Berita Terkini

1 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 1 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


'Black Widow' - Penuh Dengan Adegan Stereotype Filem Superhero Marvel 

'Black Widow' mungkin sedikit menghampakan kerana tidak memberi keadilan sepenuhnya kepada Scarlett Johansson sebagai Natasha Romanoff, namun ia juga pengakhiran yang baik buat aktres ini sebelum meninggalkan Marvel Studios. Awas, ulasan ini mengandungi 'spoilers'!

Filem & TV Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 28 Sep 2021 5:04PM

oleh

Ellyna Ali

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Peminat setia superhero Marvel, pasti sudah mengenali Natasha Romanoff atau Black Widow sejak Iron Man 2 (2010), The Avengers (2012), Captain America: The Winter Soldier (2014), Avengers: Age of Ultron (2015), Captain America: Civil War (2016), Avengers: Infinity War (2018), Captain Marvel (2019) dan Avengers: Endgame (2019). 

Selepas beraksi bersama rakan-rakan superhero yang lain, akhirnya Natasha Romanoff lakonan Scarlett Johansson telah diberikan penghormatan apabila Marvel Studios membuat keputusan untuk menghasilkan sebuah filem khusus buatnya. 

Ya, selepas kematiannya di dalam Avengers: Endgame, Marvel Studio cuba menyoroti kisah hidupnya dalam filem prekuel yang berlatarbelakangkan selepas kejadian dalam Captain America: Civil War

Dalam filem Black Widow ini, segalanya tentang Natasha Romanoff telah terjawab yang mana Alexei Shostakov atau Red Guardian (David Harbour) dan Melina Vostokoff (Rachel Weisz) bukanlah ibu bapa angkatnya dan Yelena Belova (Florence Pugh) juga bukan adik kandungnya. 

Alexei Shostakov dan Melina adalah ejen perisikan Rusia yang menyamar menjadi ibu bapa mereka dan mereka kemudian diserap masuk sebagai ejen perisikan Black Widow di bawah kawalan General Drekov, pemimpin Red Room.

Selepas bergabung dengan semua ahli keluarga olok-oloknya itu, misi mereka adalah untuk memusnahkan Dreykov dan menghentikan rejimnya daripada mengawal dunia menerusi pasukan Black Widow yang ditubuhkannya. 

Awal cerita ini agak menarik kerana ia hanya memfokuskan kepada kehidupan Natasha yang serba tenang dan sederhana. Tetapi, sebaik sahaja adegan kejar-mengejar kereta berlaku sewaktu Natasha dan Yelena cuba melarikan diri daripada Black Widow dan Taskmaster, anda akan terasa seolah-olah seperti menonton adegan sama dalam filem James Bond, Mission Impossible dan Italian Job.

Malah, yang lucu juga, waktu Natasha dan Yelena mula-mula bertemu selepas sekian lama terpisah, mereka bertempur bagai nak gila. Membuatkan kita sebagai penonton tertanya-tanya, apa perlunya mereka berbuat demikian?

Tapi, mungkin itu caranya pengarah mahu menunjukkan kepada Natasha dan penonton bahawa Yelena yang telah menjadi pembelot kepada General Dreykov serta mahu menyelamatkan pasukan Black Widow lain dengan memberikan mereka antidot debu merah tidak kurang hebatnya bertarung. 

Dan, selama menjadi ejen perisik serta pembunuh upahan Dreykov, Yelena telah mengikuti perkembangan Natasha sewaktu mencipta pertempuran yang gemilang bersama rakan-rakan superhero lain di Avengers. 

Yelena juga memberitahu Natasha bahawa dia tidak faham mengapa Natasha perlu membuat pose superhero yang nampak palsu dan seperti menunjuk-nunjuk. Dialog itu tidak lucu tapi cara Yelena melontarkan dialog itu sambil meniru aksi Natasha sangat hebat dan berjaya membuatkan penonton tertawa. Ia pasti akan menjadi dialog yang cukup diingati. 

Walaupun tumpuan filem ini adalah untuk Scarlett menerusi watak Natasha, lakonan Florence sebagai Yelena sebenarnya lebih menonjol dan berjaya mencuri tumpuan ramai. Bahkan, ramai yang meramalkan bahawa dia akan menjadi pengganti Black Widow seterusnya di dalam filem superhero Marvel akan datang. 

Banyak adegan yang ditonjolkan dalam filem ini menggunakan templat filem-filem superhero Marvel terdahulu. Sama ada daripada watak sehinggalah penceritaannya, ia adalah sebuah filem superhero Marvel yang tipikal. 

Namun, filem ini juga sarat dengan aksi dan pertempuran hebat yang mampu menggoncang adrenalin. Jadi, dari satu sisi lain, anda mungkin masih boleh terhibur dan menerima filem ini walaupun ia bukanlah sempurna. 

Filem ini juga mempunyai plot twist yang menarik sewaktu General Dreykoy berjaya menangkap Natasha, Yelena, Alexei dan Melina lalu dibawa ke Red Room yang rupa-rupanya telah dibina di angkasa. Perlukah, penulis mendedahkan spoilernya? 

Apapun, masih terngiang-ngiang di telinga penulis lagu Nirvana, 'Smells Like Teen Spirit' yang dinyanyikan semula Malia J pada babak awal sewaktu Natasha dan Yelena yang ketika itu masih kanak-kanak diserap masuk ke dalam pasukan Black Widow. 

Ia sebuah lagu saduran yang baik dan cukup tepat digunakan pada babak tersebut yang memperlihatkan betapa memberontaknya Natasha apabila tidak mahu menyertai pasukan itu dan cuba melindungi adiknya, Yelena daripada diserap masuk. 

Black Widow mungkin sedikit menghampakan kerana tidak memberi keadilan sepenuhnya kepada Scarlett Johansson sebagai Natasha Romanoff, namun ia juga adalah suatu pengakhiran yang baik buat aktres ini sebelum meninggalkan Marvel Studios menerusi watak tersebut. 

Black Widow 

  • Pengarah: Cate Shortland
  • Lakon Layar: Eric Pearson
  • Cerita Asal: Jac Schaeffer Ned Benson adaptasi daripada komik Marvel 
  • Pelakon: Scarlett Johansson, Florence Pugh, David Harbour, O-T Fagbenle, Olga Kurylenko, William Hurt, Ray Winstone dan Rachel Weisz
  • Sinematografi: Gabriel Beristain
  • Suntingan: Leigh Folsom Boyd Matthew Schmidt
  • Muzik: Lorne Balfe
  • Produser: Kevin Feige
  • Produksi Terbitan: Marvel Studios
  • Edaran: Walt Disney Studios Motion Pictures
  • Genre: Komedi Romantik 
  • Bahasa: Inggeris 
  • Tarikh Tayangan Perdana: 29 Jun 2021 

 

Sinopsis: 

Dengan bantuan rakannya, Rick Mason, Natasha Romanoff (Scarlett Johansson) atau Black Widow telah bersembunyi di sebuah tempat yang selamat di Norway untuk melarikan diri daripada Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Thaddeus Ross. Dia diburu kerana melanggar Perjanjian Sokovia. 

Adiknya, Yelena Belova (Florence Pugh) telah menghantar antidot kawalan minda (penawar) ke rumah Natasha dengan harapan Natasha akan mencari dan membantunya dalam misi untuk memberikan antidot itu kepada anggota-anggota ejen perisik dan pembunuh upahan Black Widow yang selama ini telah berada di bawah pengaruh General Drekov (Ray Winstone), pemimpin Red Room. 

Tanpa disedari Natasha, dia telah diserang makhluk bernama Taskmaster (Olga Kurylenko) yang sebenarnya mahu memburu antidot debu emas yang dimilikinya itu. Menyedari perkara itu,  Natasha cuba menghindari Taskmaster dan mencari adiknya, Yelena di Budapest. 

Mereka telah diserang anggota-anggota Black Widow dan Taskmaster. Apabila mendapat tahu bahawa Dreykov masih hidup dan Red Room masih aktif, Natasha bersetuju bergabung dengan Yelena untuk menghapuskan general Rusia dan segala rancangan kejamnya. 

Natasha dan Yelena kemudian berusaha untuk melepaskan Alexei Shostakov atau Red Guardian (David Harbour) dari penjara dan kemudian mencari Melina Vostokoff (Rachel Weisz) demi menyempurnakan misi mereka. 

Gambar: Disney 

Berita Berkaitan

1

Filem & TV 10 jam yang lalu

Reviu Filem: 'Sheriff' Filem Syafiq Yusof Paling Berani, Papar Sisi Gelap PDRM

2

Filem & TV 1 hari yang lalu

'Sheriff' Karya Paling Jujur, Janjikan Kelainan Sisi Polis

3

Filem & TV 2 bulan yang lalu

Lal Salaam Lakonan Rajinikanth, Gabung Elemen Perpaduan Menerusi Sukan

4

Luar Negara 2 bulan yang lalu

WGS 2024: Shah Rukh Khan Bawa Inovasi Teknologi Dalam Industri Filem India

Sorotan

1

PM, Kerajaan Enggan Terlibat Keputusan Lembaga Pengampunan Berhubung Kes Najib

2

AS Guna Veto Halang Usul Iktiraf Keahlian Palestin Dalam PBB

3

Jangan Abai Peruntukan Untuk Pembangunan Sukan - Hannah

4

Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Meninggal Dunia Akibat Serangan Jantung

5

32 Keluarga Dipindahkan Selepas Banjir Lahar Sejuk Landa Jawa Timur, Indonesia

6

Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai Dijangka Beroperasi Semula Dalam Tempoh 24 Jam

Disyorkan untuk anda

Filem & TV 10 jam yang lalu

Reviu Filem: 'Sheriff' Filem Syafiq Yusof Paling Berani, Papar Sisi Gelap PDRM

oleh Helmi Anuar

Filem & TV 1 hari yang lalu

'Sheriff' Karya Paling Jujur, Janjikan Kelainan Sisi Polis

Selebriti 1 hari yang lalu

Daud Kim Menipu?

oleh Fida Ruzki

Selebriti 1 hari yang lalu

Aiman, Zahirah Bakal Timang Anak Perempuan

oleh Wartawan Getaran