Berita Terkini

5 jam yang lalu: Anwar puji sikap Hun Sen yang hormati kaum Muslim 6 jam yang lalu: Anwar bakal umum pelaburan penting baharu semasa lawatan ke China 6 jam yang lalu: Bazar Ramadan Rahmah di 38 lokasi seluruh negara 6 jam yang lalu: Karate sasaran lubuk emas negara di Sukan SEA - CDM 6 jam yang lalu: Malaysia-Turkiye boleh terokai kerjasama baharu industri aeroangkasa - Ahmad Zahid

IKUTI KAMI


Niqab Kini Alternatif Yang Lebih ‘Trendy’ Berbanding Purdah?

Di mana letaknya nilai sehelai niqab dan purdah dewasa kini? Suzie Adnan cuba mendalami.

Kolum Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 25 Apr 2021 8:50AM

Gambar: Adam Sablajakovic, Pexels

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Rasanya sayalah orang yang paling tidak layak untuk berdebat isu sebegini apatah lagi menyentuh bab hijab dan aurat bila mana saya sendiri pun baharu sahaja memakai tudung sejak awal tahun ini di bulan Januari - Alhamdulillah di atas nikmat hidayah ini. 

Walaupun secara peribadi, bagi saya hijab itu cuma satu perkara di antara mungkin 100 lagi perkara lain yang wajib dilaksanakan oleh seseorang itu dalam menyempurnai imannya. 

Perbuatan berhijab di kalangan masyarakat kita sering kali disamakan dengan sebuah bentuk penghijrahan yang signifikan malah ia amat dirai, lalu dihujani doa-doa dan kata-kata puji. 

Kalau saya ini selebriti, sah-sah bilangan pengikut media sosial akan berganda dari 100 ribu kepada 300 ribu dalam masa beberapa hari!

Namun begitu sebagai seorang yang gemar mengkaji, saya juga sebenarnya memang sudah lama terpanggil untuk mencoretkan secebis nukilan mengenai niqab sebaik selebriti merangkap usahawan kesayangan ramai, Neelofa mulai menggayakannya pada akhir tahun lepas. Dan di saat dia memiliki segala-galanya, dengan penuh tawakal dia melepaskan kesemuanya bersama pasakan niat demi Allah Taala. 

Gambar: Tangkapan layar Instagram @neelofa
Gambar: Tangkapan layar Instagram @neelofa

Dengan yakinnya, Neelofa melanggar tembok normalisasi dan masyarakat masih terus-menerus merainya malah menjadikannya contoh serta ikutan.  

Memang hanya wanita-wanita hebat sahaja yang mampu melitupi separuh wajahnya kerana perlakuan seperti ini diibaratkan melepas nikmat dunia demi mengejar akhirat. Kerana fitrah wanita itu mencintai keindahan, sesuatu yang tidak semua sanggup melepaskan. 

Apabila wajah diselindungi, ia akan memberi kesan terus kepada hati. Maka secara lazimnya juga, sifat lahiriah dari segi pakaian akan tampil selari yakni berpenampilan labuh dan longgar menyorokkan susuk badan. Niqab ini sepatutnya menolak perhatian, menjauhi godaan. 

Semenjak Neelofa memakai niqab, saya juga perasan semakin ramai di kalangan orang kita yang mula berjinak-jinak mahu sama berniqab juga. 

Namun sebelum kemunculan trend niqab melanda negara, wanita Muslim sudah pun lama biasa berpurdah - suatu corak pemakaian tudung labuh yang saya kira lebih konservatif dan bersifat spiritual. Tiada apa yang 'fesyen' mengenai purdah selain melabuhkan pandangan mata kerana jelas sekali tiada apa yang istimewa. 

Pemakaian purdah yang bermula semenjak lebih kurang tiga dekad lepas saya kira sudah sebati dengan sebilangan kelompok tertentu di kalangan masyarakat Melayu Nusantara.

Gambar: Andri Onet, Unsplash
Gambar: Andri Onet, Unsplash

Langsung tidak janggal melihat wanita berpurdah kerana ia sinonim dengan penampilan pelajar-pelajar serta tenaga pengajar pengajian Islam khasnya dari maahad Tahfiz dan sekolah-sekolah pondok atau madrasah. Kerana itu, persepsi kepada mereka yang memilih untuk berpurdah hingga kini dianggap lebih murni niatnya bila mana tiada sekelumit pun aspek tarikan pada corak penampilan berjubah besar dengan tudung bulat labuh melewati pinggang. 

Hakikat di mana para Muslimah ini memilih untuk meninggalkan dunia sebelum dunia meninggalkan mereka membuatkan golongan berpurdah ini, pada pendapat saya, lebih dihormati. 

Menyentuh mengenai niqab pula, menurut Profesor Kamal Dib, seorang pakar politik dan ekonomi Timur Tengah masyhur di Kanada, gaya pemakaian sebegitu dikhabarkan sudah bermula di Iran sejak ribuan tahun dahulu dan hari ini stail niqab seakan sudah menjadi pemandangan biasa di kalangan kebanyakan wanita-wanita yang mendiami semenanjung tanah Arab. 

Gambar: Cottonbro, Pexels
Gambar: Cottonbro, Pexels

Perkembangan sosial serta ekonomi malah pergolakan politik jelas memberi impak besar kepada wanita seterusnya evolusi niqab sejak zaman berzaman. Boleh diibaratkan seperti seragam harian, sifat niqab ini pula hanya menampakkan mata, berbeza dengan purdah yang mendedahi dahi. 

Di negara-negara Arab, niqab itu membawa erti tabir wajah. Mungkinkah kerana di era Corona ini apabila pemakaian topeng muka itu diwajibkan, maka pilihan untuk berniqab pula dilihat sebagai pengganti yang lebih manis dan cantik berbanding dengan topeng muka yang sungguh merengsakan? 

Ini sekadar telahan saya semata-mata berdasarkan pemerhatian terhadap betapa banyaknya akaun media sosial milik wanita-wanita tempatan yang berniqab bergaya sakan dengan OOTD beraneka fesyen ditambah pula solekan mata tebal siap kanta lekap berwarna dengan aksi yang agak menggiurkan. 

Ada juga golongan yang memakai niqab kerana sekadar mengikut kehendak acara. Sesungguhnya senario ini selayaknya dianggap bertentangan dengan prinsip asal kepada niat berniqab itu sendiri yang memerlukan kesederhanaan dalam menjauhi sifat takbur, ujub dan riak. 

Sambil lalu mahu saya selitkan juga mengenai hakikat burqa yang seringkali disalah tafsir oleh kita semua. Gaya hijab sebegini sebenarnya sudah lama mekar berkembang dengan titik mulanya di Afghanistan. 

Wanita-wanita berburqa di Pakistan. Gambar: Abdul MAJEED / AFP
Wanita-wanita berburqa di Pakistan. Gambar: Abdul MAJEED / AFP

Orang Barat khususnya begitu gentar dengan wanita berburqa berkeliaran di negara mereka kerana mereka beranggapan yang ia simbol fanatik agama walhalnya burqa itu lebih berat sebagai kostum tradisi dan menjadi kesinambungan budaya kehidupan di padang pasir.

Apa yang ingin saya tekankan di sini, walau di mana sahaja kita berada di atas muka bumi ini, walau apa jua gaya hidup atau budaya kita, prinsip asas menutup aurat adalah sama dan sudah ditetapkan sehingga ke akhir masa. 

Sifat beraneka fesyen hijab yang berbeza-beza itu saya berpendapat tidak mengapa asalkan yang terdedah cuma wajah dan telapak tangan sahaja sambil dilabuhkan hingga ke paras dada, berdasarkan dalil sahih Al-Quran. 

Saya juga berpandangan yang niqab itu tidak semestinya menjadi cerminan kepada status sebenar taqwa seseorang. Ustazah-ustazah dan pendakwah-pendakwah wanita di Malaysia dan serata dunia pun hampir tiada seorang pun yang menutup sebahagian wajah mereka. Apakah ini membawa maksud tingkat kedudukan iman mereka setakuk lebih rendah berbanding golongan berniqab?

Jangan pula kita yang bertudung biasa ini mengandaikan bila berniqab barulah nampak lebih solehah. 

Gambar: Muhammad Adil, Unsplash
Gambar: Muhammad Adil, Unsplash

Saya petik kata-kata daripada mereka yang alim dan berilmu, seseorang wanita itu jikalau wajahnya amat indah hingga membuatkan lelaki tertarik dan tergoda, maka adalah lebih baik baginya melitupi sebahagian wajahnya sebagai jihadnya untuk menjauhi fitnah. 

Satu lagi, apabila suami yang soleh berkehendakkan isterinya berniqab atau berpurdah, maka wajiblah juga permintaan ini ditunaikan sebagai memenuhi matlamat hak suami isteri.

Asalkan tidak melanggar sebarang syariat-Nya, tidak kisahlah apa jenis fesyen tudung dan gaya lilitan hijab anda sekali pun. Selendang shawl atau skarf bawal, tudung labuh dengan purdah mahu pun bersama niqab atau pun tanpa niqab - kerana jelas sekali niat di dalam hati itu jauh lebih penting. 

Bak kata seorang pendakwah, dalam apa sahaja cara kita dalam mencari reda-Nya, setiap perbuatan itu perlu disertai dengan roh. Niqab itu tiada membawa sebarang makna jikalau hatinya lopong dan kosong. 

Oleh itu, marilah kita beristiqamah secara berterusan dan usah jemu memperbaiki diri. Kerana prestasi hati ini yang selayak menilainya hanya Allah yang hakiki. - Getaran, 25 April 2021.

Isu Pada

“Cinta Hati Saya Adalah…” - Hun Haqeem

24 Apr 2021

Berita Berkaitan

1

Semasa 5 jam yang lalu

Anwar Puji Sikap Hun Sen Yang Hormati Kaum Muslim

2

Semasa 14 jam yang lalu

Lawatan PM Ke Arab Saudi Erat Hubungan Antarabangsa, Perdagangan Dan Aktiviti Islam

3

Semasa 16 jam yang lalu

Anwar Tiba Di Phnom Penh, Lawatan Rasmi Perkukuh Hubungan Malaysia-Kemboja

4

Filem & TV 3 hari yang lalu

3 Treler Filem Termahal Indonesia, 'Buya Hamka' Dilancarkan Pada 1 Ramadan

Sorotan

1

Benar Kata PM, KWSP Hanya Patut Dikeluarkan Selepas Bersara – MTUC

2

Sudah Tiba Masa Perkasa Pengurusan Air

3

Dakwa Difitnah, Guan Eng Saman Muhyiddin

Disyorkan untuk anda

Kolum 1 hari yang lalu

Lawatan PM Ke Arab Saudi: Apa Isunya Yang Dikecohkan?