KUALA LUMPUR - Pandemik COVID-19 yang melanda dunia hampir dua tahun lalu membuka mata ramai mengenai kepentingan capaian internet dalam menghadapi kehidupan norma baharu hari ini.
Perlu disedari, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan buat pertama kalinya pada 18 Mac tahun lalu menyaksikan peningkatan ketara aliran trafik internet di negara ini, sehingga memberi kesan kepada kelajuan internet.
Ia susulan pendekatan bekerja dari rumah (BDR) yang dilaksanakan semua syarikat, premis kerajaan dan swasta kepada kakitangannya dalam usaha mengekang penularan wabak berbahaya itu.
Tidak terkecuali, penutupan pengoperasian di sekolah menyebabkan Kementerian Pendidikan (KPM) menggunakan pendekatan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi pelajar di seluruh negara.
Bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar, pendekatan baharu tersebut mudah dilaksanakan, tetapi ia menjadi satu cabaran besar buat penduduk di kawasan luar bandar.
Situasi mencabar itu dapat kita lihat menerusi video tular seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin yang terpaksa memanjat pokok di kampungnya di Pitas, Sabah demi mendapatkan talian internet untuk menduduki peperiksaan atas talian pada Jun tahun lalu.
Memang menyedihkan kerana hakikatnya, masalah capaian internet lemah masih menghantui mereka yang tinggal di luar bandar sehingga hari ini.
Berdasarkan data pusat kajian bebas berhubung pengalaman perkhidmatan telekomunikasi selular, OpenSignal pada 2019, wujud jurang ketersambungan liputan rangkaian generasi keempat (4G) antara kawasan luar bandar berkepadatan rendah dengan kawasan bandar berkepadatan tinggi.
Untuk mengukur jurang tersebut, OpenSignal menganalisis ketersediaan 4G di seluruh negara dengan menggunakan data banci terkini daripada Data Terbuka Kerajaan, bagi mengklasifikasikan 144 daerah dari 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan kepada lima kategori berbeza, berdasarkan kepadatan penduduk di kawasan terbabit.
Menurut analisis itu, pengguna di daerah berkepadatan tinggi (Kategori 5) boleh mendapat akses kepada 4G sekitar 83.7 peratus pada satu masa.
Bagi pengguna di daerah berkepadatan rendah (Kategori 1) pula, mereka hanya mendapat akses kepada kemudahan tersebut sekitar 44 peratus.
Memandangkan kemudahan 4G disediakan berdasarkan permintaan, ini bermakna akan terdapat kawasan berdepan masalah liputan internet yang lemah.
Malah kelajuan muat turun kandungan internet semua syarikat telco negara ini pada tahun lalu di wilayah tengah, utara, selatan, timur dan Sabah menunjukkan penurunan sekitar satu hingga 24 peratus.
Trend penurunan itu jelas menunjukkan wujud keperluan penggunaan teknologi yang lebih baik di negara ini bagi menampung pertumbuhan data tersebut.
Walaupun industri telekomunikasi telah memperuntukkan perbelanjaan modal sebanyak RM26 bilion untuk rangkaian 4G sejak lapan tahun lalu, namun kualiti dan liputannya masih tidak mencapai paras optimum.
Lebih mengejutkan, Malaysia menduduki ranking ke-81 daripada 100 negara dalam aspek kualiti liputan rangkaian jalur lebar generasi keempat (4G), berdasarkan ujian oleh Tutela, sebuah syarikat data sumber bebas dengan panel global yang terdiri dari lebih 300 juta pengguna telefon pintar.
Data yang diperolehi melalui laporan pengalaman mudah alih berdasarkan ujian membabitkan 100 negara itu pada September tahun lalu, jelas menunjukkan liputan 4G di negara ini amat mengecewakan.
Menurut laporan berkenaan, liputan 4G di negara ini antara yang ‘termundur’, hampir menyamai kualiti dinikmati pengguna di negara kurang membangun seperti Myanmar, Kemboja dan Filipina.
Namun baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, kerajaan menyasarkan seluruh kawasan di negara ini termasuk luar bandar dan pedalaman memperoleh liputan internet 4G sepenuhnya pada 2025.
Pada ketika ini, kira-kira 94 peratus kawasan di seluruh negara mendapat liputan internet 4G.
Usaha ke arahnya juga sedang giat dilakukan bagi mempercepat peningkatan tahap liputan, mengambil kira kepentingan dan keperluannya yang semakin meningkat.
Pada masa sama, Kementerian Komunikasi dan Multimedia turut memaklumkan ketersediaan rangkaian 5G akan tercapai secara berperingkat bermula pada penghujung tahun ini.
Rangkaian itu akan dimulakan di Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur terlebih dahulu dan akan diperluaskan ke kawasan lain pada 2022.
Namun apa yang dinanti ramai sudah tentu harga perkhidmatan capaian internet 5G yang dijangka lebih murah berbanding kos penggunaan 4G ketika ini.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Digital Nasional Berhad (DNB) akan mengenakan caj kurang daripada 20 sen bagi setiap Gigabit (GB) untuk 5G kepada syarikat telekomunikasi berbanding kos tambahan bagi setiap GB 4G yang dihasilkan syarikat telekomunikasi.
“Sebagai perbandingan, harga tersebut jauh lebih rendah berbanding kos tambahan semasa bagi setiap GB 4G yang dihasilkan syarikat telekomunikasi iaitu antara 45 sen hingga 55 sen,” katanya. - Getaran, 3 Disember 202