Berita Terkini

2 hari yang lalu: Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam 5 hari yang lalu: KKM nasihatkan semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan sementara di semua lokasi yang merekodkan cuaca panas antara 35 hingga 37 darjah celsius 6 hari yang lalu: Pihak Ocean Infinity akan bentang kawasan pencarian baharu MH370 kepada MOT awal Mei - Loke 6 hari yang lalu: MAVCOM tambah 342 penerbangan domestik di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April - Loke 6 hari yang lalu: Tiket tambahan ETS dan perkhidmatan tren khas mula dijual hari ini bermula 5 petang - Loke

IKUTI KAMI


Ada Apa Dengan Badan Pelesenan Tunggal Royalti Muzik

Kubur MRM masih merah malah talkinnya pun belum habis. Guruh pula sudah berdentum. Adakah ini petanda langit hendak runtuh? Ikuti kupasan menarik Ad Samad berhubung rasional penubuhan satu badan kutipan royalti tunggal baharu.

Kolum Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 08 Jun 2022 2:00PM

Mantan Menteri di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Tengah) ketika melancarkan MRM. - Gambar Twitter KPDNHEP

oleh

Ad Samad

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Baru-baru ini Perbadanan Harta Intelek Malaysia atau MYIPO mengeluarkan soalan kaji selidik yang ditujukan kepada para pemunya hak muzik atau rights owner di Malaysia.

Survey (kaji selidik) tersebut adalah untuk melihat jawapan (bukan mendengar pendapat) para pemunya hak mengenai pembentukan semula satu lagi badan pelesanan atau badan kutipan royalti tunggal yang akan melakukan kerja-kerja pelesenan dan kutipan royalti muzik daripada para pengguna.

Kertas kaji selidik itu boleh di dapati di sini

Terlebih dahulu, berikut adalah definisi Badan Pelesenan seperti yang tertera di laman sesawang MYIPO.

Apakah itu Badan Pelesenan?

Badan Pelesenan atau badan kutipan royalti merupakan satu organisasi yang diberi mandat oleh pemunya hak cipta untuk menguruskan hak mereka melalui penggunaan karya-karya hak cipta oleh pengguna.

Badan pelesenan akan menguruskan urusan-urusan berikut:-

a. pelesenan hak cipta;

b. membuat kutipan royalti ke atas pelesenan yang diberi;

c. membuat agihan royalti kepada pemunya hak cipta

d. mengambil tindakan penguatkuasaan bagi pihak pemunya hak cipta berdasarkan hak yang diberi

Secara ringkasnya, pemunya hak milik adalah;

1) para pencipta

2) para pelaku (pemuzik dan penyanyi)

3) para pemilik rakamam atau syarikat rakaman.

Terdapat tiga badan perlesenan yang praktikal dan penting untuk disebut iaitu;

1) Music Authors' Copyright Protection Berhad (MACP) mewakili pencipta lagu

2) Recording Performers Malaysia (RPM) mewakili pemuzik rakaman

3) Public Performance Malaysia (PPM) mewakili syarikat rakaman

Dianggarkan lebih kurang 6000 hingga 7000 ahli yang berdaftar dengan badan-badan tersebut.

'Badan Tunggal' bermaksud bahawa kerja-kerja kutipan royalti tidak lagi boleh dilakukan lagi oleh MACP, RPM dan PPM, sebaliknya akan dilakukan sendiri hanya oleh Badan Tunggal yang ditubuhkan nanti.

Cadangan mewujudkan satu badan pelesenan tunggal yang baru adalah sesuatu yang dianggap sangat pelik dan lagi aneh.

Baru sahaja sekitar dua tahun yang lalu MYIPO telah bersetuju dengan pembubaran sebuah badan tunggal yang telah diberi nama Music Rights Malaysia Berhad atau MRM.

Cadangan MYIPO itu dilihat umpama duda yang mengalami 'penyakit talak' kerana baru sahaja sekitar 2 tahun yang lalu MYIPO telah bersetuju 'menceraikan' status Music Rights Malaysia Berhad sebagai sebuah badan pelesenan tunggal yang sah di sisi undang undang.

Kini, satu lagi badan baharu pula yang dicadangkan ditubuhkan. Bukan sahaja para pemunya hak sedang pening kepala bahkan para pengguna juga akan keliru kepada siapakah sebenarnya royalti perlu dibayar.

Mungkin resamnya negara tercinta kita ini, setiap kali Menteri bertukar, setiap kali itulah polisi berubah.

Sejarah Hitam Bersama MRM 2017 - 2020

Pada sekitar awal 2016, mantan Menteri di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna atau KPDNHEP iaitu Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengumumkan arahan pembentukan sebuah badan pelesenan tunggal yang akan menjalankan kerja-kerja pelesenan muzik.

Maka, dengan liatnya MRM pun ditubuhkan pada penghujung tahun 2016 dan mula beroperasi pada 1 Januari 2017.

Penubuhannya yang dilakukan secara tergesa-gesa dan tanpa kajian mendalam seharusnya menjadi petanda buruk dan menjadi pengajaran.

Kegagalan MRM beroperasi dengan baik dan berkesan telah mengakibatkan para pemunya hak atau penggiat muzik amnya telah kehilangan sekitar 50% pendapatan mereka.

Bagaikan sebuah comedy of error, MRM dibubarkan pada awal tahun 2020. Jumlah kerugian sebenar para pemunya hak belum lagi dengan sahihnya dinyatakan.

Jelas sekali bukan sahaja komedi itu tidak kelakar dan tidak membuat penggiat muzik tergelak terbahak-bahak dan rotflol, sebaliknya penggiat muzik menangis tidak berlagu. Malah tiada simpati dan tiada ganti rugi diterima. Pedih dan sedih.

Pembubaran MRM dipersetujui bersama oleh MACP, PPM dan RPM serta mendapat restu MYIPO yang merupakan pihak pengawal hak cipta yang diberi kuasa di bawah Akta Hak Cipta Malaysia mengenai perihal pengisytiharan badan pelesenan.

Badan pelesenan tunggal adalah sesuatu yang baik. Badan tunggal kerana sifatnya yang sinergistik mampu menjadikan kerja-kerja perlesenan lebih berkesan dan kos pengurusan yang lebih rendah.

Itu bermakna para pemunya hak akan mendapat hasil royalti yang lebih tinggi, manakala para pengguna pula akan membayar tarif pelesenan yang lebih rendah. Para pengguna tidak perlu lagi berurusan dengan tiga badan yang mempunyai tarif yang berbeza-beza.

Tetapi, MRM tetap menjadi satu projek raksasa yang gagal, walaupun mendapat sokongan daripada KPDNHEP dan MYIPO.

Para pemunya hak disarankan membaca minit-minit mesyuarat di MRM dan MACP, malah di RPM sekiranya ada minit-minit mesyuarat sebegitu di pejabat mereka untuk memahami dengan lebih mendalam isu-isu yang melanda MRM dan bagaimana ianya terbubar.

Keberkesanan Kaji Selidik MYIPO Secara Online

Sebenarnya, ini adalah siri soalan kaji selidik ketiga yang dilakukan oleh MYIPO sejak tempoh satu tahun dua bulan yang lalu.

Isu kompleks mengenai harta intelek dan politik industri muzik tidak boleh ditangani menerusi kertas soal jawab yang ringkas sebegitu. Sebaliknya, perlu diadakan sesi forum bersiri dan perjumpaan townhall bersama para pemegang hak.

MYIPO dan para pegawainya perlu menyinsing lengan baju dan turun ke padang untuk berkecah di lapangan serta melihat dan mendengar sendiri para pemegang hak yang rata-rata masih bergelut dengan isu susu anak, yuran persekolahan dan bil hospital.

Bagi pihak penggiat muzik pula, subjek harta intelek memerlukan pemikiran yang berintelek tinggi justeru memerlukan pembacaan yang mendalam serta perbincangan rancak bersama para cendikiawan harta intelek.

Forum forum di Whatsapp tidak memadai dan tidak berkesan langsung.

Akibat kecetekan ilmu dan kekurangan informasi, para penggiat muzik amat sukar untuk menjawab soalan kaji selidik tersebut dengan baik dan betul. Jawapan daripada penggiat muzik adalah seperti kerja 'main tikam' atau agak-agak sahaja. Ilmu laduni belum mari.

Antara punca kegagalan dan pembubaran MRM adalah ia ditubuhkan tanpa sebarang sesi perjumpaan bersama para penggiat muzik di peringkat akar umbi.

Ketika itu, perbincangan hanya dilakukan dengan hanya 3 - 4 kerat pencipta lagu dan penyanyi popular, disamping lambakan pengurus syarikat rakaman dan penerbitan muzik (publishers) yang kepentingan mereka bukan berdasarkan royalti daripada kreativiti mencipta lagu atau menghasilkan seni.

Pendapat para Encik dan Cik perlulah dinilai sepenting pandangan para Tauke, Datuk dan Tun.

Cadangan Penambahbaikan

Menubuhkan badan kutipan royalti yang tunggal adalah satu idea yang baik, tetapi bukan di dalam tempoh terdekat ini, iaitu bukan di dalam tempoh empat atau lima tahun mendatang.

MRM yang mengakibatkan kehilangan pendapatan yang besar bagi pihak pemunya hak masih belum tertebus, manakala pengguna pula sedang di dalam kekeliruan dan bergelut dengan suasana ekonomi yang semakin parah.

Masih jutaan ringgit duit pelaku muzik berada di akaun MRM yang belum diagihkan.

Kubur MRM masih merah malah talkinnya pun belum habis.

Guruh pula sudah berdentum.

Awan muram sudah mula meludah.

Apa yang perlu dilakukan oleh MYIPO dan KPDNHEP adalah dengan membuat penambahbaikan bagi setiap badan perlesenan yang sedia ada.

MYIPO mesti memastikan setiap badan pelesenan menjalankan tugas mereka berdasarkan hak yang tertera di dalam Akta Hak Cipta serta akur kepada perjanjian perjanjian antarabangsa seperti WIPO Convention dan RCEP atau Regional Comprehensive Economic Partnership.

MYIPO juga mesti memastikan mekanisma proses agihan dan agihan royalti wajib diaudit secara berkala agar agihan royalti dilakukan secara benar dan tepat dengan menggunakan khidmat juruaudit bertauliah dan agensi-agensi kerajaan yang bertepatan. Ia adalah sesuatu yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana badan pelesenan.

MYIPO dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia atau SSM, boleh mengkaji semula Perlembagaan Badan-Badan Pelesenan sedia ada dan menggubal semula mana-mana perlembagaan yang tidak sesuai, meleset dan sesat, seperti Hak Mengundi dan Surat Ikatan Tugas atau Deed of Assigment dan Tanggungjawab Ahli Lembaga Pengarah.

Badan pelesenan yang berstatus 'Berhad' atau 'Terhad oleh jaminan' atau Limited By Guarantee serta berdasarkan 'mandat' daripada pemegang hak seharusnya tidak diperlakukan seperti syarikat Sendirian Berhad yang berdasarkan share atau saham pemilik.

Badan amanah seperti badan pelesan tentunya mempunyai sistem tadbir urus dan tertib yang yang berbeza.

SSM pasti arif perihal ini.

Integriti

Kerisauan yang menghuni pemikiran para penggiat muzik adalah bertitik tolak daripada perihal integriti.

Kerana latar belakang negara kita yang tersohor dengan isu rasuah dan salah guna kuasa, para penggiat muzik amat risau dan takut duit royalti mereka juga akan diseleweng secara sistematik oleh para perompak kolar putih yang terdiri daripada para politikus, peniaga haloba, pegawai curang dan para badut yang menjadi tali barut.

Isu integriti dan perasaan syak wasangka menjadi penyebab utama yang membuat penggiat muzik membangkang idea pembentukan MRM pada tahun 2016 yang lalu.

Dan isu ini jugalah yang akan menjadi punca pembangkangan penggiat muzik terhadap satu lagi badan pelesenan tunggal.

Oleh itu, MYIPO perlu berjumpa para penggiat muzik untuk membuktikan segala infrastruktur dan mekanisma badan baru itu sempurna, serta dibarisi individu yang amanah dan berintegriti demi meyakinkan mereka bahawa royalti mereka akan terpelihara dan setiap hak mereka terjamin.

Transparency, Accountability and Good Governance atau TAG adalah slogan yang setiap warga MYIPO wajib berpegang teguh dengannya, sehingga hembusan nafas terakhir.

Atau sekurang kurangnya sehingga tempoh bersara. - Getaran, 8 Jun 2022

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 minggu yang lalu

Op Samba 2.0: 15 Penjawat Awam Ditahan Disyaki Terima Rasuah Lebih RM2 Juta

2

Ekonomi 1 minggu yang lalu

PETRONAS Bayar Dividen RM40 Bilion Kepada Kerajaan Pada 2023

3

Semasa 3 minggu yang lalu

3 Pegawai JIM, 2 Orang Awam Ditahan Bantu Warga Asing Masuk Malaysia

4

Semasa 1 bulan yang lalu

Bekas Setiausaha Sulit Kanan Bekas Menteri Diperintah Bela Diri Terima Rasuah RM1.77 Juta

Sorotan

1

PNB Umum Pengagihan Pendapatan 5.25 Sen Bagi ASB 2 Dan 4.75 Sen Bagi ASM 

2

Mohd Na'im Jalani Pembedahan Kecil Buang Kelenjar Air Liur

3

Polis Tahan Lelaki Disyaki Abai Kanak-kanak  

4

Padang Bukan Faktor Penentu Kekalahan Malaysia Kepada Oman - Darren

5

Dasar Buku Negara Diteliti Semula - Fadhlina

6

Perdana Menteri Dijangka Hadir Majlis Iftar MADANI Anjuran JAKIM Esok