Berita Terkini

2 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 2 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Jutaan Ringgit Sumbangan Rakyat Malaysia Mengalir Ke Palestin Sejak Awal 80-an

Walaupun kita di Malaysia dilanda pelbagai jenis kekangan dek peningkatan kes COVID-19, solidariti kita tetap kukuh bersama saudara-sudara kita di Palestin.

Kolum Dikemaskini 2 tahun yang lalu ยท Diterbitkan pada 23 May 2021 9:20AM

Gambar hiasan

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Dalam pada kegelisahan memikir kenaikan mendadak kes COVID-19 dan perlaksanaan PKP yang nampaknya sepertikan tiada berkesudahan, rakyat Malaysia nampaknya turut sama terkesan dengan isu yang sedang berlaku di Palestin sekarang.

Hubungan akrab sesama Islam antara Malaysia dan Palestin memang sudah lama diketahui dunia. Laksana cubit paha kanan, paha kiri juga terasa. Masyarakat Islam di sini bagaikan sama sengsara menyaksikan penderitaan saudara-saudara kita di sana.

Dan apabila tradisi balik kampung sempena Aidilfitri dihalangi oleh sekatan merentas negeri, maka rakyat terus hilang mood. Apa yang mampu dilakukan cuma sekadar duduk rumah mengadap skrin telefon, lalu segala amarah itu dilampiaskan kepada bangsa penjajah Zionis menerusi negara haram mereka Israel.

Penuh muat naik di media sosial, bertali arus dengan kandungan berkaitan pembebasan Palestin. Ya, benarlah apabila ada yang mengatakan rakyat Malaysia tahun ini ditakdirkan beraya bersama Palestin!

Malam 27 Ramadan, di kala kebanyakan daripada kita berqiamullail mencari Lailatulqadar, masyarakat awam sekitar Baitulmuqaddis lari bertempiaran akibat tembakan tentera rejim Israel yang kemudiannya diikuti dengan pengeboman oleh jet-jet tempur di Gaza.

Perampasan secara haram kediaman-kediaman di Sheikh Jarrah milik Palestin menjadi titik pencetus. Serang balas oleh sayap ketenteraan Hamas, Briged Al-Qassam telah menyaksikan pertempuran tanpa henti selama 11 hari sebelum pengumuman gencatan senjata.

Kita yang sedang lockdown di Malaysia ini turut sama panas hati, setiap saat menanti setiap perkembangan dari Semenanjung Gaza.

Pelbagai jenis siaran langsung diadakan untuk membincangkan isu Al-Aqsa, ada yang mengambil pendekatan memboikot produk serta jenama Zionis sementara media sosial pula sarat dengan update mengenai Palestin sehingga hashtag #IsraelKoyak menjadi trending di seluruh dunia.

Tidak kurang juga dengan gelagat para penggodam tempatan yang membuat serangan digital, gigih siang malam cuba mengganggu-gugat sistem-sistem atas talian negara haram tersebut.  

Hebatnya orang kita, walau susah di tanah sendiri dek penangan pandemik yang mengekang ekonomi, mereka masih menyalurkan bantuan dan sumbangan secara berterusan buat saudara Islam di Palestin.

Terbaru, sumbangan mencecah hampir RM18 juta berjaya dikumpul dalam masa seminggu oleh 20 badan-badan NGO yang bernaung di bawah satu sayap iaitu MyAqsa Defenders (MAD).

Bakal digunakan sebagai bantuan kecemasan selain pembangunan semula Gaza, antara ahli koalisi MAD adalah Cinta Gaza Malaysia, Global Peace Mission Malaysia (GPM), Serantau Muslim, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Amalhope, MyFundAction serta MinQalby Foundation yang diasaskan oleh Mizz Nina.

Malah banyak lagi NGO-NGO lain yang bergerak sendiri dengan inisiatif tersendiri, contohnya seperti Viva Palestina yang baru-baru ini bekerjasama dengan Vivy Yusof menerusi The dUCk Group di mana mereka berjaya mengumpul RM1 juta di dalam masa dua hari!

Mizz Nina antara sebilangan daripada personaliti popular tanah air yang aktif menebar pengaruhnya dalam meningkatkan kesedaran di kalangan orang muda mengenai isu Islam sejagat.

Pengasas IntoTaqwa serta aktivis Al-Aqsa, Fara Othman juga tanpa mengerti erti penat lelah mempergunakan segenap salurannya dalam menyampaikan maklumat tepat serta dakwah mengenai bumi suci Baitulmuqaddis. Mereka antara ratusan aktivis di kalangan rakyat tempatan yang sudah sekian lama memperjuangkan Palestin.

Dan jika kita mahu bercakap mengenai sokongan terhadap Palestin, kiranya tidak mungkin jikalau kita menidakkan peranan tokoh negara, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Walau usianya pun jauh lebih tua daripada negara haram Israel, dia tetap lantang memperjuangkan kebebasan Palestin, bermula semenjak beliau mula-mula menjadi Perdana Menteri dahulu sehinggalah kini.

Salah satu saat paling ikonik adalah sewaktu Tun mengadakan satu perhimpunan besar-besaran di Stadium Negara pada Julai 1984 bersama pemimpin PLO ketika itu, Yasser Arafat. Kehadiran Tun di setiap persidangan OIC begitu signifikan.

Malah sewaktu dilantik menjadi Perdana Menteri buat ketiga kalinya, Tun terus konsisten menekankan dasar luar Malaysia berkenaan isu Palestin sebagaimana ucapannya di Perhimpunan Agung PBB yang ke-73 pada September 2018. Jadi sejak awal 80-an lagi, Malaysia sudah menyalurkan pelbagai bantuan kepada Palestin.

Ketika artikel ini ditulis, Baitulmuqaddis kembali bermandi darah apabila Zionis melanggar perjanjian gencatan senjata yang cuma sempat bertahan selama 12 jam.

Palestin melaporkan seramai 248 penduduknya syahid, di mana 66 di antaranya adalah kanak-kanak selain lebih 1,948 orang penduduk turut cedera. Struktur kota seperti masjid, hospital serta kediaman awam musnah dibedil tentera rejim lantas membuatkan seramai 58,000 penduduk Gaza hilang tempat tinggal.

Keperluan asas seperti sumber makanan serta air bersih, kuasa elektrik dan khidmat perubatan semakin terhad. Kejamnya Zionis hingga dianggarkan 80 peratus penduduk Gaza kini hanya hidup bertahankan cuma dengan bantuan kemanusiaan yang datang dari luar.  

Sesungguhnya Palestin tidak perlu gentar kerana bantuan daripada negara-negara lain terus masuk bertalu-talu. Khususnya Malaysia, orang kita tidak pernah berhenti menyumbang kerana orang Islam di Malaysia memang amat pemurah.

Selain membayar zakat wajib, dalam senyap, ramai sebenarnya yang rajin bersedekah, menginfak dan mewakafkan harta di jalan Allah.

Terdapat banyak kisah-kisah di mana Muslimah menyerahkan segala emas di badan untuk membantu saudara mereka yang kesempitan dan ramai juga yang menyerahkan aset-aset berharga lain seperti tanah, rumah serta kenderaan demi kesejahteraan ummah. Dan sumbangan rakyat Malaysia ini jugalah yang akan suatu hari nanti membina kembali Gaza yang hampir musnah!

Seperti krisis peperangan merebut Al-Aqsa, kita mungkin tidak mampu berjihad mengangkat senjata untuk mempertahankannya namun sumbangan wang ringgit itu sedikit sebanyak membantu mengurangkan beban saudara Islam kita di sana.

Namun jikalau diri sendiri pun tidak mampu, kita masih memiliki satu lagi senjata yang terhebat yakni doa.

Jangan kita alpa dan letih untuk terus menadah tangan untuk berdoa buat mereka yang dianiayai. Kerana sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW, “Doa adalah senjata orang beriman, tiang agama dan cahaya langit dan bumi.”

Semoga doa kita semua terus diangkat dan dimakbulkan-Nya. Semoga kita akan menyaksikan Bailtulmuqaddis dan seluruh Palestin kembali bebas suatu hari nanti dan kembali ke tangan orang Islam yang berhak. InshaAllah. - Getaran, 23 Mei 2021

Isu Pada

Amyra Rosli, Menyemai Cinta

22 May 2021

Berita Berkaitan

1

Semasa 23 jam yang lalu

Malaysia Kesal UNSC Gagal Iktiraf Palestin Sebagai Anggota Penuh PBB

2

Luar Negara 1 hari yang lalu

AS Guna Veto Halang Usul Iktiraf Keahlian Palestin Dalam PBB

3

Luar Negara 3 hari yang lalu

1.7 Juta Penduduk Palestin Hilang Tempat Tinggal Angkara Israel

4

Sukan 1 minggu yang lalu

Pecahkan Dominasi JDT Musim Ini - Azman Adnan

Sorotan

1

Lelaki Sindrom Down Melecur Disimbah Air Panas Dalam Lif

2

8 Aksi Pramusim Digunakan Untuk Uji Sistem VAR - Stuart

3

Misi Hantar Bantuan Kemanusiaan Ke Gaza Dengan Kapal Tetap Diteruskan - Ann Wright

4

PRK Kuala Kubu Baharu: Kerajaan Perpaduan Ada Kaedah Pastikan Calon Menang

5

Pemain Badminton Negara Pamer Kekuatan Mental Menjelang Piasa Thomas, Uber

6

Pelajar Sekolah Meninggal Dunia Ketika Acara Larian Rentas Desa

7

Lelaki Israel Miliki Senjata: 10 Individu Ditahan Bawah SOSMA