2 bulan yang lalu

Kongsi Aktiviti Anak Di Media Sosial Undang Risiko Jenayah Seksual

3

Semasa 4 bulan yang lalu

Scammer Guna Media Sosial Iklan Lesen Memandu Murah, Mudah - JPJ

4

TARA 5 bulan yang lalu

Berpakaian Kurang Sopan Ketika Berjual Beli Di Media Sosial, Apa Hukumnya?

Sorotan

1

Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai Dijangka Beroperasi Semula Dalam Tempoh 24 Jam

2

PRK DUN Kuala Kubu Baharu: Calon Atas Nama Kerajaan Perpaduan, Bukan Parti - Zamry

3

JS-SEZ, SFZ Mampu Pacu Ekonomi Johor Atasi Negeri Lain – PM

4

Peluang PN Menang Di KKB Lebih Besar Kalau Calon Melayu - Sanusi

5

MCMC Ambil Keterangan Chegubard, Salim Iskandar Dan Papagomo

6

Tun Musa Teguh Dengan Prinsip, Integriti – PM

7

200 Ulama Nusantara Dijangka Hadiri Persidangan Ulama Sedunia Mei Ini