Berita Terkini

7 jam yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 5 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 2 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail

IKUTI KAMI


Tak Dibayar 3 Tahun, Cabaran Artis K-pop Dan Single Terbaharu Isaac Voo!

Mengenali lebih dekat penyanyi K-pop asal Sabah, Isaac Voo bercerita tentang cabaran dunia K-pop dan single bahasa Melayu pertamanya!

TARA Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 30 Jul 2022 9:22AM

oleh

Wafa Aula

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Kata orang, semesta akan mengabulkan setiap mimpi dan keinginan orang-orang yang ‘berdegil’ memperjuangkan sesuatu. Kerana orang yang degil selalunya pantang mengalah, percaya diri walaupun impian itu dianggap mengarut dan tak mudah. 

Dalam TARA minggu ini, kami menghubungi penyanyi K-pop pertama Malaysia, Isaac Voo untuk mengetahui bagaimana kedegilannya telah membawa dirinya ke antara pentas dunia hiburan paling berpengaruh di dunia, Korea Selatan. 

Penggambaran TARA kali ini dilakukan di KAS Studio, Cheras. Jejaka kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu membuka pintu studio tepat pada masa dijanjikan. Tanpa disuruh dia terus masuk memperkenalkan diri dan menyapa semua termasuk jurusolek, jurufoto, penata gaya dan semua yang terlibat. 

Aura keceriaannya jelas terpancar. Sesekali dia akan menari dan berlawak menjadikan penggambaran sangat santai dan menyeronokkan. Kerana kami sebaya, maka sesi temu ramah eksklusif pula menjadi seperti lepak-lepak dengan kawan lama. Mudah rupanya berurusan dengan bintang K-pop seorang ini.

 

Dari Sabah ke Korea Selatan

Sejak dibangku sekolah lagi, Isaac rupanya sangat aktif menari dan pernah menyertai beberapa pertandingan dan uji bakat.

“Dekat sekolah dulu saya sangat terkenal tau,” katanya sambil ketawa. 

Namun impiannya semakin hari semakin besar. Dari sekadar menyertai pertandingan tarian di Sabah dan Kuala Lumpur, dia terus menanam azam ingin menjadi seorang bintang K-pop di Korea Selatan. 

Isaac berumur 21 tahun ketika dia nekad terbang ke Korea Selatan. Tidak mengenali sesiapa di sana, Isaac menyewa sebuah bilik kecil berdekatan sebuah studio tarian. 

Setelah mencongak duit simpanan, jejaka itu hanya boleh bertahan selama tiga bulan sahaja. Jadi mahu atau tidak, susah atau senang, dia mesti membolosi sekurang-kurangnya satu uji bakat anjuran mana-mana agensi. 

“Di Korea, sebenarnya setiap hari ada sahaja agensi atau syarikat yang buka uji bakat pencarian artis. Saya pergi lebih daripada sepuluh uji bakat dari semua agensi tak kiralah sebesar  Big Hit Music, JYP Entertainment, SM Entertainment sehinggalah syarikat kecil. Tapi tak berjaya. 

“Saya pernah hampir dapat, ketika itu saya lepas pusingan pertama uji bakat anjuran SM Entertainment. Tapi saya tak lepas untuk pusingan kedua kerana bahasa Korea saya belum cukup fasih dan saya tak mampu menyanyikan lagu dalam bahasa itu dengan baik,” ceritanya.

Namun Isaac tidak mengalah, setiap hari dia akan ke studio tarian dan berlatih dengan kawan-kawan di sana. Masanya sudah semakin suntuk. 

“Pernah suatu hari ibu saya telefon, dia rasa apa yang saya buat ini kerja gila. Dia pernah nak datang Korea dan heret saya pulang ke Sabah. Tapi saya terangkan kepadanya tentang impian saya ini dan minta dia berikan masa kepada saya. Kalau tak menjadi juga, saya sendiri akan pulang,” katanya.

Semasa di dalam studio tarian, Isaac mengisi borang untuk sebuah program pencarian bakat terkenal Korea Selatan iaitu 'Boys 24' oleh Mnet. Ia sebuah rancangan realiti yang mencari 24 bakat terbaik yang berpotensi debut sebagai sebuah kumpulan K-pop. 

“Waktu itu memang saya sudah nekad. Itulah percubaan terakhir saya. Kalau saya tak lepas juga, saya akan balik Sabah,” tuturnya.

Kerana mengisinya terburu-buru, Isaac baru sedar pautannya tersekat dan tidak lepas untuk dihantar. Isaac kecewa kerana tarikh permohonan sudah tamat. Dia merasakan mimpinya berakhir di sana.

Menghabiskan sisa-sisa waktunya di Korea, tiba-tiba suatu hari ketika di dalam kereta api, dia menerima panggilan telefon daripada pihak produksi memaklumkan dia terpilih untuk menyertai rancangan 'Boys 24'. 

“Dapat saja panggilan itu, saya sangat gembira dan rasa nak menjerit kuat-kuat. Tapi sebab ramai sangat orang di sana, jadi saya terpaksa tahan perasaan,” katanya.

Setelah lapan episod bersiaran, Isaac berjaya debut bersama-sama ahli kumpulan IN2IT yang lain iaitu Yoo Ji-ahn, Jung Yeon-tae, Hwang In-ho, Han Hyun-uk dan Lee In-pyo. Bukan itu sahaja Isaac menjadi satu-satunya ahli bukan warganegara Korea Selatan dalam kumpulan itu.

 

Realiti Dunia K-pop

Maka bermulalah perjalanan Isaac bergelar seorang bintang K-pop. Bangun awal pagi bersiap untuk persembahan, sesi meet and greet dan bermacam lagi. Siapa sangka kehidupan selepas debut tidak kurang mencabarnya, apalagi dengan lambakan boyband lain membuatkan mereka harus mencari cara tersendiri untuk lebih menyerlah.

“Bayangkan, tiba-tiba artis yang dahulunya saya selalu nampak di televisyen sepert BTS dan EXO boleh berlegar-legar berjalan di hadapan saya. Cuma itulah, saya sangat muda ketika itu dan selalu berasa tidak yakin, membuatkan saya tidak berani menegur atau buat ramai kawan di sana,” katanya. 

Bercakap mengenai realiti sebenar dunia hiburan Korea Selatan, adalah normal bagi artis baharu tidak menerima bayaran atau gaji daripada agensi naungan mereka. Sebagai balasan, syarikat akan menyediakan beberapa kemudahan seperti makanan, tempat latihan dan tempat tinggal.

“Sebelum debut (semasa dalam pertandingan) kami ada gaji setiap siaran. Tapi kemudian, selepas debut kami tiada sumber pendapatan, namun syarikat menyediakan kemudahan seperti pengurus, tempat latihan, tempat tinggal dan makanan.

“Makanan pula biasanya mereka akan pilih satu restoran dan kami makan tiga kali sehari di kedai yang sama setiap hari. 

“Kadangkala tak tahan juga, jadi kami beli makanan yang sedap sendiri,” dedahnya. 

“Jadi awak okeykah tak dibayar selama bertahun-tahun?” tanya penulis memancing.

“Ia sebenarnya perkara yang normal di Korea Selatan. Ada yang tidak dibayar 4 tahun, kadang 3 tahun. Kumpulan sebesar BTS juga pernah menghadapi fasa yang sama di awal kemunculan. Saya okey sahaja sebab ini memang sudah menjadi impian saya,” katanya. 

Bukan itu sahaja, Korea Selatan mempunyai standard kecantikan tersendiri apalagi untuk bergelar ‘idol’. Tidak hairanlah jika ramai yang melakukan pembedahan plastik agar sesuai dengan imej ‘idol’. Jika tidak, bersedialah untuk menghadap kritikan dan kecaman. 

“Ramai orang nak jadi bintang K-pop. Tapi ia tak mudah terutamanya perempuan kerana mereka perlu ramping dan memiliki bentuk badan tertentu. Lelaki mungkin tidak menghadapi tekanan yang begitu tinggi seperti perempuan. Mujurlah syarikat saya berlembut dengan syarat itu kepada kami. 

“Ada syarikat yang mengenakan syarat ketat tentang latihan. Kadangkala tidak dapat tidur yang cukup. Tapi di syarikat kami, perkara itu hanya berlaku jika kami akan meluncurkan lagu baharu,” dedahnya yang pernah tidur hanya dua jam untuk melakukan latihan.

Namun begitu, IN2IT mengumumkan keluar daripada agensi mereka iaitu MMO Entertainment pada tahun 2020 untuk bergerak secara bebas.

Ditambah pula dengan pandemik dan ahli kumpulan yang lain menyertai latihan ketenteraan, Isaac mengambil keputusan untuk kembali ke Malaysia dan berhasrat memeriahkan industri muzik tanah airnya sendiri.

 

Lagu Bahasa Melayu Pertama

Tidak ramai artis di Malaysia boleh bernyanyi dan menari dengan baik pada masa yang sama, Isaac berhasrat membawakan elemen K-pop di dalam lagunya selepas ini. Bakal tampil dengan lagu bahasa Melayu pertamanya bertajuk ‘Time Bomb,’ Isaac berharap buah tangan ini dapat diterima oleh pendengar di Malaysia.

“'Time Bomb' menceritakan tentang seorang lelaki yang mencintai seorang wanita walaupun perasaan itu akan membahayakannya. Dia sanggup lakukan apa sahaja untuknya.

“Kita pun begitu juga, bila kita terlalu mencintai seseorang, kita sanggup berkorban segalanya,” katanya. 

Mengambil masa empat hari merakamkan lagu genre pop ini, Isaac mengakui sangat mencabar kerana dia masih belajar untuk berbahasa Melayu dengan fasih.

“Betul, ia sangat mencabar sebab saya masih belum terlalu fasih. Tapi saya ingin keluar daripada zon selesa dan menyanyikan lagu ini sepenuhnya dalam bahasa Melayu. Lagipula saya rakyat Malaysiakan? 

“Apapun, saya sangat berpuas hati dengan lagu ini dan semoga pendengar pun menyukainya. 

“Kepada peminat saya, lagu ini untuk anda. Kepada peminat baharu, selamat datang ke dunia Bang Jek. Ini baru permulaan, ada banyak lagi yang ingin saya tawarkan!” katanya menutup temu ramah.

 

DI SEBALIK TABIR PEMBIKINAN WAJAH TARA – GETARAN

Wajah TARA : Isaac Voo

Pemangku Editor Gaya Hidup & Hiburan : Ellyna Ali

Teks & Penyelaras : Wafa Aula

Suntingan Teks : Ili Farhana 

Arahan Seni : Wafa Aula

Jurugambar : KAS The Studio

Juruvideo :  Abdul Razak Latif

Penata Gaya: Dean Ishak

Solekan & Dandanan: Vee Muhamad

Busana: Collab Store

Lokasi: KAS The Studio

Rekaletak : Abdul Hanif Zahari

Isu Pada

'Time Bomb' Isaac Voo

30 Jul 2022

Berita Berkaitan

1

Semasa 2 hari yang lalu

OCPD Lahad Datu Antara Yang Disiasat Kes Kematian Anak - Polis

2

Semasa 3 hari yang lalu

Noktah Kemiskinan Tegar, Isu Kewarganegaraan Dibincang Bersama MPN PKR Sabah - Anwar

3

Semasa 6 hari yang lalu

Keluarga Pelajar Sabah Di Asia Barat Diminta Bertenang

4

Semasa 1 minggu yang lalu

Sambutan Aidilfitri MADANI Peringkat Kebangsaan Di Kota Kinabalu Sabtu Ini

Sorotan

1

Nahas Helikopter TLDM: Semua Mayat Mangsa Telah Dikeluarkan

2

Sultan Selangor Turut Berdukacita Nahas 2 Helikopter TLDM

3

Langkah Kerajaan Laksana Subsidi Bersasar, Skim Baharu Gaji Penjawat Awam Berdasarkan Prinsip - Fahmi

4

Helikopter TLDM Terbabit Dalam 3 Raptai Sebelum Insiden - Mohamed Khaled

5

Institusi Pendidikan Pondok Perlu Tambah Nilai Kemahiran Vokasional, Teknikal – Mohd Na’im

6

2 Helikopter Bertembung, 10 Anggota, Pegawai TLDM Maut