Filem yang mengetengahkan seni mempertahankan diri bukanlah sesuatu yang baharu di arena filem tempatan. Namun pada waktu yang sama, ia jarang dihasilkan.
Terbaharu, sebuah filem terbitan Power Team Entertaiment Sdn Bhd berjudul Siku 12: Langkah Derhaka baru sahaja menjengah pawagam bermula semalam.
Filem yang diarahkan oleh Azhari Zain ini mempertaruhkan dua bakat besar dan popular iaitu Syafiq Kyle dan Zahiril Adzim sebagai tunjang utama.
Mengambil latar tempat di utara tanah air iaitu di Kedah, filem ini mengangkat seni mempertahankan diri Muay Thai dan Seni Silat Halilintar Senaman Siku 12.
Filem ini mengisahkan tentang dua orang sahabat baik yang tinggal di sebuah kampung yang turut didiami masyarakat Siam. Atid lakonan Syafiq Kyle merupakan anak seorang tukang kayu bersahabat baik dengan A Wut yang berketurunan Siam. Mereka berdua sangat meminati sukan Muay Thai. A Wut merupakan juara beberapa kali dalam pertandingan Muay Thai.
Dalam masa yang sama, ada pihak yang berdendam dengan bapa Atid sehingga menyebabkan mereka diserang. Sewaktu diserang pihak musuh, Atid melihat ketangkasan bapanya menewaskan musuh dalam masa yang singkat menggunakan teknik seni mempertahankan diri yang belum pernah dilihatnya selama ini.
Atid menjadi penasaran dan betul-betul ingin mempelajari teknik yang digunakan bapanya. Puas dia merayu agar diberikan tunjuk ajar, namun bapanya enggan menurunkan ilmu tersebut. Namun, akhirnya bapanya akur dan memberitahu rahsia Siku 12 yang pernah dipelajarinya sewaktu muda.

A Wut yang secara tidak sengaja terlihat Atid sedang berlatih dengan bapanya berasa dirinya dikhianati kerana menyangka itu adalah strategi Atid untuk menewaskannya dalam perlawanan Muay Thai yang akan disertai mereka.
Penulis diberitahu bahawa filem ini pada awalnya dihasilkan sebagai sebuah ‘supertele’ untuk siaran televisyen, namun kemudian diangkat ke layar perak.
Sejujurnya, banyak kepincangan yang dilihat dalam filem. Paling ketara adalah pemilihan para pelakonnya. Hanya Syafiq Kyle dan Zahiril Adzim sahaja merupakan pelakon komersial yang dikenali. Selebihnya merupakan wajah yang tidak pernah dilihat. Jika ada pun, mungkin seorang dua pelakon tambahan seperti Anas Ridzuan yang melakonkan watak ejen sukan lasak.

Bukan tidak boleh memberikan peluang untuk pelakon baharu memperlihatkan bakat mereka, namun ‘chemistry’ di antara pelakon juga sangat penting.
Gandingan Syafiq Kyle dengan pendatang baru, Moon sebagai pasangan kekasih terlihat sangat canggung. Watak-watak sampingan untuk karakter antagonis pula masih kelihatan seperti berada di takuk yang lama. Ibarat dibuat-buat lakonannya.
Difahamkan juga filem ini hanya mengambil masa selama dua minggu sahaja untuk proses penggambaran. Mana mungkin tempoh sesingkat ini, sebuah filem yang mengangkat seni mempertahankan diri dengan koreografi yang agak kompleks mampu dihasilkan dengan penuh kualiti.

Koreografi seni mempertahankan diri sewaktu Atid sedang berlatih bersama A Wut juga terlihat lemah seolah-olah amatur yang baru mahu mempelajari langkah pertama. Terkadang wajah Syafiq Kyle kelihatan seperti tidak bermaya seolah-olah dia sedang keletihan biarpun untuk babak yang tidak melibatkan aksi lasak.
Pada penulis filem ini mempunyai premis idea yang baik untuk diketengahkan namun tidak dilaksanakan dengan baik. Ibarat menonton sebuah filem yang dihasilkan pelajar jurusan perfileman untuk projek semester akhir.
Bahkan, poster filem ini juga khabarnya mendapat kritikan netizen di media sosial. Semoga pihak produksi mengambil kira setiap perincian untuk menghasilkan sebuah filem seiring dengan peredaran zaman. – Getaran, 28 Oktober 2022
Rating : 2.5 Getar