Berita Terkini

13 jam yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 6 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 2 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail

IKUTI KAMI


Kerajaan Pilihan Rakyat? - Mencetus Satu Perbincangan Nasional

Kolum Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 18 Sep 2021 4:05PM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Perkembangan luar biasa politik negara kini sudah menutup satu bab dan telah membuka satu lembaran baharu dengan pelantikan Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri ke-9, yang juga merupakan pertukaran perdana menteri yang ketiga dalam masa tiga tahun.

Tentunya tiada seorang pun pengundi pada Pilihanraya Umum ke-14 yang lalu ada menyangka bahawa undi mereka itu akan membawa ke situasi ini dalam masa yang begitu singkat. Tanpa perlu mengambilkira prestasi Tun Dr Mahathir mahupun Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ketua eksekutif negara, soalan utama yang perlu ditanya kini ialah bagaimana sistem pemilihan wakil kita ke Parlimen boleh dimanipulasi sebegitu rupa, sehingga terjadinya keberhasilan yang berlawanan 180 darjah daripada kehendak kolektif rakyat pada 8 Mei 2018?

Titik permulaan perbincangan ini semestinya berpaksikan asal-usul tatacara pemilihan wakil ke Dewan Rakyat. Walaupun ramai di kalangan kita yang tidak mengingati mana-mana sistem lain, konsep demokrasi berparlimen di peringkat Persekutuan melalui wakil yang ditentukan melalui pilihanraya ini hanya diwujudkan selepas tahun 1954 dan digunapakai buat kali pertama dalam Pilihanraya Umum pertama Persekutuan Tanah Melayu ketika itu pada tahun 1955. Sebelum itu, perwakilan yang dipilih rakyat itu tidak wujud sebagai satu konsep di mana-mana negeri Melayu, dan rakyat ditadbir dan diperintah oleh kombinasi pegawai-pegawai lantikan British dan golongan bangsawan mewakili Raja-raja Melayu sahaja.

Ciri-ciri utama sistem ini - iaitu hak mengundi wakil ke Dewan Rakyat adalah terbuka kepada semua warganegara yang cukup umur 21 tahun yang mendaftar sebagai pemilih, pemenang dikira melalui bilangan undi terbesar atau ‘first past the post’ di kalangan calon di dalam sesuatu kawasan, persempadanan kawasan pengundian ditetapkan mengikut nisbah bilangan penduduk dan pemilihan seorang Perdana Menteri dari kalangan ahli Dewan Rakyat mewakili parti yang mempunyai paling banyak kerusi - merupakan cerminan sistem Westminster yang digunapakai oleh pihak British sendiri, dan bertujuan khusus untuk mewujudkan satu kerajaan yang kukuh melalui sistem yang paling mudah. Ini berkait juga dengan realiti politik dan sosioekonomi semasa ketika itu, termasuklah ketiadaan pengalaman dalam melaksanakan pemilihan demokratik, serta kadar literasi agak rendah di kalangan penduduk Tanah Melayu. Inilah juga asas kepada peraturan Suruhanjaya Pilihanraya yang masih lagi mewajibkan penggunaan sesuatu logo unik untuk mewakili seseorang calon, kerana ia merupakan penyelesaian mudah kepada masalah pengundi buta huruf.

Namun, walaupun sistem ini ada dipinda untuk memperhalusi aspek-aspek pentadbiran, ciri-ciri substantifnya masih kekal sehingga hari ini (kecuali penurunan umur pengundi layak ke 18 tahun, yang telah diluluskan tetapi belum dikuatkuasakan), dan ini boleh dikatakan sebagai salah satu punca permasalahan yang melanda kita sekarang. Apabila dipertimbangkan dengan perkembangan lain seperti disiplin kepartian politik yang semakin kekurangan, pola pengundian yang mencerminkan kekuatan sokongan yang setara di antara pemerintah dan pembangkang serta ketiadaan implikasi atau akibat serta-merta kepada Ahli Parlimen yang meninggalkan perjuangan asal dalam tempoh hanya beberapa bulan dari tarikh pilihanraya, ianya berkesan untuk menghakis keyakinan rakyat di dalam sistem sedia ada, dan berisiko mewujudkan defisit kepercayaan kepada salah satu prinsip asas penubuhan negara ini.

Justeru, satu perbincangan nasional melibatkan kita semua sebagai pemegang taruh kepada sistem ini serta masa hadapan negara amat perlu diadakan, dan mungkin ianya boleh dimulakan dengan soalan-soalan berikut:

  • Wajarkah penentuan penyandang dan hayat perkhidmatan seseorang Perdana Menteri pada masa hadapan itu terus dilakukan secara tertutup di bilik mesyuarat parti politik, tanpa penglibatan pengundi?
  • Apakah takrif sebenar derma politik, dan wajarkah ianya dibuat tanpa perlu diselia, dipantau dan didedahkan secara terbuka oleh penerimanya?
  • Patutkah ‘hak’ Ahli Parlimen memilih parti atau gagasannya dipertahankan pada sebarang kos, walaupun ia merubah keputusan pilihanraya dan menyebabkan kejatuhan sesebuah kerajaan?
  • Adakah niat asal sistem ini masih dicerminkan, apabila pengundi menerima bukan satu, tetapi dua orang Perdana Menteri dalam satu penggal yang tidak mempunyai apa-apa manifesto untuk ditunaikan, dan dasarnya adalah bersifat ‘ad hoc’ semata-mata?

Kesemua persoalan ini, dan banyak lagi yang sewaktu dengannya, telah menjadi asas kepada siasatan, kajian dan perbandingan oleh Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihanraya (Electoral Reform Committee, ERC) di mana laporannya telah dikemukakan kepada kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada bulan Ogos 2020. Namun, apa yang mengecewakan ialah sehingga kini, kandungan laporan tersebut masih lagi dirahsiakan daripada rakyat dan tiada tindakan lanjutan telah diambil.

Sudah tiba masanya kita menerima bahawa kadar kematangan rakyat secara kolektif yang sangat berbeza berbanding sebelum Merdeka, termasuklah aspek seperti kadar literasi dan pendidikan yang lebih maju, kesedaran dan kefahaman sivik yang lebih elok, akses meluas kepada pengalaman dan maklumat dari seluruh pelosok dunia, serta evolusi pemikiran tentang hubungan rakyat-pemerintah yang telah beranjak dari pendekatan ‘kerajaan lebih tahu’ atau ‘government knows best’ kepada hubungan yang lebih bersifat perkongsian berasaskan ketelusan, kesaksamaan dan keterangkuman.

Pembentangan Laporan ERC tersebut kepada Dewan Rakyat serta penyebarannya kepada segenap rakyat secara terbuka boleh menjadi titik permulaan kepada satu perbincangan nasional tentang kerelevanan sistem legislatif negara secara sopan dan berhemah, dan berpotensi menjadi satu legasi positif mana-mana kerajaan yang menunjukkan keberanian untuk melaksanakannya. Sekurang-kurangnya, usaha untuk menambahbaik proses serta mencerahkan peranan setiap cabang kerajaan itu dapat dimulakan, walaupun diakui yang ia hanya mungkin selesai cukup jauh di masa hadapan.

Teladan awal Perdana Menteri ke-9 untuk memulakan kerjasama bersifat ‘bipartisan’ dengan parti-parti pembangkang bukan sahaja merupakan satu contoh yang baik, tetapi membuka pelbagai kemungkinan untuk perubahan sistemik yang mampu dijadikan peninggalan bermakna untuk generasi mendatang. Kenyataan bersama yang bersejarah dan merujuk secara khusus kepada peranan Parlimen sebagai medan untuk semak dan imbang kepada tindakan pihak Eksekutif merupakan satu perkembangan yang amat memberangsangkan.

Semoga wakil-wakil kita akan dikurniakan keikhlasan dan kesungguhan untuk memacu perkara ini sewajarnya. - Getaran, 18 September 2021

Ahmad Arif Astaman adalah Felo Penyelidik Social and Research Initiative (SERI) Malaysia.

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 minggu yang lalu

Kejayaan Proses Evakuasi Keluarga Nadir Al-Nuri Bukti PM Prihatin Kebajikan Rakyat

2

Semasa 1 minggu yang lalu

Anwar Ajak Rakyat Sertai Jamuan Raya Di Batang Kali Hari Ini

3

Semasa 1 minggu yang lalu

Kerajaan Sedia Segerakan Kemudahan Wad Kelas Ketiga HKL - PM

4

Semasa 3 minggu yang lalu

PM Pertahan Harga Barangan Keperluan, Jauh Lebih Rendah Berbanding Dulu

Sorotan

1

Nahas Helikopter TLDM: Semua Mayat Mangsa Telah Dikeluarkan

2

Sultan Selangor Turut Berdukacita Nahas 2 Helikopter TLDM

3

Langkah Kerajaan Laksana Subsidi Bersasar, Skim Baharu Gaji Penjawat Awam Berdasarkan Prinsip - Fahmi

4

Helikopter TLDM Terbabit Dalam 3 Raptai Sebelum Insiden - Mohamed Khaled

5

Institusi Pendidikan Pondok Perlu Tambah Nilai Kemahiran Vokasional, Teknikal – Mohd Na’im

6

2 Helikopter Bertembung, 10 Anggota, Pegawai TLDM Maut