Sesiapa yang menonton drama bersiri ‘Tuan Danial’, mungkin pernah mendengar lagu Helloluqman berjudul ‘Goodbye’ yang telah menjadi OST drama tersebut. Block J adalah projek muzik sampingan Helloluqman bersama Joseph Chua yang berentak funk, soul dan R&B yang menghadirkan alunan muzik tahun 90-an.
Duo ini pernah membuat kolaborasi bersama kumpulan indie yang dikenali ramai, The Impatient Sisters dalam sebuah lagu mereka berjudul ‘Reason’. Lagu mereka, ‘Call Me’ juga pernah terpilih dan disenarai pendek untuk Anugerah Lagu Indie yang dianjurkan oleh Hashtag Media, Kamar Seni dan Rakita tahun lalu.
Idea kolaborasi projek muzik ini terbentuk secara spontan dan tidak sengaja tiga tahun yang lepas. “Selepas saya putus cinta, ia memberi semangat yang mendalam untuk menulis lebih banyak lagu tentangnya. Penulisan lagu menjadi satu terapi buat saya kerana dapat meluahkan isi hati dan perasaan yang terpendam serta dialami ketika itu.
“Kita dapat kelegaan yang tak terkata bila dapat membongkarkan semua perasaan itu di atas kertas. Ia juga menjadi satu cara untuk ‘move on’ dan mencapai perasaan ‘content’ yang selama ini kita inginkan. Apa-apa pun, kita mesti tahu yang semua benda terjadi kerana sebab yang tertentu,” kata Luqman, mewakili Block J.
Sejarah terhasilnya nama Block J sebenarnya agak lucu dan unik. “Ia terhasil ketika kami berada di tempat letak kereta di pusat membeli-belah Jaya One dan semasa itu kami masih memikirkan nama kumpulan.
“Selepas itu, kami nampak cahaya matahari mengarah kepada tulisan Block J pada tiang parking. Bagi saya ia menjadi satu petunjuk dari tuhan kerana merupakan singkatan dan gabungan dari nama kami berdua iaitu BLock(Luqman) dan J(oseph),” jelasnya.

Menjelang tahun 2021, Block J kini kembali dengan dua single terbaru mereka berjudul ‘Already Happy’ dan ‘Not A Problem Loving You’ setelah setahun berehat dan hilang dari radar muzik.
Bertemakan cinta, rentak lagu kedua-dua single ini banyak diinspirasikan oleh karya Stevie Wonder, Bruno Mars, The Jackson 5 dan Boyz II Men. Khabar menarik buat semua, kedua lagu ini juga telah dipilih untuk dimainkan di stesen radio Canada Ottawa, CHUO 89.1 FM dalam segment Asianfluence.
Kedua-dua single ini mempunyai konteks dan mesej yang sangat berbeza. Bagi lagu ‘Already Happy’ ia dicipta khusus buat mereka yang telah ‘move on’ dan kini bahagia dengan kehidupan masing masing.
“Melodi lagu ini dicipta oleh kawan saya semasa kami melepak. Ketika itu, saya baru saja putus cinta dan tidak tahu bagaimana nak mengatasi situasi tersebut. Dia menyanyikan satu melodi secara tidak sengaja dan alunannya membuatkan saya tertarik untuk menjadikan ia sebagai sebuah lagu.”

Manakala, ‘Not A Problem Loving You’ pula mempunyai mesej yang menyentuh perasaan iaitu walau apa pun kesilapan seseorang itu pernah lakukan, kasih sayang tidak akan pernah hilang jika kita ikhlas menyayanginya.
“Lagu ini tidak mempunyai maksud tersirat seperti yang pertama. Kami juga ingin menyampaikan bahawa jika kita ada jodoh dengan seseorang, kita pasti akan bertemu lagi di masa yang lain. Mungkin bukan sekarang tapi pada masa hadapan.
“Selain itu, kita tidak boleh berputus asa dengan mencari cinta dan rasa resah jika kita belum bertemu dengan sesiapa.
Satu sebab kami mengeluarkan kedua-dua lagu ini secara serentak adalah untuk memberi bufet lagu cinta pada pendengar kami supaya mereka boleh memilih lagu yang paling sesuai dengan situasi mereka,” jelasnya.
Block J menyatakan harapan mereka agar lagu-lagu ini dapat mengajarkan tentang bagaimana caranya untuk ikhlas menerima segala keadaan.
Cinta adalah satu perkara yang tidak boleh dipaksakan, jika tidak ada jodoh, lebih baik putus sahaja untuk kebaikan bersama. “Kami berharap lagu-lagu ini dapat memberi impak yang positif kepada pendengar dan agar mereka sentiasa positif dengan segala ujian.”
Kedua-dua lagu berjudul ‘Already Happy’ dan ‘Not A Problem Loving You’ ini boleh didengar di semua penstriman digital seperti Spotify, YouTube dan iTunes. – Getaran, 7 April 2021
Semua gambar: Block J