Kala ini, ramai yang sudah maklum bahawa aktres Nabila Huda sedang berada di Kota New York untuk menjayakan program siri travelogue terbaharunya.
Selama 30 hari penggambaran diadakan, selama itulah juga anak kepada rocker lagenda Amy Search ini akan mengenakan pakaian tradisional kebaya rekaan rumah jenama fesyen terkemuka, Royal Kebaya.
Nabila yang mesra disapa sebagai Abil turut menunjukkan koleksi 30 baju kebaya bersama aksesori dan kasut yang bakal digayakannya sepanjang berada dalam sebuah hantaran video.
Tidak hanya itu, setiap hari juga Abil turut memuatkan naik gambar-gambar baju kebaya yang dipakainya untuk penggambaran siri travelogue terbaharunya.
Memang cantik-cantik belaka baju kebaya yang dipakainya. Bermacam rekaan dan warna. Ada yang warna sedondon, ada yang baju kebayanya dipadankan dengan kain warna yang berlainan.
Namun, padanan warna-warna tersebut sangat menarik dengan style rambut dan solekan yang setiap hari berbeza tetapi 'meletop' hasil sentuhan Bosco Ryzal. Apa yang pasti, Abil juga mampu mengetengahkan setiap koleksi fesyen baju kebaya itu dengan begitu bergaya dan penuh keyakinan.
Terbaharu, gambar berbaju kebaya dengan rona shocking green bersama padanan kain ikat rona hijau lembut yang dipadangkan dengan sepatu tinggi shocking pink bersama gaya dandanan rambut klasik telah menarik perhatian pengikutnya di media sosial.

Tidak ramai yang mampu menggayakan kebaya warna yang terang sebegitu, apatah lagi bila mengenakan sepatu tinggi shocking pink. Hanya Abil sahaja yang mampu melakukannya.
Menjayakan penggambaran di Grand Central Station iaitu stesen hub yang menyediakan perkhidmatan keretapi, subway, bas dan teksi, Abil benar-benar kelihatan seperti seorang duta pelancongan Malaysia di seluruh ceruk New York.

Abil sendiri mengakui bahawa dia membawakan watak tersebut:
“She watak watak tourism Malaysia ek! ,” tulisnya sambil tertawa.
Abil juga turut bergambar di bangunan The Vessel yang mendapat sentuhan daripada pereka British, Thomas Heatherwick dengan baju kebaya hitam bermotif bunga yang mempunyai rekaan dan inspirasi Indonesia dengan rambutnya disanggul ke atas.

Bahkan, Nabila turut bergambar di subway yang menunjukkan laluan Downtown & Brooklyn. Meletop!

Di The High Line iaitu sebuah kawasan yang mempunyai laluan dan taman untuk publik berjalan, bersiar-siar atau meluangkan masa, Abil mengenakan baju kebaya rona pastel cokelat bersama taburan bunga pink yang dipadankan dengan kain batik. Abil melengkapkan gaya penampilannya dengan cermin mata warna shocking pink. Sungguh vogue!

Abil turut merakamkan memori di Chelsea iaitu sebuah kawasan kejiranan yang terletak di West Side, Manhattan di New York. Rumah-rumah yang terdapat di kawasan ini seringkali diabadikan dalam filem-filem Hollywood. Amboi, melaram sakan sungguh!

Sebelum ini, Abil telah pun berkongsi dua lagi gambarnya berbaju kebaya rona biru penuh dengan warna jingga terang. Apa lagi yang bakal dikongsi Abil ya? Pasti ramai yang tak sabar nak tahu.– Getaran, 8 Mei 2023