web statsweb stats

Berita Terkini

4 hari yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 4 hari yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


2022, Kerajaan Harus Pastikan Ekonomi Rakyat, Negara Kembali Kukuh

Ekonomi Dikemaskini 4 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 31 Dec 2021 9:26PM

PKP yang dilaksanakan pada 2020 dan 2021 bagi mengekang penularan COVID-19 ternyata menyebabkan kerencatan serius kepada aktiviti ekonomi negara. - Gambar fail

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Kalendar tahun 2021 yang berakhir hari ini, menyaksikan sektor ekonomi antara aspek terjejas teruk akibat penularan pandemik COVID-19.

Masakan tidak, kesan daripada krisis kesihatan global itu menyebabkan kerencatan serius terhadap aktiviti ekonomi, seperti permintaan, pengeluaran, pelaburan dan pendapatan.

Ia menjadi bertambah parah susulan keputusan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketat bermula tanggal 18 Mac 2020 yang turut diikuti sekatan pergerakan sosial.

Hampir dua tahun, beberapa sektor berkaitan seperti pengilangan, pelancongan, pengangkutan, komoditi, pekerja, pengguna dan kewangan yang menyumbang kepada ekonomi turut terkena tempias.

Kesan keadaan itu juga mengakibatkan beberapa kemelut, seperti pemberhentian pekerja, penutupan operasi pekerjaan, kejatuhan harga produk komoditi, selain menyebabkan ketidaktentuan pasaran kewangan serta mata wang.

Rentetan kemelut itu, rakyat tertanya-tanya adakah keadaan sama akan membelenggu rakyat dan negara pada tahun 2022 memandangkan pandemik masih belum berakhir.

Apakah mekanisma boleh diambil kerajaan dan pihak berkaitan bagi memastikan kesan ekonomi berkenaan dikurangkan dan kembali pulih?

Dr Ahmed Razman Abdul Latiff
Dr Ahmed Razman Abdul Latiff

Menjawab persoalan itu, Pakar Ekonomi Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, situasi semasa ekonomi negara boleh dinilai menerusi pola ekonomi makro dan ekonomi mikro.

Ekonomi makro jelasnya, adalah kajian holistik mengenai struktur, prestasi dan ekonomi kerajaan di peringkat nasional, manakala ekonomi mikro lebih bersifat kajian berbentuk individu serta keputusan dalam skop lebih kecil, seperti peniagaan.

“Pertama kalau kita nak rujuk kepada data atau indikator, kita kena tengok kepada ekonomi makro dan ekonomi mikro. Kalau ekonomi makro ini, kita kena rujuk kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), nilai eksport dan import, akaun semasa serta indeks pelopor.

“Jika kita tengok, semua pola indikator terbabit kini masih lagi meningkat, jadi kerajaan kena terus memastikan ia bertambah,” katanya ketika dihubungi Getaran.

Ahmed Razman berkata, Customer Price Index (CPI) juga seharusnya menjadi indikator penting untuk diberikan perhatian pada tahun 2022 memandangkan sejak kebelakangan ini, nilai berkenaan sudah mula menaik sehingga melebihi tiga peratus bulan lalu.

Katanya, memandangkan isu pengangguran turut menjadi topik hangat dan menjejaskan ekonomi rakyat, usaha menangani masalah itu harus diberikan perhatian kerana meskipun kadarnya semakin menurun menjelang hujung tahun ini, jumlah 700,000 penganggur yang direkodkan masih dianggap tinggi.

“Kita berharap program penyediaan peluang kerjaya dipergiatkan pada tahun depan, manakala Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) merealisasikan kelulusan pelaburan langsung asing (FDI) yang diumumkan pada 2021.

“Kena pastikan bahawa syarikat yang ingin melabur ini, mereka membuat persediaan, termasuk membina infrastruktur kilang di negara kita tahun depan. Pergiatkan juga upskilling dan reskilling,” katanya.

Abdul Halim Husin
Abdul Halim Husin

Mengulas isu sama, Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Abdul Halim Husin berkata, dalam membantu meringankan bebanan kewangan rakyat yang terkesan krisis ekonomi, institusi kewangan diharap menawarkan bantuan dana lebih fleksibel pada tahun 2022.

“Kita berharap bank bersimpati dengan rakyat terkesan pandemik dan banjir, termasuk usahawan untuk memperoleh bantuan kewangan dengan meluluskan moratorium atau pinjaman berserta syarat lebih longgar.

“Kalau selama ini bank menetapkan peminjam perlu menyelesaikan bayaran pinjaman untuk dua bulan terakhir sebelum layak menerima moratorium sehingga ramai tidak mampu, kita harap memasuki 2022 bank akan lebih memahami dan melonggarkan kriteria berkenaan,” katanya.

Abdul Halim yang juga Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) berkata, menjelang tahun baharu, pihaknya sudah menyarankan kepada kerajaan untuk meluluskan penubuhan tabung Dana Rakyat.

Penubuhan itu, katanya, membolehkan bantuan kewangan dikumpul dan disalurkan kepada rakyat memerlukan, termasuk mangsa banjir tanpa melalui institusi perbankan yang tertakluk kepada beberapa kriteria, antaranya Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CRIS) dan Credit Tip Off Service Sdn Bhd (CTOS).

Menerusi Dana Rakyat, jelasnya, kewangan boleh dikumpulkan melalui pembiayaan sama ada disalurkan kerajaan atau menggunakan konsep Sukuk dalam nilai kira-kira RM20 bilion hingga RM30 bilion.

“Kita perlukan bantuan tetapi kita bukan nak geran kerana kita tahu kewangan kerajaan terhad, sebaliknya kita memohon kelulusan Dana Rakyat untuk membolehkan kita mengumpul wang dan membantu peniaga terjejas,” katanya.

Selain itu, Abdul Halim berpendapat kerajaan wajar menyediakan peluang pekerjaan meluas bagi menjana ekonomi lebih ramai rakyat.

Tegasnya, perkara itu sememangnya patut diadakan kerajaan kerana negara menghasilkan kira-kira 250,000 graduan diploma dan ijazah sarjana muda yang tidak memperoleh peluang pekerjaan.

Menurut Abdul Halim, antara punca menyumbang kepada masalah itu adalah tindakan pelabur ke Malaysia yang mengharapkan mereka boleh membawa masuk tenaga buruh asing, atas faktor gaji murah dan mudah untuk diuruskan.

“Tenaga buruh asing ini kalau mereka luka dan cedera, majikan boleh memberi pampasan hanya RM1,000 atau RM2,000 dan hantar mereka balik ke negara masing-masing.

“Tetapi jika mengambil tenaga buruh tempatan, mereka perlu melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (SOCSO) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), malah mungkin terpaksa membayar pampasan lebih tinggi,” katanya.

Abdul Halim menarik perhatian, kemasukan tenaga buruh asing itu, menjejaskan kenaikan gaji rakyat Malaysia, sehingga terdapat 1.5 juta graduan di negara ini dilaporkan menerima pendapatan di bawah RM3,000, sedangkan kos sara hidup rakyat mengikut kadar Bank Negara Malaysia (BNM) ialah RM2,700 sebulan.

“Keadaan ini sangat tidak wajar, terutama dalam situasi kos sara hidup semakin meningkat dengan harga barangan semakin mencanak.

“Bayangkan untuk pendapatan RM3,000, mereka terpaksa menghabiskan kira-kira RM1,000 hingga RM1,500 untuk makanan sahaja,” katanya. – Getaran, 31 Disember 2021

Berita Berkaitan

1

Ekonomi 4 minggu yang lalu

Tekanan Industri, Ekonomi Semakin Meruncing, Konflik Global Ancam Sektor Pengeluaran

2

Ekonomi 1 bulan yang lalu

Tekanan Pasaran Kian Meningkat, Amalan Pengendalian Kargo Jadi Kebimbangan

3

Ekonomi 4 bulan yang lalu

AMCRA Mampu Ubah Struktur Industri Pemulihan Kredit, Bantu Lindungi Maruah Peminjam

4

Ekonomi 4 bulan yang lalu

Penubuhan AMCRA Langkah Penting, Wujud Interaksi Profesional Antara Pemiutang Dan Peminjam

Sorotan

1

Pemandu Lori Nahas Maut Karak Miliki 15 Rekod Saman

2

Kerugian Jenayah Siber Cecah RM3 Bilion, Penipuan Dalam Talian Meningkat 87 Peratus

3

Tragedi Zaid Ibrahim; Ahli Politik Yang Berhutang Penjelasan

4

Video Belasah Pembantu Rumah Tular, 2 Pasangan Suami Isteri Ditahan

5

Asid Tumpah Dari Lori: Tiada Pencemaran Asid Di Sungai Cherating - JAS

6

Motosikal Ditunggang Langgar Belakang Kereta, Pelajar Maut Digilis Lori