Berita Terkini

5 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 6 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


'Kampungku' Untuk Kesejahteraan Warga Tua, Pesara

Kisah Kita Dikemaskini 3 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 25 Jan 2024 8:08AM

gambar BERNAMA

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Mahu melihat warga tua, termasuk pesara menjalani rutin hidup lebih sihat menjadi inspirasi untuk Gan Pooi Chan menubuhkan 'Kampungku' iaitu pusat aktiviti khas bagi golongan itu.

Anak kelahiran Petaling Jaya yang mesra dipanggil PC Gan ini berpengalaman luas dalam bidang penjagaan kesihatan dan mudah berinteraksi dengan golongan berusia senja pelbagai kaum dan latar belakang.

"Sebelum membuka Kampungku pada Ogos 2023, saya pernah bekerja dengan Homage Home Care yang menyediakan penjagaan warga tua selama lebih lima tahun. Jadi, saya memang sudah terbiasa berinteraksi dengan golongan ini," katanya.

Berkonsepkan rumah kelab dan pusat penjagaan harian, Kampungku yang menyediakan pelbagai aktiviti sosial yang menyihatkan minda, fizikal dan emosi warga emas, pada masa ini beroperasi di tiga lokasi, iaitu di Bangsar (Kuala Lumpur) dan dua di Selangor (Bandar Pinggiran Subang dan Klang).

Pengasas 'Kampungku' Gan Pooi Chan
Pengasas 'Kampungku' Gan Pooi Chan

Menurut Gan, Kampungku bermatlamat merangsang kehidupan warga emas supaya lebih aktif menerusi aktiviti dan juga interaksi sesama mereka, seperti kelaziman warga tua di kampung.

"Jika di kampung, kita tahu ahli masyarakat amat rapat dan mesra serta sama-sama melakukan pelbagai aktiviti sosial, tanpa mengira latar belakang, bangsa mahupun agama. Namun hidup di tengah bandar kita lihat amatlah jarang perkara sebegini berlaku, menjadikan pergaulan dan interaksinya terhad.

"Apabila jadi begini, ramai warga tua kita mudah terlantar sakit, menjadi kurang aktif dan akhirnya hidup sunyi bersendirian di rumah disebabkan anak-anak mereka sibuk bekerja di luar," jelasnya ketika dihubungi BERNAMA, baru-baru ini.

Pelbagai Aktiviti

Bercerita lebih lanjut kisah di sebalik penubuhan Kampungku, Gan berkata, dia amat prihatin dengan hal ehwal serta kebajikan warga tua di Malaysia memandangkan unjuran bahawa masyarakat di negara ini semakin menua dan menjelang tahun 2030, lebih daripada 15 peratus penduduk mencapai umur 65 tahun ke atas.

Apabila keadaan itu berlaku, katanya, institusi perubatan termasuk hospital mungkin akan menjadi lebih sesak dan ia boleh membebankan kerajaan.

"Semakin kita meningkat usia tua, lingkungan sosial kita semakin mengecil. Ini bermakna ramai warga emas kita bertarung dengan kesunyian dalam kehidupan seharian mereka dan menjadi terpinggir daripada masyarakat.

"Oleh itu, banyak program yang kita sediakan adalah aktiviti berbentuk senaman senior yang lebih mesra umur tua. Ini bagi membolehkan mereka tidak berasa ketinggalan dan dipinggirkan apabila sama-sama melakukan sesuatu aktiviti," jelasnya.

Antara aktiviti yang cukup popular dalam kalangan warga tua adalah Aqua Zumba, iaitu sejenis senaman dan tarian di dalam kolam renang yang dikendalikan oleh pengajar berpengalaman.

Aktiviti berkenaan ternyata dapat membantu kerana ada peserta yang sebelum ini tidak mampu melakukan aktiviti seperti berjalan untuk tempoh lima ke 10 minit ketika di rumah, kini berupaya menarikan Aqua Zumba selama sejam.

Aktiviti lain termasuk program melukis di atas kanvas dan menggubah bunga yang bertujuan meningkatkan daya fokus serta kreativiti peserta.

"Ketika aktiviti sebegini dijalankan, kita lihat ramai peserta kita cukup seronok dan mereka akan menjadi lebih bersosial dengan rakan- rakan. Mereka turut berkongsi pelbagai kisah dan pengalaman hidup, yang akhirnya akan menguatkan hubungan dan semangat kekitaan antara mereka," katanya lagi, menambah, pihaknya turut menyediakan program rehabilitasi dan penyembuhan selepas operasi pembedahan, bagi yang memerlukan.

Tidak Rasa Kekok

Pada masa ini terdapat kira-kira 50 pengajar bertauliah dan berpengalaman luas bagi mengendalikan aktiviti dan penjagaan peserta di Kampungku.

"Kesemua pengajar ini juga bukanlah orang muda, sebaliknya golongan pertengahan umur," kata Gan, menambah, jika berkesempatan, beliau juga turut bersama peserta dalam aktiviti yang dijalankan dan setiap aktiviti disertai lebih enam orang.

Menurut Gan, faktor perbezaan bangsa dan agama bukan menjadi batu penghalang untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka yang datang mendapatkan khidmat di Kampungku.

Kebanyakan individu tua yang memerlukan khidmat penjagaan menghidapi penyakit kronik seperti kanser, angin ahmar dan Parkinson.

"Saya fikir kita boleh mencegah penyakit ini daripada berlaku jika kita berdisplin dengan senaman secara berkala, menjaga pemakanan serta pergaulan antara satu sama lain.

"Ada antara mereka dihantar oleh anak sebelum pergi bekerja dan diambil selepas anak habis bekerja. Ada juga yang kami ambil dari rumah," kata Gan, menambah ada yang memilih tinggal di asrama yang disediakan," kongsinya, menambah, Kampungku yang diasaskannya kini diusahakan dengan beberapa orang rakan kongsi.

Dibuka setiap hari bermula pukul 8:30 pagi, Kampungku menyediakan pelbagai aktiviti dengan kadar bayaran serendah RM50 dan terbuka kepada semua warga emas.

Gan memberitahu BERNAMA, Kampungku bakal mempunyai kompleks sendiri yang terletak di Seksyen 12, Petaling Jaya dan dijangka siap pada tahun ini (2024).

Gamit Nostalgia

Gan berkongsi lagi, pihaknya sentiasa merancang pelbagai aktiviti bagi merapatkan hubungan silaturrahim antara kaum termasuk berkaitan perayaan setiap komuniti.

"Contohnya, tidak lama lagi orang Islam bakal menyambut bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri, maka kami merancang aktiviti yang lazimnya dilakukan seperti berbuka puasa secara beramai-ramai serta menganyam ketupat.

"Kita memang mahukan peserta menggamit nostalgia suasana kampung kerana sudah pasti mereka amat merindukannya. Biarpun berbeza bangsa dan agama, kita semua sebenarnya adalah satu jiwa Malaysia.

"Sama juga dengan perayaan Thaipusam tidak lama lagi, pastinya kita akan susun beberapa program yang sesuai untuk dijalankan. Manakala bagi perayaan lain seperti Tahun Baru Cina, kita rancang untuk buat program makan besar dan acara Jamuan Yee Sang, yang boleh disertai semua peserta kita," tambahnya.

Yee Sang adalah menu direka khas dengan pelbagai ramuan seperti ikan salmon segar, lobak putih, lobak merah, cili, halia, parsli cina, kacang tanah, keropok udang berserta sos plum masam dan manis.

Sementara itu, seorang peserta Puan Amira (bukan nama sebenar) berkata, dia amat gembira berada di Kampungku, kerana sentiasa berpeluang untuk bersendaloka dengan rakan sebaya yang lain di samping meningkatkan tahap kesihatannya dengan pelbagai aktiviti menyeronokkan.

"Antara aktiviti paling saya minat ialah Aqua Zumba, ianya sangat menarik dan lain daripada yang lain. Bukan sahaja bagus untuk senaman badan, namun juga minda.

Walaupun tidak mudah, namun saya gembira sebab dapat lakukan senaman bersama semua rakan di sini," kongsi wanita berusia 60- an itu yang pernah bekerja sebagai sebagai kerani pejabat.

Walaupun dirinya mengalami sakit sendi dan badan, namun semuanya 'hilang' apabila melakukan pelbagai senaman fizikal yang turut dibantu pelatih Kampungku.

"Saya lihat ada juga rakan lain sakit seperti strok dan ada yang terlantar atas kerusi roda, namun itu tidak menjadi halangan bagi mereka untuk turut serta melakukan senaman. Merekalah pendorong kuat saya untuk terus kekal aktif di usia tua ini, sehinggakan anak saya pelik saya bagaikan tidak mahu pulang ke rumah," canda wanita yang berasal dari Kuala Lumpur itu. - BERNAMA

Berita Berkaitan

1

Semasa 7 bulan yang lalu

Penjawat Awam Kelantan Terima Bantuan Khas RM300

2

Semasa 9 bulan yang lalu

Bayaran Pencen, Pencen Terbitan Dilunas Ikut Amaun Asal — PM

3

Semasa 10 bulan yang lalu

22,000 Pesara Kerajaan Mangsa Scammer, Kerugian RM850 Juta

4

Semasa 1 tahun yang lalu

Durian Runtuh RM700 Untuk Penjawat Awam, Pesara Terima RM350

Sorotan

1

Letupan Bom Sungai Golok: PDRM Tingkat Kawalan Keselamatan Sempadan Malaysia – Thailand

2

Piala Thomas: Malaysia Benam Algeria 5-0 Untuk Tempah Slot Suku Akhir

3

Akta Keselamatan Kesihatan Pekerja (Pindaan) 2022 Berkuat Kuasa 1 Jun

4

Pakar Ekonomi Sabut Baik Penubuhan Akaun Ketiga KWSP

5

Kempen PRK KKB: Semua Pihak Diingatkan Tidak Sentuh Isu 3R - Fahmi

6

Genting Malaysia Nafi Babit Bincang Mengenai Kasino Di Forest City

Disyorkan untuk anda

Kisah Kita 1 hari yang lalu

Kopi Kanvas Seni Tyler Wong

Kisah Kita 8 jam yang lalu

Adam Syed Lakar Nama Malaysia Di Tesla Inc, Terus Terbang Tinggi Bersama Twitch

oleh Sophia Ahmad