Berita Terkini

2 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 3 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Melayu Dan Taksub Berpisah Tiada

Benarkah taksub ada sisi baik dan buruknya? Kolumnis kami, Suzie Adnan, minggu ini membicarakan tentang taksub di era media sosial.

Kolum Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 11 Apr 2021 10:10AM

Semua gambar: Pexels

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Pertama sekali, saya bukan mengatakan semua orang Melayu itu kaki taksub. Namun sebagai pemerhati, hari ini nampak gayanya kebanyakan daripada orang kita memang ramai yang bersikap sebegitu. Apakah sebenarnya faedah menjadi pentaksub? Adakah ia mencipta kebahagiaan ataupun menjana kewangan? 

Orang Melayu umumnya dikenali sebagai lemah lembut, pemurah, mudah mesra, cepat kasihan, simpan dalam, cakap belakang. Masuk zaman media sosial, memanglah kita ambil peluang ini sebaik mungkin untuk meluahkan apa yang berselirat di dalam hati.

Ibarat baling batu sembunyi tangan, segala cela kita terpapar jelas di atas skrin hinggakan membuka pekung yang mendedahkan sebuah sikap yang penuh ketaksuban. Daripada yang tua sampai ke muda, tiada yang terkecuali. 

Sebaik kita menelusuri era teknologi, masyarakat mula menyemai sebuah sisi penuh obsesi pada sesuatu perkara sehinggakan ke tahap melampau. Beratnya perkataan taksub itu, kala ini ia sering digunakan bagi merujuk kepada segala yang berkaitan dengan politik dan agama.

Namun saya rasa sudah tiba masanya untuk kita luaskan konteks taksub itu selari dengan perkembangan masyarakat masa kini yang kian fanatik, supaya kita semua sedar diri dan saling ingat-mengingati.

Masyarakat kita di dalam keadaan luar sedar, kian memiliki sejenis tabiat yang taksubkan sesuatu atau seseorang. Kerana itu amat mudah untuk mengecap populariti di Malaysia kerana masyarakat di sini memang kebanyakannya hadap pada apa jua bentuk content yang mencuit hati mereka, daripada semudah gambar bayi sehinggalah segala yang berbentuk provokasi.

Muat naik gambar bersama status sepatah ‘Bincangkan’ sudah lebih dari cukup. Apalagi kalau betul-betul yang kontroversi, lagilah netizen kenduri. Kecoh di media sosial berdiskusi mengenai orang yang tidak mereka kenali seolah-olah individu itu tinggal di sebelah rumah.

Bukan selebriti, bukan public figure, tapi masih kita tegar sibuk berbincang kisah dalam kain entah siapa-siapa.

Bawang ini laksana lambang kedangkalan. Apakah ini sahaja nilai yang tinggal kepada tahap kebijaksanaan generasi akan datang?

Ketaksuban di laman maya tanah air teramat meriah sampaikan muncul watak-watak yang melabel mereka itu tentera bawang, dengan harapan untuk ‘menyerang’ sasaran. Persoalannya, apa faedah yang mereka dapat dari aktiviti sebegini?

Kemunculan konsep membawang itu sendiri yang kian menjadi sebahagian dari budaya, sungguh pada saya suatu perkembangan yang amat mengecewakan.

Konsep membawang memang bunyinya mudah, namun di dalam jangka masa panjang ia merosakkan mentaliti anak bangsa. Bawang ini laksana lambang kedangkalan. Apakah ini sahaja nilai yang tinggal kepada tahap kebijaksanaan generasi akan datang?

Saya juga begitu pelik pada individu-individu di media sosial yang terlalu mendewa-dewakan orang lain khususnya mereka yang bergelar selebriti.

Penghantaran komen-komen seperti cantik, baik dan segala yang sewaktu dengannya tetapi di dalam gaya penulisan yang berlebih-lebihan dan keterlaluan, pada pendapat saya agak tidak wajar.

Sebagai contoh, siapakah yang sebenarnya layak diberi gelaran Siti Khadijah R.A? Benarkah status si penerima sama taraf dengan isteri Rasulullah? Dan mengapa kita harus melabel orang sebagai srikandi walhal kerjanya sibuk selfie, melainkan dia keluar berjuang mempertaruhkan nyawa demi agama, bangsa dan negara.

Kerana minat yang teramat, sungguh tinggi kita mengangkat darjat manusia lain sampai kita lupa kepada mereka yang sebenar-benarnya layak. 

Sebagai manusia biasa, sudah menjadi lumrah untuk menyemai minat kepada seseorang yang mungkin mengesankan hati kita menerusi lagu penyampaiannya, mesej lakonannya dan segala perkara yang menyentuh naluri.

Namun begitu, minat yang membawa kepada sikap obses melampau ini amatlah tidak wajar. Sampai ada yang membuka akaun media sosial khas untuk mengagungkan selebriti kesayangan.

Walaupun begitu anda jangan pula tertipu dengan akaun-akaun peminat yang kian bersepah hari ini. Anda pun kalau ada duit boleh sahaja bayar agensi untuk cipta ‘akaun peminat’ dan mengupah penulis-penulis hantu. Maka impak populariti tampak lebih gah dari biasa, hasil daripada manipulasi agensi-agensi digital. 

Semudah itukah orang kita mudah tertipu? Mungkin. Baru pakai jubah, serban dan boleh cakap Arab sikit, kita sudah panggil dia Ustaz. Yalah, bak dialog ikonik AR Tompel dalam filem Nasib Do Re Mi, “Takkan Tok Lebai nak menipu pulak?”

Kalau mahu dikatakan pandai berbahasa Arab itu tanda aras kewarakan seseorang, kebanyakan budak sekarang pun memang sudah mula belajar Bahasa Arab sejak tadika. Tidakkah penting untuk umum mengenal pasti terlebih dahulu latar belakang pendidikan dan kelayakan si empunya badan sebelum dia diiktiraf sebagai Ustaz?

Contoh mudah, jika bakal peguam gagal bar exam, layakkah dia bertugas sebagai peguam? Inilah bahananya apabila sudah taksub, sampaikan televangelist dengan dakwaan salah laku seks sekali pun masih mampu diagung-agungkan oleh para peminat wanitanya yang obses. 

Cukup senang sebenarnya mahu memancing minat rakyat Malaysia. Baik atau buruk content anda, asalkan ada lubang untuk kutukan, anda pasti popular asbab kepada jutaan bilangan netizen Malaysia yang kaki taksub.

Saya juga begitu pelik pada individu-individu di media sosial yang terlalu mendewa-dewakan orang lain khususnya mereka yang bergelar selebriti.

Di mata sesetengah orang khususnya peniaga, taksub itu pencetus viral dan viral itu penjana keuntungan. Ketaksuban masyarakat laksana free marketing. Tidak perlu susah-susah membuat sebarang pelaburan untuk publisiti dan inilah modus operandi kebanyakan peniaga-peniaga Melayu sekarang ini.

Itu sebabnya pelbagai manusia beraneka rupa gigih mahu jadi influencer. Tidak kisahlah jika mendapat puji mahupun keji, janji trafik media sosial tinggi kerana itulah yang menjadi punca rezeki.

Makanan biasa-biasa yang tidak diketahui orang pun, apabila ditambah perkataan ‘viral’ di hujung jenama, memang pastilah berbondong-bondong orang akan datang mencuba. 

Satu lagi jenis taksub rakyat Malaysia yang saya kurang faham adalah terhadap akaun media sosial bayi dan kanak-kanak. Jumlah rakyat Malaysia hari ini adalah 32.7 juta orang. Satu per lapan daripada bilangan itu mengikuti akaun-akaun media sosial bayi dan kanak-kanak.

Mahu saya ulang beberapa kali kerana jika difikir-fikirkan semula, I find it all quite creepy.

Bayangkan jutaan orang yang tidak dikenali menghantar komentar yang berlebih-lebih kepada anak kita, walaupun memuji. Tetapi kita sendiri faham tujuan sesetengah ibu bapa yang menjadikan anak-anak lubuk rezeki. Jika itu yang terbaik, sang ibu bapa lebih mengetahui. 

Banyak lagi isu-isu di Malaysia ini yang mencetus ketaksuban orang Melayu. Kalau mahu menyentuh arena politik pula memanglah cerita tidak akan habis. Di awal penulisan ini, saya cuba mengambil pendekatan yang neutral.

Taksub itu berkemungkinan juga ada baiknya. Bagaimana kalau kita semua taksub mencari ilmu, taksub membuat kebaikan, taksub membantu orang, taksub menggapai iman langsung kejayaan – tidakkah kehidupan ini akan menjadi lebih baik?

Banyak ayat-ayat Al-Quran dan hadis yang menyentuh perkara yang berkaitan taksub. Salah satunya adalah sepotong hadis Riwayat Ibn Hibban di mana Rasullullah SAW bersabda, “Awasilah kamu dalam melampau dalam beragama kerana binasanya orang-orang sebelum kamu adalah disebabkan sikap ghuluw (keterlaluan) dalam beragama.”

Mahu saya merumuskan di sini, kita perlu menjauhi sifat-sifat ekstrimis, fanatik, obses atau taksub kepada seseorang atau sesuatu. Kerana kita cuma menumpang hidup sementara dan segala yang kita ada cuma pinjaman semata.

Usah melampau mengagungkan manusia kerana yang agung itu hanya Allah SWT sahaja. Cukuplah kita sekadar bersederhana. Kerana sederhana itulah sebenarnya rahsia bahagia.- Getaran, 11 April 2021.

Mula berkecimpung di dalam dunia penulisan fesyen sejak 2004, Suzie Adnan adalah bekas Ketua Pengarang kepada majalah fesyen unggul tanahair, GLAM. Bergelar graduan Sarjana Muda Seni Reka Fesyen di UiTM, beliau turut berpengalaman di dalam lapangan peruncitan fesyen mewah ataupun 'luxury retail'. Ibu kepada dua cahaya mata ini kini menyediakan khidmat konsultansi di dalam bidang-bidang berkaitan.

Isu Pada

Maya Karin: Saya Tak Rasa Tergugat

10 Apr 2021

Berita Berkaitan

1

Refleksi 4 hari yang lalu

Adab Menghadiri Rumah Terbuka

2

Gaya 1 minggu yang lalu

Adidas Originals Raikan 3 Kasut Klasik Dalam Kempen, '1000 Back' 

3

Refleksi 4 minggu yang lalu

Wanita Hari Ini, Mydin Bergabung Salur Bantuan Kepada Anggota Barisan Hadapan

4

Gaya 1 bulan yang lalu

Tiada Lagi Koleksi Raya Dari Rizman Ruzaini Selepas Ini, Mahu Tumpu Pasaran Antarabangsa 

Sorotan

1

Pemilik Stesen Minyak Diminta Lapor KPDN Jika Diancam Sindiket

2

Najib Diberi Peluang Jelaskan Mengenai Dokumen 1MDB Ketika Disoal Siasat - Pegawai SPRM

3

Elak Ketirisan, Perkukuh Tatakelola, Boleh Beri Upah Lumayan Kepada Pekerja - PM

4

5 Laluan Ditutup Sementara Sempena Hari Penamaan Calon PRK KKB Esok

5

Misi Pelayaran Ke Gaza Ditangguhkan Berikutan Tekanan Rejim Zionis - FFC

6

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi

7

Keperluan Teliti SOP Latihan Udara Bergantung Laporan Siasatan – Khaled