Berpaksikan genre drama kekeluargaan yang digabungkan dengan elemen komedi, Ali & Ratu-Ratu Queens barangkali bukanlah sebuah filem yang mampu diklasifikasikan sebagai terlalu hebat dari segi pembikinannya, namun begitu ia memiliki naratif yang disampaikan secara jujur dan bersahaja.
Kisahnya mudah dan ringkas. Anak muda bernama Ali lakonan Iqbal Ramadhan yang sudah meningkat remaja mahu mencari ibu kandungnya di kota New York setelah ibunya meninggalkan dirinya sewaktu dia masih lagi anak kecil.

Pencariannya menemukan dia dengan empat wanita berlainan karakter Party (Nirina Zubir), Biyah (Asri Welas), Ance (Tika Panggabean) dan Chinta (Happy Salma). Ance memiliki anak perempuan bernama Eva (Aurora Ribero) yang bercita-cita mahu menjadi penyanyi dan pemuzik.
Ada waktunya, keempat-empat wanita ini seolah-olah mengingatkan kita kepada Carrie Bradshaw (Sarah Jessica Parker), Samatha Jones (Kim Cattrall), Charlotte York Goldenblatt (Kristin Davis) serta Miranda Hopes (Cynthia Nixon).
Bezanya mereka adalah pekerja imigran saling bergantung di antara satu sama lain.

Walaupun kehidupan di rantau orang sangat getir namun mereka sentiasa ceria, tidak pernah mengalah serta tetap mahu berusaha untuk menggapai cita-cita dan impian untuk membuka restoran di kota yang digelar Big Apple itu.
Filem ini banyak menjalani penggambaran filem di Queens, New York.
Sungguhpun Queens tidak memiliki banyak tarikan seperti mana Manhattan atau Brooklyn, namun pengarah cuba memaparkan bangunan-bangunan pencakar langit beserta tanda tempat terkenal di New York seperti Statue of Liberty serta Times Square. Namun, jiwa New York tidak dimaksimalkan dengan sebaiknya.
Bersama naratif yang disampaikan secara jujur dan bersahaja, Iqbal Ramadhani berjaya sekali membawakan watak Ali dengan begitu berkesan. Namun, ia mungkin tidak akan dicapai tanpa dukungan daripada Nirina Zubir, Asri Welas, Tika Panggabean, Happy Salma. Keserasian mereka dapat dirasai sekali.
Lakonan Marissa Anita juga wajar dipuji. Jauh di sudut hatinya dia menyayangi Ali. Akan tetapi, dia tidak dapat menerima Ali semula di dalam hidupnya kerana dia sudah mendirikan rumah tangga bersama suami warga Amerika Syarikat serta memiliki dua anak.

Saat meminta Ali membenci dirinya dan melupakan dirinya sebagai seorang, ia adalah sebuah momen yang cukup menyayat hati. Kekecewaan Ali dizahirkan dengan begitu baik dan rapuhnya jiwa sang ibu sangat menyatakan hal itu sangat dirasai.
Apa yang jelas, sinematik feel di dalam filem ini berjaya diterjemahkan pengarahnya Lucky Kuswadi dengan bahasa visual yang penuh impak. Begitu juga dengan scheme warna yang digunakan.
Warna yang terang membuka filem ini dengan luas bagi menunjukan bagaimana berwarna-warninya kehidupan di New York. Waktu saat sedih dan kecewa, scheme warnanya bertukar kepada melankolik.
Selaku sinematografer, Batara Goempar berjaya menyempurnakan aspek sinematografi untuk membawa filem ini ke tahap yang lain iaitu ia kelihatan seperti sebuah filem yang diterbitkan Hollywood, walhal ia terbitan syarikat produksi Indonesia.

Ada syot yang juga menarik dan juga penggunaan kamera bercerita sendiri menggunakan syot-syot yang diambil. Teknik passage of time juga digunakan pada waktu tepat.
Sungguhpun begitu, filem ini tetap mempunyai beberapa kelemahannya.
Misalnya, keempat-empat wanita yang membantu Ali di dalam filem ini adalah pekerja imigran tetapi kehidupan mereka yang getir tidak begitu dirasai. Mereka tampak santai dan punyai lebih masa untuk duduk-duduk sahaja tanpa terlalu bekerja keras.
Ia seperti tidak masuk akal dan inilah antara kelemahan yang sering didapati dalam filem-filem bergenre sebegini termasuklah buatan Hollywood sendiri.
Kekangan bajet mungkin antara sebab mengapa banyak scene dilakukan di rumah dan hanya kawasan-kawasan di luar lokasi rumah yang digunakan juga agak terhad.

Apapun, Ali & Ratu-Ratu Queens menyedarkan kita bahawa adakalanya setiap manusia mempunyai impian dan hala tuju yang berbeza di dalam hidup.
Ketika kita cuba mengejar impian demi meraih kasih sayang daripada seseorang yang bermakna dalam hidup kita, kita mungkin tidak sedar bahawa ada orang lain yang lebih menghargai dan menyayangi diri kita dengan lebih tulus.
Sinopsis:
Mengisahkan seorang anak muda bernama Ali (Iqbaal Ramadhan) yang tegar mencari ibu kandungnya di kota raya New York. Ali ditinggalkan ibunya, Mia (Marissa Anita) sewaktu dia masih kecil.
Selepas bapanya (Ibnu Jamil) meninggal dunia, Ali akhirnya mendapat tahu bahawa ibunya pernah mengutuskan tiket pesawat untuknya datang ke New York.
Memutuskan untuk menjejaki ibunya di kota metropolitan itu, Ali kemudian berkenalan dengan empat orang wanita yang berlainan karakter iaitu Party (Nirina Zubir), Biyah (Asri Welas), Ance (Tika Panggabean)dan Chinta (Happy Salma).
Menerusi keempat-empat wanita dan bantuan daripada mereka, Ali akhirnya menemui ibu kandungnya semula.
Akan tetapi, seperti banyaknya arah jalan di kota raya yang mencetus pelbagai impian itu, Ali akhirnya menyedari bahawa arah mereka tidak sama dan banyak jalan yang harus dilalui untuk dia menemui erti kasih sayang keluarga yang sejati serta perjuangan dalam mengejar impian. - Getaran, 22 Jun 2021
Tajuk: Ali & Ratu-Ratu Queens
Pengarah: Lucky Kuswadi
Lakon Layar: Gina S Noer
Skrip: Gina S Noer & Muhammad Zaidy
Produser: Meiske Taurisia & Muhammad Zaidy
Pengarah Fotografi: Batara Goempar
Muzik: Mar Galo, Ken Jenie
Pelakon: Iqbal Ramadhan, Nirina Zubir, Asri Welas, Tika Paggabean, Happy Salma, Aurora Roibero, Marissa Anita dan Ibnu Jamil
Genre: Drama Komedi Kekeluargaan
Tarikh Tayangan: 17 Jun 2021
Platform: Netflix
Semua gambar: Ihsan Netflix Malaysia