Pelakon Jasmine Suraya mengakui bahawa dia menghadapi kepayahan untuk membawakan watak sebagai Shalin Zulkifli iaitu ratu boling negara dalam Ratu Ten Pin 2: Shalin yang merupakan kesinambungan daripada Ratu Ten Pin terbitan JS Pictures.
Kepayahan yang dilalui Jasmine itu bukan sahaja disebabkan dia perlu menguasai permainan boling semata-mata tetapi pada masa yang sama perlu menterjemahkan sisi Shalin yang berbeza melalui kehidupan peribadinya.

“Kalau kita melihat video-video Shalin sebelum ini, apa yang kita nampak adalah dirinya daripada sudut luaran.
“Tapi, kita tidak pernah melihat aspek hubungannya bersama keluarga dan rakan-rakannya dan bagaimana dia berinteraksi dengan mereka.
“Bahkan, dalam Ratu Ten Pin 2: Shalin ini juga kita dapat melihat bagaimana dia melalui kepayahan untuk berjaya.
“Dia bukan sahaja perlu buktikan kepada orang tentang kemampuan dirinya tetapi juga terhadap dirinya sendiri,” katanya.
Jelas Jasmine lagi, sewaktu mendapat skrip Ratu Ten Pin 2: Shalin, dia terkejut kerana mendapat terlalu banyak babak menangis Shalin yang dimuatkan.
“Saya tanya kepada Shalin sendiri, kamu memang banyak menangis ke. Dia akui, memang dia banyak menangis setiap kali kalah. Jadi, ada banyak kekecewaan diri dan ia memang penuh dengan emosi.
“Saya sendiri tidak mengambil apa-apa job selama tiga bulan selepas menjayakan watak Shalin di dalam drama ini.
“Ia cukup memenatkan mental saya dan satu-satunya watak paling mencabar yang pernah saya bawakan dalam kerjaya lakonan saya.
“Satu lagi, karektor peribadi saya sangat kewanitaan dan ia sengat berbeza dengan Shalin,” katanya.
Selain Jasmine Suraya, drama terbitan JS Pictures Sdn Bhd yang berunsurkan genre sukan ini menampilkan barisan pelakon popular seperti Yusuf Bahrin, Elisya Sandha, Nazim Othman dan Sheila Rusly.

Bahkan, drama bersiri 20 episod arahan sutradara Hj Azman Hj Yahya (Jinggo) ini turut didukung barisan pelakon terkenal seperti Nasz Sally, Wani Kayrie, Linda Onn, Riezman Khuzaimi, Datuk Fizz Fairuz dan juga bekas pemain profesional tenpin boling Malaysia, Syaidatul Afifah.
Ratu Ten Pin 2: Shalin diinspirasikan daripada kisah hidup ratu boling negara, Shalin Zulkifli termasuk bibit-bibit permulaan dirinya berkecimpung dan menyertai pasukan boling negara.
Menerusi musim kedua, Mem Maria menjemput Shalin menyertai pasukan boling negara kerana kagum melihat kebolehannya. Setelah melihat kebolehan ahli baharu pasukan negara itu, Norma dan Sandra mula mencemburui kebolehan Shalin dan berpura-pura berbaik dengannya.

Mereka berhasrat untuk menjatuhkan Shalin kerana merasakan diri mereka terancam dengan kehadirannya. Penonton juga akan dapat menyaksikan bagaimana hubungan Shalin dan Azidi bermula hingga akhirnya membawa ke jinjang pelamin.
Ratu Ten Pin 2: Shalin ini akan mual ditayangkan di Astro Ria mulai 11 Julai ini, setiap Isnin hingga Khamis, jam 11 malam. Saksikannya menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO. - Getaran, 1 Julai 2022.
Gambar: Astro