web statsweb stats

Berita Terkini

1 bulan yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 1 bulan yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 6 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 7 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 8 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


Main Badminton Guna Tangan Kiri, Turun Berat 12 Kilogram Antara Pengorbanan Jack Tan Untuk Filem 'Gold'

Jack Tan mengambil masa tiga bulan untuk mahir bermain badminton menggunakan tangan kiri hasil bimbingan tenaga profesional.

Filem & TV Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 03 Apr 2023 1:12PM

Jack Tan juga terpaksa menurunkan berat badan sebanyak 12 kilogram bagi memastikan bentuk fizikalnya di layar serupa dengan watak yang dibawanya - Gambar Astro Shaw

oleh

Wafa Aula

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Pelakon Jack Tan, 32, mendedahkan, tidak mudah menjalani latihan selama tiga bulan bagi menjayakan watak atlet sukan negara, Cheah Liek Hou menerusi filem Gold

Filem Gold terbitan Astro Shaw di bawah arahan pengarah pecah panggung, Adrian Teh itu mengangkat sebuah naskhah autobiografi atlet badminton kebanggaan negara, Cheah Liek Hou semasa piala Sukan Paralimpik Tokyo pada tahun 2020.

Dalam tempoh tiga bulan yang diberikan pihak produksi, Jack perlu mahir bermain badminton menggunakan tangan kiri memandangkan Cheah Liek Hou merupakan seorang kidal. Tidak membiarkan Jack terkontang-kanting, pihak produksi turut mengadakan sesi latihan khas untuk Jack dengan hasil bimbingan bekas pemain badminton profesional negara.

“Ramai yang cakap projek ini merupakan sebuah mission impossible untuk saya. Cuba bayangkan, saya perlu mahir bermain badminton dengan tangan kiri. Memang susah. 

“Saya masih ingat semasa menghadiri kelas pertama, saya langsung tak boleh pukul bulu tangkis. Saya sangat kecewa. Tapi lama-kelamaan saya menjadi bertambah baik,” katanya ketika ditemui Getaran di lokasi penggambaran filem Gold di Stadium Malawati baru-baru ini. 

Bukan itu sahaja, Jack juga terpaksa menurunkan berat badan sebanyak 12 kilogram bagi memastikan bentuk fizikalnya di layar serupa dengan watak yang dibawanya. 

Lebih mencabar, untuk bahagian kedua penggambaran ini, Jack juga terpaksa menaikkan berat badannya sehingga 100 kilogram dalam tempoh tiga bulan bagi menjelmakan situasi sebenar realiti kehidupan yang terpaksa dilalui oleh Cheah Liek Hou ketika di zaman kegelapannya.

“Setiap kali ada projek yang baru, saya akan ubah penampilan saya untuk karakter tertentu. Dalam filem ini saya kena kuruskan badan untuk mendapatkan berat sebanyak  68 kilogram berbanding berat asal saya iaitu 80 kilogram sebelum ini. Bagi menjayakannya, pihak produksi bersetuju untuk menaja makanan diet dan sesi latihan untuk saya.

“Bukan itu sahaja, akan ada bahagian kedua di dalam filem ini di mana Cheah Liek Hou pernah berasa putus asa dan berhenti bermain badminton sehingga menyebabkannya menjadi gemuk. Jadi selepas kurus, saya kena jadi gemuk sehingga 100 kilogram pula,” katanya sambil ketawa.

Namun begitu, Jack menyahut setiap cabaran yang diberikan produksi kerana percaya filem Gold ini mampu memberikan motivasi khususnya kepada para atlet paralimpik yang bakal beraksi di kejohanan sukan dunia tahun hadapan. 

Terdahulu, Cheah Liek Hou mencipta sejarah apabila membawa pingat emas untuk negara semasa Sukan Paralimpik Tokyo 2020 hasil bimbingan jurulatih, Rashid Sidek. Gold menceritakan perjalanan atlet itu sepanjang kejohanan dunia berkenaan. Turut sama-sama menjayakan filem ini ialah Farid Kamil, Freddie Ng, Fabian Loo dan Wan Raja. - Getaran, 3 April 2023

Berita Berkaitan

1

Sukan 8 bulan yang lalu

Pearly Tan–Thinaah Rangkul Juara Kumamoto Masters, Pamer Aksi Penuh Dramatik

2

Sukan 10 bulan yang lalu

Tang Jie-Ee Wei Julang Emas Dunia, Hadiah Merdeka Buat Malaysia

3

Semasa 1 tahun yang lalu

Harga RON97, Diesel Di Semenanjung Naik 3 Sen

4

Sukan 1 tahun yang lalu

‘Tingkatkan Kualiti BAM, Tak Perlu Timbul Isu Presiden’ - Jahaberdeen

Sorotan

1

Tok Mat Tiba Di Pusat Penamaan Calon DUN Rantau, Zahid Jadi Pengiring

2

PRN Negeri Sembilan: 4 Calon PH, 3 Calon BN Tiba Di Pusat Penamaan Calon

3

Mayat Kanak-Kanak Perempuan Hilang Ditemukan, 2 Lelaki Ditahan

4

Dituduh Rogol Remaja Bawah Umur, Pempengaruh Media Sosial Mengaku Tidak Bersalah

5

Diperdaya ‘Love Scam’ Di Telegram, Pelajar Universiti Rugi Lebih RM56,000

6

Tarik Diri Daripada Kerajaan Negeri, DAP Melaka Beralih ke Blok Pembangkang