Berita Terkini

1 minit yang lalu: Pemegang unit ASB 2 dan ASM terima jumlah agihan pendapatan sebanyak RM1.64 bilion - PNB 1 minit yang lalu: Pangkalan data untuk PMKS bakal dibangunkan - Zahid 25 minit yang lalu: PM Anwar tiba di Beijing mulakan lawatan rasmi tiga hari ke China 1 jam yang lalu: Kebakaran di Muar: Polis siasat semua aspek termasuk kecuaian 1 jam yang lalu: Bank Rakyat raih keuntungan sebelum cukai, zakat sebanyak RM1.70 billion

IKUTI KAMI


Seni DIY 'House Of Art' Gamit Kenangan Lama

Gaya Dikemaskini 3 minggu yang lalu · Diterbitkan pada 07 Mar 2023 8:00AM

Dikenali sebagai “House of Art", kediaman berkeluasan 3,700 meter persegi itu menjadi sohor kini di aplikasi media sosial TikTok. - Gambar Bernama

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA PILAH - Dari luar, sebuah rumah berstruktur kayu dan simen beratapkan zink di Kampung Temeris di sini, tiada yang istimewa kerana binaannya sama sahaja dengan jiran sebelah-menyebelah. 

Akan tetapi benarlah kata orang, yang dilihat di luar tidak semestinya sama dengan yang di dalam.

Terletak kira-kira 20 minit memandu dari pekan Kuala Pilah, rumah kampung ini menyimpan 1,001 keistimewaan dengan aura tersendiri sehingga mampu memukau sesiapa sahaja yang melangkah masuk ke dalam teratak milik pasangan suami isteri Norfaizal Wahab dan Rafidah Nani Afandi itu.

Rumah kampung ini menyimpan 1,001 keistimewaan dengan aura tersendiri sehingga mampu memukau sesiapa sahaja yang melangkah masuk ke dalamnya. - Gambar Bernama
Rumah kampung ini menyimpan 1,001 keistimewaan dengan aura tersendiri sehingga mampu memukau sesiapa sahaja yang melangkah masuk ke dalamnya. - Gambar Bernama

Dikenali sebagai “House of Art", kediaman berkeluasan 3,700 meter persegi itu menjadi sohor kini di aplikasi media sosial TikTok dan menarik kunjungan peminat hiasan dalaman yang mahu melihat sendiri sentuhan kreatif pasangan yang masing-masing berusia 45 tahun tersebut.

“Kami mula ubah suai rumah ini pada 2010, di mana kami kekalkan ibu rumah dan beranda yang berstruktur kayu sepenuhnya. Kami cuma tambah bahagian dapur dan selepas itu kami mula menghiasi dalaman rumah.

“Kami pilih tema tradisional sebab saya peminat barangan klasik, dan memanfaatkan sepenuhnya barang-barang tinggalan arwah ibu serta ibu mentua saya, Waginum Sasteruwa dan Maroatun Salim. Proses ini siap sepenuhnya pada 2019. Awalnya kami sekadar berkongsi gambar dan video hasil kerja di media sosial untuk tatapan kawan-kawan, tak sangka pula boleh tular,” kata  Rafidah Nani yang merupakan seorang suri rumah  kepada Bernama.

Mula menjadi sebutan dalam kalangan peminat dekorasi dalaman pada 2021, keunikan rumah pasangan itu tidak hanya terletak pada barang-barang lama, tetapi kreativiti Rafidah Nani dan suami dalam memadankan barang-barang lama seperti sudu, penyepit arang dan dulang dengan barangan terpakai. 

“Kami buka rumah ini kepada orang ramai selepas mendapat banyak permintaan daripada mereka yang ingin melihat sendiri dekorasi klasik dan hiasan daripada barangan kitar semula... bukan sahaja dari negeri ini tetapi juga dari Kuala Lumpur, Johor, malah Brunei dan Singapura.

“Apabila mereka memasuki rumah ini, respons mereka ialah dekorasi tersebut barangan mewah. Jadi mereka terperanjat apabila diberitahu ia sebenarnya barangan kitar semula yang kami baik pulih dan hiaskan semula,” ujar wanita itu, menambah kediamannya dibuka kepada umum pada setiap hujung minggu.

Mewah, Nilai Tinggi 

Mungkin ramai tidak percaya, tetapi menurut Rafidah Nani yang lebih mesra dipanggil Kak Nani,  barang buangan seperti kayu lama, kertas, kotak dan kain sebenarnya boleh dijadikan perhiasan rumah yang nampak mewah apabila diolah dan diberikan sentuhan kreatif. 

Ini terserlah apabila barangan terpakai terbabit antara elemen utama dekorasi wanita ini bersama suaminya dalam hiasan DIY (buat sendiri), bermula dari ruang tamu hingga ke bahagian dapur, selain  barangan klasik yang memenuhi segenap ruang rumah tersebut. 

Misalnya, dinding rumah dihiasi pelbagai koleksi seni daripada kertas yang dicantumkan, antaranya menjadi bentuk kebaya dan dibingkaikan, ranting pokok yang menghiasi penjuru ruang tamu, dekorasi kayu terbuang pada dinding rumah atau dijadikan meja, kerusi terpakai dan sebagainya. 

Barangan lama seperti sudu, alat parut kelapa, penapis santan dan penyepit arang yang ketika ini semakin sukar ditemukan, dibingkaikan menggunakan barangan terpakai dan dijadikan hiasan dinding.

“Ada yang terkejut apabila diberitahu perhiasan bunga dan pasu yang dibingkaikan hanyalah daripada bekas papan telur, tin biskut lama, kertas, kotak dan daun belalang kerana  ia nampak mewah apabila dibingkaikan dalam bentuk 3D (tiga dimensi). Malah saya turut mendapat banyak permintaan untuk menghasilkan seni ini. 

“Kami tidak sangka dengan hanya sekadar hobi dekorasi rumah menggunakan barangan terpakai dan klasik turut memberi pendapatan sampingan. Tetapi bagi kami, selain dapat berkongsi pengetahuan, ia juga diharap dapat membuka mata masyarakat bahawa barangan kitar semula dan klasik boleh menjadikan rumah kita nampak mewah dan menarik,” katanya. 

Berkongsi rahsia bahawa dekorasi dalaman rumahnya tidak menelan belanja ribuan ringgit, Rafidah Nani bagaimanapun mengakui bakatnya dalam pertukangan dan jahitan, selain suami pula seorang kontraktor dan mempunyai bengkel kecil di tepi rumah, memudahkan mereka menzahirkan kreativiti masing-masing.

Katanya beliau berasa puas apabila dapat menghasilkan sendiri perhiasan rumah menggunakan barangan terpakai kerana dapat mengikut cita rasa sendiri biarpun ada antaranya rumit dan mengambil masa untuk disiapkan. 

Ibu Sumber Inspirasi  

Ketika ditanya tentang sumber inspirasinya, Rafidah Nani berkata arwah ibu banyak memainkan peranan dengan mendedahkan mereka 10 beradik kepada nilai tersembunyi barang buangan. 

“Kami bukannya daripada keluarga senang. Jadi, emak memang akan menggunakan barangan terbuang untuk dikitar semula. Contohnya kerusi atau meja kecil, emak buat sendiri menggunakan barangan terbuang. 

“Dari situlah kami adik-beradik mula menghargai barangan terpakai, dan bagi mengubati kerinduan pada arwah emak yang meninggal dua tahun lepas, saya turut mempamerkan busana kebaya yang dijahit sendiri oleh emak pada dinding rumah dengan konsep minimalis,” katanya.

Malah, baju kebaya hijau lumut milik ibunya dengan ukuran lilit pinggang antara 25 dan 26 inci sekalipun mempunyai 10 anak, turut menjadi tumpuan pengunjung yang tidak melepaskan peluang merakam gambar. Irama lagu keroncong yang menjadi halwa telinga pengunjung, menambahkan lagi suasana "tradisional” di dalam rumah itu. 

Mengakui arwah ibu adalah idolanya dalam banyak perkara, Rafidah Nani berkata beliau kagum dengan cara ibunya menjaga penampilan diri apabila sering berkebaya walaupun ketika melakukan kerja rumah. 

Keindahan dalaman rumah itu diserlahkan lagi dengan penggunaan warna neutral di ruang tamu yang memanfaatkan pencahayaan semula jadi. - Gambar Bernama
Keindahan dalaman rumah itu diserlahkan lagi dengan penggunaan warna neutral di ruang tamu yang memanfaatkan pencahayaan semula jadi. - Gambar Bernama

Keindahan dalaman rumah itu diserlahkan lagi dengan penggunaan warna neutral di ruang tamu yang memanfaatkan pencahayaan semula jadi, sekali gus menjadi tarikan pengunjung untuk bergambar kenangan dan  menayangkan  “OOTD”  atau outfit of the day.

Bahagian beranda rumah pula dihiasi kerusi lama, persis suasana kampung di mana ahli keluarga duduk berkumpul dan bersantai.

“Selain menerima kunjungan orang ramai untuk melihat dekorasi klasik menggunakan barangan terpakai, kami juga terima permintaan daripada mereka yang ingin merasai pengalaman hidup di kampung dengan menikmati menu kampung.

"Jadi, bergantung pada permintaan dan pakej, kami tawarkan menu sarapan seperti lempeng kelapa dan hidangan tengah hari seperti gulai kampung, ikan keli salai dan sebagainya yang dimasak oleh rakan saya,” ujarnya.

Nukilan Ayah Di Ruang Makan

Bagi menjamin keselesaan, pasangan suami isteri itu hanya menerima satu keluarga atau rombongan pada satu-satu masa.

“Mereka boleh nikmati hidangan sama ada di dapur, beranda ataupun ruang makan,” kata Rafidah Nani, menambah kesemua perabot di ruang dapur dihasilkan daripada barang terbuang seperti rangka katil yang dijadikan “island” dapur sementara perabot lama dicat semula dengan warna biru lembut yang dipadankan dengan ton bumi, menjadikan ruang itu tampak lebih luas dan ceria. 

Di bahagian dinding ruang makan, dipamerkan ayat bertulisan jawi -  “Hidup Tiada Makna Tanpa Cinta, Tapi Cinta Yang Mana?” yang dinukilkan oleh arwah ayah wanita itu,  Afandi Markawi yang  meninggal dunia pada awal Februari lalu.

“Ruang dapur ini dilengkapi tempat beristirahat bersama keluarga yang juga tempat kami menonton televisyen selain turut dipamerkan beberapa barangan lama seperti tepak sirih, dulang tembaga dan kukur kelapa tradisional,” katanya.

Rafidah Nani bersyukur kerana selain dapat berkongsi minatnya dalam hiasan dalaman dengan orang ramai, aktiviti itu turut memberi pendapatan sampingan kepada keluarga menerusi bayaran masuk serendah RM10 yang dikenakan ke atas pengunjung.

“Ini tidak termasuk pakej makanan yang kami sediakan atas permintaan,” jelasnya, menambah secara purata mereka menerima kunjungan lebih 50 orang sebulan, dan mereka yang berminat boleh menghubunginya melalui telefon 017-6386348 atau di TikTok @houseofartn9 untuk pertanyaan lanjut. - Bernama

Berita Berkaitan

1

Usahawan 5 hari yang lalu

Nikmati Sayuran Segar Aininaz Farm Kuala Pilah Seperti Di Cameron Highlands

2

Semasa 3 bulan yang lalu

11 Mangsa Terjejas Banjir Kilat

3

Politik 4 bulan yang lalu

Poster Calon PH Kuala Pilah Bermandi Cat Merah

4

Semasa 5 bulan yang lalu

Ibu, Anak Maut Nahas

Sorotan

1

4 Beradik Maut Kebakaran Sembunyi Dalam Tandas Cuba Selamatkan Diri

2

Perkhidmatan Kesihatan Servis Kritikal, Babitkan Nyawa, Jangan Rosakkan Dengan Mogok 

3

Cakna Jenis Ikan Buntal Elak Kematian, Pastikan Penjual Berpengetahuan Sebelum Beli

Disyorkan untuk anda

Selera 9 jam yang lalu

Nasi Tenong Tarikan Baharu Payang Water Taxi

Selera 1 hari yang lalu

Gerai Juadah Sahur Mudahkan Pelanggan Nikmati Makanan Segar, Panas

"Harga sama seperti siang tetapi pada malam lauk berbeza dan lebih banyak pilihan disediakan. Malam (berniaga) lebih laris pada bulan Ramadan lebih-lebih lagi u...