Berita Terkini

4 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 5 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Setelah Sepuluh Tahun, 'Ke Mana Tumpahnya Kuah' Tetap Panas

Terlalu banyak drama, bermula dari pembikinan, tayangan namun akhirnya  berjaya juga mengisi panggung-panggung selepas 10 tahun.

Filem & TV Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 09 Jun 2022 4:15PM

oleh

Wafa Aula

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Ketika naskhah 'Spilt Gravy' atau 'Ke Mana Tumpahnya Kuah' dipentaskan dalam sebuah teater pada tahun 2002, penulis masih terlalu kecil. Namun hasil tulisan Allahyarham Jit Murad sudah diperkatakan banyak orang.

Memindahkan sebuah karya dari pentas teater ke layar putih bukanlah mudah. Namun Datuk Zahim Albakri mengambil cabaran itu kerana yakin naskhah ini wajar mengisi panggung-panggung di Malaysia.

Filem ini sebenarnya sudah siap sepenuhnya pada tahun 2011, namun filem bergenre komedi gelap ini diklasifikasikan sebagai Tidak Sesuai Untuk Tayangan  (TUT) oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF). Mereka menunggu sedekad sebelum ia diluluskan. Dalam tempoh itu, mereka terpaksa merombaknya sehingga lima kali untuk diterima dan diluluskan tayangan.

Cabarannya tidak berhenti di situ, setelah ia diluluskan untuk tayangan, pandemik pula melanda. Mereka terpaksa menunggu lagi dua tahun untuk ditayangkan di pawagam.

Namun apa yang menyedihkan, ketika naskhah ini akhirnya mengisi panggung selepas lebih sedekad. Penulisnya, Jit Murad tidak sempat menyaksikan karyanya kerana telah pulang ke negeri abadi Februari tahun ini. 

Bagi naskah yang sudah dibikin selama sepuluh tahun, hanya ada satu persoalan penting dan signifikan untuk difikirkan. Adakah ia masih relevan untuk tontonan khalayak masa kini? Sedekad bukanlah usia yang sekejap, ada banyak yang berlaku, kita terdedah kepada perubahan sepanjang tempoh ini termasuklah selera, isu juga perkara teknikal dalam dunia lakon layar tanah air.

Ke Mana Tumpahnya Kuah (kalau tidak ke nasi) adalah peribahasa yang bermaksud perangai dan sikap ibu bapa akan turun kepada anak-anaknya. Seluruh filem ini membedah dan menceritakan makna daripada peribahasa dua baris itu sepanjang 115 minit tayangan.

Ia menceritakan seorang Bapak lakonan Datuk Rahim Razali yang hanya mempunyai masa beberapa jam sahaja sebelum mati. Dia diberi kesempatan untuk melunaskan apa sahaja isu yang belum selesai di dalam keluarganya, sebelum malaikat maut mengambil nyawanya. Bapak memanggil kesemua anaknya untuk menghadiri makan malam terakhir.

Sepanjang tempoh beberapa jam itu, penonton akan dibawa memahami dan melihat sendiri apa yang dihadapi oleh anak-anaknya kesan daripada seorang bapa yang bukan sahaja lantang, juga mempunyai banyak isteri dan skandal sepanjang hidupnya.

Menonton filem ini, akhirnya penulis memahami kenapa ia menunggu bertahun-tahun sebelum ditayangkan. Ia menyentuh banyak hal-hal sensitif yang menurut penulis kalau ia ditayangkan sepuluh tahun lalu, masyarakat akan tersinggung kerana tidak terbuka seperti hari ini. Dari isu politik, dadah, percintaan hubungan sejenis dan skandal perempuan simpanan yang mungkin tidak sesuai ditayangkan pada zaman itu.

Biarpun ia berlatarkan tahun 2011 dengan kereta wira dan model telefon bimbit yang sudah dianggap klasik. Namun penulis terkejut kerana latar ceritanya masih segar. Isunya masih panas jika mahu dikupas lebih panjang. 'Kemana Tumpahnya Kuah' menceritakan tentang keluarga dan ragam anak-anak yang pelbagai. 

Tapi jika dilihat dalam skop dan konteks yang lebih luas, iaitu sebuah negara. Ia seolah-olah mengajak kita berfikir apakah acuan yang sedang kita bawa kepada sebuah pemerintahan sehingga membuatkan kita terpaksa menanggung cara dan gaya hidup seperti hari ini? Apakah kita bahagia? 

Jika negara adalah sebuah keluarga seperti yang tercatat dalam tagline propaganda. Kita hidup dengan pelbagai keinginan, ragam dan pendapat yang berlainan. Bagaimana kita menguruskan perbezaan ini? Apakah keluarga akan menindas sesama ahli keluarga sendiri? Kehilangan apakah yang perlu kita telan semata-mata untuk memenangi keinginan dan keegoan pihak tertentu? Filem ini mengupas semua persoalan ini dalam langgam yang sangat jelas dan tenang. Perubahan plot dari act satu hingga tiga semuanya tersusun kemas dan tercantum di bahagian peleraian dengan cara yang bernas.

Namun begitu, filem ini mempunyai target penonton yang sangat spesifik iaitu golongan kelas pertengahan yang berbahasa Inggeris. Tak semua boleh mengaitkan hidup mereka dengan ‘keluarga’ yang dimaksudkan pengarah. Beberapa babak filem ini mungkin dirasakan tidak selesa oleh sebahagian penonton. 

Apapun, penulis tetap merasakan ia filem yang menarik untuk ditonton. Ia sebuah karya adaptasi yang berjaya dan tidak canggung walaupun diambil daripada sebuah naskhah teater di pentas yang besar. 

'Ke Mana Tumpahnya Kuah' sudah mula ditayangkan bermula hari ini di pawagam. Selamat menonton! - Getaran, 9 Jun 2022

4 Getar 

Berita Berkaitan

1

Filem & TV 1 minggu yang lalu

Reviu Filem: 'Sheriff' Filem Syafiq Yusof Paling Berani, Papar Sisi Gelap PDRM

2

Filem & TV 1 minggu yang lalu

'Sheriff' Karya Paling Jujur, Janjikan Kelainan Sisi Polis

3

Filem & TV 2 bulan yang lalu

Lal Salaam Lakonan Rajinikanth, Gabung Elemen Perpaduan Menerusi Sukan

4

Luar Negara 2 bulan yang lalu

WGS 2024: Shah Rukh Khan Bawa Inovasi Teknologi Dalam Industri Filem India

Sorotan

1

Akta Keselamatan Kesihatan Pekerja (Pindaan) 2022 Berkuat Kuasa 1 Jun

2

Pakar Ekonomi Sabut Baik Penubuhan Akaun Ketiga KWSP

3

Kempen PRK KKB: Semua Pihak Diingatkan Tidak Sentuh Isu 3R - Fahmi

4

Genting Malaysia Nafi Babit Bincang Mengenai Kasino Di Forest City

5

Akta Laut Wilayah Masih Sah, Terpakai Termasuk Di Terengganu - PMO

6

PM Akan Hadir Forum Ekonomi Dunia Di Riyadh Dalam Lawatan Kerja

Disyorkan untuk anda

Selebriti 17 jam yang lalu

Uqasha Dan Kamal Adli Timang Cahaya Mata Pertama

oleh Wartawan Hiburan Getaran