Berita Terkini

1 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 1 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Orang Inggeris Dan Perancis Pun Berbahasa Melayu

Roslen Fadzil berkongsi perasaan bangga dan kagumnya terhadap bahasa ibundanya yang kini dituturkan oleh ramai rakyat asing dari benua yang berbeza.

Kolum Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 05 Sep 2021 5:32PM

Tan Sri Datuk Mubin Sheppard dan buku karyanya, 'Cerita-Cerita Makyung'

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Tan Sri Datuk Mubin Sheppard. Nama yang sangat menangkap perhatian saya ketika masih di bangku sekolah tatkala dipandang pada kulit buku Cerita-Cerita Makyung. Buku itu terisi dengan cerita fantasi dahulu kala - cerita tentang pengembaraan manusia dan dewa-dewa sakti.

Saya membaca buku terbitan Federal Publications itu dan membayangkan segala magikanya, jauh lebih awal daripada menonton filem Hollywood seperti Maleficent dan Jack The Giant Slayer

Ketika itu saya terfikir-fikir siapakah gerangan beliau - pastinya bukan dari kedaerahan sini. Namun dengan gelaran Tan Sri pada nama beliau, tentunya Tan Sri Mubin seorang yang sangat berjasa kepada Malaysia.

Tan Sri Datuk Mubin Sheppard. Gambar: Wikipedia
Tan Sri Datuk Mubin Sheppard. Gambar: Wikipedia

Zaman itu bukan zaman Google. Semuanya lebih lambat diketahui dan diselidiki. Melangkah ke sekolah menengah barulah saya tahu siapa Allahyarham Tan Sri Datuk Mubin Sheppard selepas bertanyakan guru sejarah. Beliau seorang yang bukan calang-calang.

Tan Sri Mubin atau nama sebenarnya Mervyn Cecil Ffrank Sheppard adalah insan kelahiran Ireland pada 1905. Beliau awalnya berhijrah ke Malaya pada 1928 apabila bertugas dengan Malayan Civil Service (MCS), disusuli jawatan khas Komander Sukarelawan di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.

Seterus beliau mula menguasai Bahasa Melayu, memeluk Islam dan bersahabat dengan ramai tokoh pemimpin termasuk Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj serta kerabat diraja Melayu dari beberapa negeri.

Sebagai penulis handalan, Tan Sri Mubin juga banyak menghasilkan buku termasuklah biografi Tunku (Tunku, His Life and Times), The Malay Regiment, A Short Story of Terengganu, Mammals of Borneo, Taman Budiman, The Adventures of Hang Tuah dan buku yang saya sebut awal tadi, Cerita-Cerita Makyung.

Gambar: Roslen Fadzil
Gambar: Roslen Fadzil

Menarik disebut, Adventures of Hang Tuah karangan 1949, telah menjadi ilham rujukan Shaw Brothers apabila menghasilkan filem warna-warni Hang Tuah pada 1956 lakonan P. Ramlee, Saadiah, Ahmad Mahmud dan Zaitun. Ia arahan Phani Majumdar dengan Jamil Sulong sebagai penolong pengarah.

Selain itu, kecintaan Tan Sri Mubin terhadap bangunan-bangunan lama yang bersejarah di Malaya dan Malaysia cukup terserlah sehingga dilantik menjadi Ketua Pengarah Muzium Negara yang pertama pada (1959-1963) dan mengasaskan Badan Warisan Malaysia (1982). Al-Fatihah buat beliau.

Apa yang ingin saya coretkan hari ini, ternyata kekaguman orang luar terhadap dunia dan budaya Melayu kadangkala lebih tebal berbanding anak watan. Mungkin segala yang ada di depan mata kita adalah perkara biasa namun mereka memandang dari sudut lain dan lebih menghargainya. 

Inilah pernah coretkan di laman Facebook saya apabila melihat bangunan asal Stesen Keretapi Alor Setar yang masih tersergam hanya dibiarkan usang sedangkan bentuknya sangat klasik.

Kalau di luar negara, bangunan sebegitu akan dipelihara menjadi galeri kraftangan atau bistro, malah jangan terkejut kalau ia juga boleh menjadi butik Louis Vuitton (LV) atau YSL.

Soal budaya yang unik juga mendorong seorang lagi perantau, Christine Rohani Longuet, yang sanggup datang jauh dari Paris ke Pulau Duyung, Terengganu, pada awal 1970-an semata-mata untuk mendalami ilmu binaan bot dan kapal Melayu. Banyak juga telah diceritakan mengenainya.

Christine Rohani Longuet
Christine Rohani Longuet

Christine ditakdirkan jatuh cinta dengan Wan Othman Wan Abdullah, anak seorang Pak Imam, lalu mendambakan cara hidupnya menjadi wanita tempatan dengan lancar bertutur loghat Terengganu.

Mungkin ada yang tahu salah seorang anak pasangan Rohani dan Wan Othman iaitu Wan Khadijah pernah pemenang pertandingan Dewi Remaja 1995. Pastinya dia berwajah Pan-Asia.

Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia yang semakin meluas dipelajari orang asing serta penghijrah ke negara ini sejak zaman berzaman jelas membuktikan kepentingan bahasa itu sebagai lingua franca di Nusantara.

Ia sebenarnya tidak sukar dipelajari kerana struktur dan pembinaan ayatnya tidak jauh berbeza dengan Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin.

Kalau orang lama kagum melihat Rohani Longuet fasih bercakap ‘loghat Ganu’ generasi siber kini pula cukup mengenali Mat Dan yang juga telah mengubah jiwa dan raganya menjadi anak Negeri Ulek Mayang itu.

Mat Dan atau nama sebenarnya Daniel James Tyler yang berasal dari England, mula datang ke Malaysia sejak 2009 sebagai seorang backpacker. Dia dulu kerap ke Thailand dan sering singgah di Pulau Perhentian dan Pulau Kapas.

Daripada nama Daniel, dia kemudian mesra disapa sebagai Dan dan akhirnya melekat dengan panggilan Mat Dan di kalangan warga Pulau Kapas.

Hasil pergaulan dengan masyarakat tempatan, lidah Mat Dan mula menangkap loghat Terengganu. Dia telah pun memperisterikan wanita tempatan dan dikurniakan dua anak. Hari ini Mat Dan telah menjadi seorang usahawan dan influencer yang popular. Itulah rezeki anak rantau yang tiada siapa pun dapat menyangka.

Selepas 64 tahun merdeka, kita melihat Jalur Gemilang terus berkibar. Bahasa Malaysia semakin menjadi alat pengikat untuk mengukuhkan identiti perpaduan, sesuai dengan statusnya sebagai Bahasa Kebangsaan yang dijamin Perlembagaan.

Dalam dunia hiburan dan penyiaran pun, telah terlihat ramai selebriti bukan Melayu begitu fasih menguasai Bahasa Malaysia. Nama-nama seperti Harjit Singh Hullon, Constance Haslam, Christine Ling, DJ Prema dan Charmaine Agustine sudah dikenali sejak dekad 1970-an hingga 1990-an dalam bidang penyampaian berita dan pengacaraan.

Jejak mereka kemudian disambung pula oleh Seelan Paul, Pang Chinn Fei, Terence Dass, Burn AF, Sean Lee, Michael Ang hingga yang terbaru, Nickyson Nyambar dan Neeta Manishaa. Masing-masing ada kelebihan tersendiri dan telah lama menguasai Bahasa Malaysia sejak zaman kanak-kanak lagi.

Nickyson Nyambar. Gambar: Instagram
Nickyson Nyambar. Gambar: Instagram

Itu belum lagi bercakap tentang Datuk Andre Goh, Datuk DJ Dave, Datuk David Arumugam, Datuk Nancie Foo, Francissca Peter, Jaclyn Victor, Reshmonu, Marsha Milan, Sangeeta Krishnasamy, Elizabeth Tan, Alvin Chong dan ramai lagi. 

Saya juga baru-baru ini melihat kembali video pertandingan pidato antarabangsa di YouTube dan berasa cukup bangga dengan kemampuan peserta antaranya dari Amerika Syarikat, Australia, Britain, Iraq dan China. Mereka berhujah menyampaikan pelbagai isu semasa hinggalah ke Adat Perpatih. Handal sungguh.

Seharusnya pertandingan bermanfaat sebegitu diteruskan lagi pada masa-masa akan datang seandainya pandemik dapat dikekang. Kalau tidak secara berdepan, mungkin juga acara itu dapat dilaksanakan secara virtual seperti yang dilakukan terhadap acara lain. 

Sempat juga saya berbual dengan pereka fesyen terkenal, Calvin Thoo tentang penguasaan Bahasa Malaysia beliau. Kata Calvin, apabila mendapat pendidikan di sekolah kebangsaan, penguasaan Bahasa Malaysianya makin baik.

Calvin Thoo. Gambar: Instagram
Calvin Thoo. Gambar: Instagram

“Saya bekas pelajar Sekolah Kebangsaan St John, Kuala Lumpur. Di situlah saya mula bergaul dengan ramai kawan-kawan daripada pelbagai kaum dan mengenali budaya masing-masing.  

“Walaupun keturunan Cina, kami lebih banyak bercakap Bahasa Melayu dan Inggeris ketika di sekolah. Antara rakan selebriti yang sama sekolah dengan saya ialah Datuk Hans Isaac, Datuk Afdlin Shauki, Datuk Ahmad Idham, Harith Iskander dan Ako Mustapha,” katanya.

Ujar Calvin lagi, apabila pulang daripada Melbourne, Australia, beliau menjadi seorang pereka fesyen dan membuka butik. Dari situ kenalan Melayu makin ramai hinggalah kepada golongan VIP dan kerabat istana. 

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Didik TV, Seelan Paul, pula akui dia sekeluarga sudah bergaul dengan jiran pelbagai kaum sewaktu tinggal di Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Seelan Paul. Gambar: Ihsan Seelan Paul
Seelan Paul. Gambar: Ihsan Seelan Paul

“Bukan saja di taman perumahan, saya memang ada ramai kawan-kawan Melayu, Cina di sekolah. Kami semua geng bola. Paling seronok waktu perayaan, tidak kiralah Hari Raya, Krismas, Tahun Baru Cina atau Deepavali, kami akan kayuh basikal beramai-ramai ke rumah kawan-kawan,” imbasnya cukup fasih berbahasa Melayu. 

Apa yang penting, Bahasa Malaysia mesti terus menyatukan Malaysia. Namun dalam mendominasikan Bahasa Malaysia, usah sesekali meminggirkan kepentingan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar antarabangsa malah penguasaan bahasa lain di negara kita. Ia dapat memberikan manfaat dalam pergaulan mahupun di alam pekerjaan.

Saya sendiri telah mempelajari Bahasa Mandarin ketika di universiti dulu selain mampu memahami serba sedikit Bahasa Hokkien dan Siam kerana saya datang daripada keluarga Thai - Melayu di Kedah. Pun begitu kalau sudah belajar, kita mesti praktikkan. Jika tidak, kefasihan itu akan pudar begitu sahaja.

Bagi saya, setiap rakyat Malaysia seharusnya mampu menguasai Bahasa Malaysia dengan mantap memandangkan sudah berpuluh tahun kita merdeka.  Bukan taraf kita rakyat Malaysia untuk sekadar bercakap bahasa pasar atau 'Broken BM' kerana itu taraf pertuturan pekerja asing seperti dari Bangladesh, Myanmar, Vietnam. Kita mesti lebih hebat lagi melontarkan nahu dan kata. - Getaran, 5 September 2021

Isu Pada

Cinta Dan Cita Amelia Henderson

04 Sep 2021

Berita Berkaitan

1

Luar Negara 2 minggu yang lalu

Pelantikan Presiden Indonesia Di Nusantara

2

Semasa 1 tahun yang lalu

Malaysia Capai Persefahaman Pelaburan Gas Hidrogen Ke Indonesia

3

Filem & TV 1 tahun yang lalu

“Kita Pentingkan Bahasa Melayu Sepenuhnya” – Afdlin Shauki, Drama ‘AI.5YA’ Gabung Komedi, Sci-fi

4

TARA 1 tahun yang lalu

Tak Dibayar 3 Tahun, Cabaran Artis K-pop Dan Single Terbaharu Isaac Voo!

Sorotan

1

PM, Kerajaan Enggan Terlibat Keputusan Lembaga Pengampunan Berhubung Kes Najib

2

AS Guna Veto Halang Usul Iktiraf Keahlian Palestin Dalam PBB

3

Jangan Abai Peruntukan Untuk Pembangunan Sukan - Hannah

4

Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Meninggal Dunia Akibat Serangan Jantung

5

32 Keluarga Dipindahkan Selepas Banjir Lahar Sejuk Landa Jawa Timur, Indonesia

6

Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai Dijangka Beroperasi Semula Dalam Tempoh 24 Jam