Berita Terkini

3 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 4 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Hobi Mengait Jadi Terapi Diri, Jana Pendapatan

Mengait boleh dianggap sebagai satu terapi yang memberikan ketenangan luar biasa buat suri rumah dan menghindarkan diri dari tekanan

Gaya Dikemaskini 1 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 06 Mar 2024 1:06PM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Setiap orang memiliki hobi tersendiri dan mengait adalah satu daripada aktiviti santai yang kekal popular dengan pelbagai hasil produk boleh dihasilkan, daripada alas kusyen dan meja hingga kepada beg tangan, beg tote serta bekas botol air.

Bernama menjejak dua orang wanita yang berjaya menjadikan bidang mengait sebagai sumber pendapatan iaitu Noorhafizah Hamid, 45, dan Norliza Ghazali, 35.

Menurut Noorhafizah yang berasal dari Jengka, Pahang, beliau mula mengait kira-kira dua dekad lalu selepas tamat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kini adalah pengait sepenuh masa menggunakan jenama Izariecraft Handmade bagi produk kait yang dihasilkan.

"Semasa awal pembabitan dalam bidang mengait ini, saya banyak belajar daripada arwah kakak saya, Noorsahlawati. Kakak mengajar perkara asas selebihnya saya pelajari dari tutorial melalui kelas-kelas dalam talian. Saya juga banyak menonton cara mengait daripada Youtube dan Pinterest," katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Noorhafizah Hamid
Noorhafizah Hamid

Noorhafizah yang beroperasi sepenuhnya dari rumahnya di Pekan (Pahang) menyifatkan mengait sebagai satu terapi yang memberikan ketenangan luar biasa buat suri rumah seperti dirinya selain menghindarkan diri daripada tekanan.

"Mengait menjadikan saya insan yang lebih teliti dalam segala hal. Sepanjang menghasilkan produk mengait ini saya turut melihat karya pengait dari luar negara seperti di negara Arab, Indonesia dan Thailand kerana reka cipta serta produk mereka lebih terkini. Boleh dikatakan prospek pasaran negara luar dalam bidang ini sangat tinggi nilainya jika dibandingkan dengan Malaysia," katanya.

Selain tas tangan, ibu kepada seorang cahaya mata lelaki itu urut menghasilkan kopiah yang tertera nama, topi (beach hat) serta selimut.

Cabaran

Hampir dua dekad mengait, Noorhafizah berjaya menghasilkan lebih 1,000 produk kait dan pastinya setiap barangan memberikan cabaran tertentu.

Untuk menyiapkan sebuah beg tangan, ia memakan masa kira-kira seminggu mengikut saiz dan bentuk, diikuti sarung bekas botol air selama sehari, amigurumi (anak patung mainan) dalam masa dua hari mengikut saiz manakala kopiah dapat dibuat sehari sahaja.

"Paling mencabar dalam mengait ini adalah semasa membuat beg dan amigurumi. Ini kerana kedua produk ini ada corak tertentu yang memerlukan fokus mendalam. Contohnya beg perlu menepati permintaan pelanggan. Lapik dalam beg pun kena buat sekiranya pelanggan mahu.

"Begitu juga dengan amigurumi juga agak mencabar adakalanya mengikut kehendak yang dipinta pelanggan yang mahu sempurna. Sebab itu faktor emosi sangat memainkan peranan semasa mengait," katanya memaklumkan setakat ini beg tangan paling mendapat permintaan tinggi.

Mengenai benang mengait yang digunakan, Noorhafizah berkata, ia adalah jenis polypropylene (pp) dan pp spring, buatan China dan Indonesia.

"Memang banyak benang akan digunakan terutama beg tangan memerlukan dua relung benang. Setiap jenis benang juga tidak sama teksturnya dan saya mendapatkan kesemua benang ini daripada penjual tempatan," katanya.

Antara hasil tangan Noorhafizah
Antara hasil tangan Noorhafizah

Bagi menghasilkan beg tangan yang memukau, kombinasi warna amat penting dan kebiasaannya pelanggan memilih sendiri warna kesukaan mereka.

Jelas Noorhafizah, gabungan warna sangat mustahak untuk menampakkan sesuatu tas atau beg tangan itu menarik.

"Selalunya untuk lebih kelihatan elegan, warna merah akan dipadankan dengan hitam manakala coklat pula bersama hijau emerald," katanya yang tidak terkecuali daripada melalui episod pahit manis apabila produk yang dibuat tidak menjadi dan perlu dibuka semula.

Selain itu detik pahit lain, beliau juga pernah ditipu pelanggan.

Berkongsi sedikit kekecewaan, Noorhafizah menyentuh tentang ketiadaan garis panduan daripada segi harga barangan kait dan ada kalanya ia tidak berbaloi dengan usaha dan tenaga yang dicurahkan.

Adakan Kelas PJJ

Tidak terhenti di situ sahaja, Noorhafizah juga tidak lokek berkongsi ilmu dimilikinya kepada mereka di luar sana yang ingin mempelajari ilmu seni kait.

"Saya adakan kelas melalui telegram serta dalam kumpulan Facebook peribadi (FB group private). Tiada had masa untuk satu kelas dan bayaran adalah seikhlas hati. Setakat ini lebih 20 kelas berjaya diadakan dengan setiap kelas disertai 50 hingga 100 peserta," katanya.

Menurutnya lagi, bergantung pada kesungguhan dalam mempelajari seni tersebut, lazimnya seseorang dapat menguasai kemahiran berkenaan dalam tempoh sebulan.

Sehingga kini pelanggan Noorhafizah adalah dari kalangan dalam talian yang diterima menerusi Instagram, TikTok dan Facebook.

Harga produk yang dijual bermula dari RM80 hingga RM250 untuk beg tangan manakala harga kopiah bagi kanak-kanak RM25 dan RM40 untuk dewasa.

Dalam sebulan beliau mampu menghasilkan antara 10 hingga 20 buah beg, 50 kopiah dengan pendapatan kira-kira RM2,500 (tidak termasuk kelas dalam talian).

Pemilihan warna memainkan peranan penting untuk menarik pelanggan
Pemilihan warna memainkan peranan penting untuk menarik pelanggan

Melihat jauh ke hadapan, Noorhafizah bercita-cita untuk membuka sebuah kedai kraf yang lengkap dengan peralatan untuk mengajar secara langsung atau bersemuka.

"Dengan adanya kedai sendiri boleh saya mengajar anak-anak setempat mengait sekali gus mereka mengetahui bagaimana menambah pendapatan melalui kraf mengait.

"Golongan muda sekarang memang memerlukan kemahiran mengait. Walaupun hanya dari rumah mampu menjana pendapatan sendiri tanpa perlu bergantung dengan suami atau keluarga," katanya.

Peluang Tambah Pendapatan

Bagi Norliza, seorang suri rumah yang berasal dari Kubang Kerian, Kelantan, beliau baru berjinak dalam kraf kait pada awal Disember 2023 dan menyifatkan hobi baharunya itu sebagai terapi yang memberi ketenangan setelah penat melayan kerenah anak-anak sehari suntuk.

Norliza Ghazali
Norliza Ghazali

"Apabila dapat pegang jarum kait terus berasa lega dan kini ia seperti satu ketagihan pula. Walau apa pun tidak dinafikan kesabaran dan ketelitian sangat menguji diri ketika memulakan langkah mengait.

"Jika tersilap kiraan memang kena cabut balik. Namun bila dapat hasil yang sempurna, hati sangat bahagia dan berbunga-bunga.

"Pada saya hikmah dalam mengait ini ialah kita dapat mempelajari ilmu daripada zaman nenek moyang sehingga membuatkan saya terfikir betapa hebat dan kreatifnya seni orang-orang lama," kata pemegang Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat di Universiti Sains Islam Malaysia.

Berhubung cabaran dalam menghasilkan produk kait, ibu kepada dua cahaya mata perempuan berumur lapan dan lima tahun itu berkata, kos bahan yang semakin meningkat seperti benang serta aksesori menjadi faktor kekangan.

"Hendak mengait juga kena pastikan jari-jemari berada dalam keadaan elok. Silap teknik boleh kejang jari sehingga hendak luruskan jari pun sakit. Tapi semua itu hilang tatkala produk yang kita lakukan mencapai kepuasan pelanggan. Pujian dari mereka menaikkan lagi semangat untuk terus mengait," katanya yang mula belajar daripada adik kemudian meluaskan pengetahuan kait dengan merujuk Youtube, TikTok serta bertanya rakan-rakan yang mahir mengait.

Antara produk yang dihasilkan adalah beg dan yang paling mendapat sambutan pelanggan.

Untuk menghasilkan beg tangan, warna yang dipilih memainkan peranan penting
Untuk menghasilkan beg tangan, warna yang dipilih memainkan peranan penting

Menurut Norliza, kebanyakan yang menempah adalah sahabat, saudara serta kenalan dalam media sosial dan kini boleh dikatakan beliau tidak menang tangan menyiapkan tempahan pelanggan.

Namun beliau bersyukur kerana hasil mengait dapat membantu beroleh pendapatan tambahan.

"Sepanjang dua bulan terlibat dengan seni kait ini, alhamdulilah berbaloi anggaran sebulan mendapat tempahan lebih kurang lima hingga lapan buah beg dan setakat ini saya berjaya menyiapkan lebih kurang 13 buah beg dan memperoleh RM500.

"Bagi suri rumah seperti saya dapat juga duit poket tambahan hasil daripada mengait," katanya yang berharap dapat mengeluarkan pelbagai lagi produk kait hasil sentuhan jemarinya dan menarik minat mereka di luar sana untuk terjun ke bidang mengait. - BERNAMA

Semua gambar - BERNAMA

Berita Berkaitan

1

Gaya 1 minggu yang lalu

Adidas Originals Raikan 3 Kasut Klasik Dalam Kempen, '1000 Back' 

2

Gaya 1 bulan yang lalu

Tiada Lagi Koleksi Raya Dari Rizman Ruzaini Selepas Ini, Mahu Tumpu Pasaran Antarabangsa 

3

Gaya 1 bulan yang lalu

Koleksi Denim Marks & Spencer Diperkenalkan di Stor 1 Utama

4

Gaya 2 bulan yang lalu

Bintang Bola Sepak, Son Heung-Ming Kembali Menggayakan Koleksi TUMI 

Sorotan

1

Kemenangan Ke Atas Hong Kong Lonjak Keyakinan Kem Perseorangan - Jun Hao

2

Misi Gaza Freedom Flotilla Ditangguhkan, Peserta Dinasihat Pulang - Ann Wright

3

Kerajaan Tidak Bercadang Gantung Sementara Perkhidmatan Helikopter Jenis Fennec, HOM

4

Tiada Tepung Di Pasaran Tempatan Mengandungi Benzoil Peroksida Melebihi Kadar Dibenarkan - KKM

5

Proses Penamaan Calon PRK KKB Lancar - Polis Selangor

Disyorkan untuk anda

Jelajah 6 jam yang lalu

Dapatkan Pas ASEAN Explorer  Pada Harga Promosi RM999

oleh Rahayu MN