Berita Terkini

4 jam yang lalu: Pegawai polis yang terbunuh di Stadium Kanjuruhan dinaikan pangkat 4 jam yang lalu: Arab Saudi bakal anjur sukan musim sejuk Asia 2029 di Trojena 4 jam yang lalu: MIDA, HDC meterai MoU bagi perkasa kapasiti industri halal 4 jam yang lalu: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS 4 jam yang lalu: Polis Pahang lupus rokok tidak bercukai bernilai lebih RM2.8 juta

IKUTI KAMI


Shaq Koyok, Angkat Kisah Orang Asli Dalam Karya Seni

Budaya Dikemaskini 1 minggu yang lalu · Diterbitkan pada 21 Sep 2022 2:00PM

Shahar bersama hasil karyanya. - Gambar dari Facebook Shaq Koyok Art

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Melangkah masuk ke studio peribadi milik Shahar Koyok, sebuah lukisan potret wanita Orang Asli Temuan ýang tersenyum mencuri pandangan penulis.

Berpakaian sederhana dan mengenakan selempang tradisional, wanita itu seolah-olah menggamit kedatangan penulis ke studio Shahar yang mesra disapa Shaq Koyok yang terletak di sebuah pangsapuri di Jalan Pahang, Kuala Lumpur, berhadapan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Lulusan Sarjana Muda Seni Halus Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Shaq, 37, adalah dari keturunan Orang Asli suku kaum Temuan, Kampung Pulau Kempas, Banting, Selangor.

Hasil karya yang pernah dipamerkan serta koleksi peribadinya menghiasi setiap sudut studio yang dimulakan pada tahun 2015, dan setakat ini  ia hanya menjadi tatapan rakan rapat beliau.

"Saya tidak berseorangan di studio ini kerana 'mereka' menemani saya ketika melakar dan melukis sesebuah karya... kadang-kala ilham tercetus apabila melihat 'mereka' berada di sekeliling saya," kata Shaq kepada Bernama, membuka bicara.

'Mereka’ yang dimaksudkan adalah 'watak’ yang diabadikan dalam lukisan beliau, kebanyakannya daripada kalangan Orang Asli seperti wanita Orang Asli Temuan itu.

Menurut Shaq, 37, karya wanita Orang Asli Temuan dari Hulu Selangor yang dipamerkan itu mengambil masa kira-kira dua minggu untuk disiapkan dan dijangka dibawa ke pameran antarabangsa di Itali pada Oktober depan.. 

"Bukan itu sahaja, malah saya akan turut mempamerkan beberapa hasil lukisan saya yang dihasilkan di atas anyaman tikar mengkuang, yang boleh dikatakan antara kerjaya seni utama saya," katanya. 

Antara hasil karya Shahar Koyok.
Antara hasil karya Shahar Koyok.

Minat Shaq terhadap seni lukis bermula apabila didedahkan dengan mata pelajaran seni ketika di bangku sekolah rendah. 

"Sejak kecil lagi, saya memang suka melukis. Ketika berada di sekolah menengah saya mendapat galakan daripada guru yang melihat bakat melukis saya terutamanya dalam menghasilkan potret. 

"Malah, saya pernah mengambil upah melukis potret di sekolah sebagai pendapatan sampingan," katanya. 

Berkongsi mengenai genre seni lukisannya, Shaq lebih senang melukis potret yang kebanyakan hasil karyanya, mangangkat tema rakan di kampung halaman serta individu yang tidak dikenali ketika melawat ke perkampungan Orang Asli.

"Banyak perkara yang bermain dalam fikiran saya selepas melawat ke sesebuah tempat, lebih-lebih lagi masyarakat Orang Asli yang senasib dengan saya selepas berinteraksi dengan mereka. 

"Saya mahu kongsikan kisah kami kepada orang ramai tetapi saya pula jenis yang tidak pandai berkata-kata, jadi saya meluahkannya dalam bentuk lukisan," katanya. 

Shaq percaya, menjadi pelukis yang 'mewakili diri sendiri' memberikannya kebebasan untuk terus mengetengahkan topik yang menjadi pilihannya, iaitu potret Orang Asli.

Menurut Shaq, ketika melukis, beliau akan cuba membuatkan satu-satu imej individu yang dilukisnya itu seakan-akan 'hidup' dan imej berkenaan akan kekal 'hidup' selama-lamanya dalam karya beliau.

"Kalau pun individu yang dilukis itu sudah mati, atau menjadi dewasa, atau menjadi orang lain, potretnya serta kisah di sebalik potret itu tetap akan sama," jelasnya.

Zaman Kanak-Kanak

Shaq berkata hampir semua subjek dalam karyanya lebih kepada menggambarkan identiti dan budaya masyarakat Orang Asli di Malaysia, selain berkongsi ‘kepedihan’ dan perjuangan yang dilalui kaum itu.

Sebagai anak Orang Asli Temuan, Shaq mendakwa sering melihat bagaimana etnik minoriti itu ditindas berdasarkan stigma masyarakat yang masih beranggapan Orang Asli tidak mendapat pendidikan sejak kecil. 

Malah, hatinya tersentuh setiap kali terbaca kisah buli dalam kalangan murid-murid sekolah Orang Asli terutama di media sosial. 

Hampir semua subjek dalam karya Shaq lebih kepada menggambarkan identiti dan budaya masyarakat Orang Asli di Malaysia.
Hampir semua subjek dalam karya Shaq lebih kepada menggambarkan identiti dan budaya masyarakat Orang Asli di Malaysia.

“Hanya kerana perbezaan fizikal dan warna kulit yang lebih gelap, terdapat pelajar Orang Asli, termasuklah diri saya sendiri, yang sering dijadikan bahan ejekan oleh rakan sekolah. 

"Mereka sering menjadikan kami sebagai bahan lawak di dalam kelas, suka memanggil kami dengan pelbagai nama seperti 'Jakun', 'Sakai' dan nama lain yang pelik.  

"Ada yang sampai berhenti sekolah kerana tidak tahan dengan ejekan, disebabkan itu juga ramai anak-anak Orang Asli tercicir dalam pelajaran,” katanya menambah, ada dalam kalangan mereka yang kembali menyambung pelajaran setelah beberapa tahun tercicir.

Shaq berkongsi, ketika berusia sembilan tahun, beliau berasa sangat takut dan marah apabila melihat sendiri hutan di kampung halamannya dimusnahkan untuk aktiviti pertanian.

"Saya masih ingat lagi, satu ketika pada tahun 1994, hampir setiap hari melihat lori membawa kayu balak, bunyi gergaji dan jengkaut. Hutan yang menjadi tempat kami berteduh dan mencari makan, musnah begitu sahaja. 

"Kami sangat geram dan marah, walaupun mereka menjanjikan pampasan, namun ia hanyalah janji kosong, kami tidak tahu kepada siapa hendak mengadu," katanya menambah, perkara itu menjadi pembakar semangat untuk dirinya ‘menyampaikan suara hati’ dalam bentuk lukisan potret. 

Shaq menambah, antara hasil karyanya pada tahun 2015, turut menggunakan serpihan abu kesan daripada kebakaran hutan besar di Kuala Langat, bagi menggambarkan betapa seksanya kehidupan penduduk yang terjejas di sekitar kawasan itu.

Tikar Mengkuang Di Pameran Antarabangsa

Tidak seperti pelukis lain yang lazimnya menggunakan fabrik linen sebagai kanvas, keunikan Shaq lebih terserlah apabila tikar mengkuang dipilih sebagai kanvas untuk melukis potret Orang Asli. 

Menurut beliau, tikar mengkuang biasanya digunakan sebagai hamparan di kebanyakan rumah Orang Asli, malah ia juga mencetus memori zaman kanak-kanak beliau kerana ibunya juga turut menganyam sendiri tikar mengkuang.

"Walaupun ia biasa dilihat, namun seni menganyam itu sudah semakin dilupai oleh generasi muda. Oleh itu, saya mengabdikan lukisan saya di atas tikar mengkuang supaya dapat memperkenalkan kesenian tradisional kami kepada orang lain," katanya. 

Shaq turut mengadakan bengkel seni dalam talian dengan pelajar antarabangsa.
Shaq turut mengadakan bengkel seni dalam talian dengan pelajar antarabangsa.

Tambah Shaq, melukis cat di atas tikar mengkuang adalah kerja yang sangat mencabar kerana sukar untuk warna itu melekat, seolah-olah 'melukis di atas daun'. 

"Selepas melukis dan mengecat, saya perlu melindunginya dengan lapisan syelek bagi mencantikkan dan mengekalkan warna itu daripada luntur," katanya. 

Shaq turut berkongsi pengalamannya menyertai pameran antarabangsa di New Zealand pada tahun 2018 dan hasil karyanya menggunakan tikar mengkuang dianggap kerja seni yang sangat berharga di negara itu. 

"Saya memanfaatkan pameran antarbangsa untuk memperkenalkan budaya masyarakat Orang Asli di Malaysia kepada pengunjung menerusi hasil karya saya. 

"Kebanyakan pengunjung luar negara sangat kagum akan perjuangan saya menerusi karya lukisan untuk mempertahankan hak Orang Asli serta menjaga alam sekitar, sama seperti bagaimana rakyat New Zealand mempertahankan hak Orang Asli mereka iaitu kaum Maori," katanya.

Pendidikan Orang Asli

Sebagai anak Orang Asli, Shaq gembira kerana karyanya dapat memberi inspirasi buat kanak-kanak Orang Asli supaya bangga dengan identiti mereka.

Namun, riak wajahnya kelihatan sedikit kecewa apabila menyentuh mengenai penerimaan seluruh masyarakat terhadap kaum Orang Asli di negara ini.  

"Dalam sistem pendidikan kita ada belajar tentang sejarah orang Melayu, Cina, India, malah suku kaum etnik di Sabah dan Sarawak turut diperkenalkan dalam buku teks kita. 

"Namun, masyarakat Orang Asli yang mempunyai 18 suku kaum di Semenanjung Malaysia, serta di Sabah dan Sarawak tidak pula dimasukkan dalam buku teks... itulah sebabnya timbul isu diskriminasi kerana orang ramai tidak memahami budaya dan cara hidup kami. 

"Ramai beranggapan kami tidak mendapat pendidikan tinggi sedangkan sudah ramai anak Orang Asli yang berjaya dalam setiap bidang yang diceburi, malah ada yang turut menjadi pensyarah di universiti," katanya yang turut aktif dalam kerja amal dan aktivis yang memperjuangkan hak Orang Asli, terutamanya dalam isu alam sekitar dan pembangunan tidak terkawal.

Antara hasil karya Shaq.
Antara hasil karya Shaq.

Shaq pada masa sama berpendapt, pendidikan mengenai budaya dan sejarah Orang Asli harus dimulakan sejak kecil agar semua kaum dapat saling mengenali dan menghormati antara satu sama lain. 

"Itulah sebabnya saya sering menawarkan diri untuk melukis mural potret Orang Asli di dinding sekolah supaya saya boleh memberi semangat kepada anak kaum kami untuk bangga dengan identiti mereka.

"Saya mahu buat mereka mahu pergi ke sekolah. Ramai yang berasa malu kerana diperlekehkan hanya kerana mereka Orang Asli.

“Saya tak mahu itu. Sebab itu saya selalu lukis Orang Asli dalam persalinan tradisi mereka di mural, untuk mewakili budaya kami,” katanya menambah, melukis mural di sekolah membantunya berhubung dengan pelajar di situ agar bersikap lebih mudah ‘menerima sekolah’ apabila wajah yang mereka kenali terpampang di dinding sekolah berkenaan.

Cara berkenaan juga, katanya, memberi peluang kepada anak Orang Asli untuk berani bergaul dengan rakan-rakan, dapat mendedahkan mereka kepada pelbagai budaya dan mampu mewujudkan suasana harmoni berbilang kaum di sekolah. - Bernama

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 bulan yang lalu

Malaysia Boleh Dijajah Semula Jika Rakyat Terlalu Leka Dengan Kemerdekaan - Tok Batin

2

Budaya 2 bulan yang lalu

Lagu 'Geradong' Orang Asli Ceriakan Program Berjalan Teguh Bersama

3

Gaya 2 bulan yang lalu

Uji Bakat Pencarian Model Neonate Dapat Sambutan Ramai Termasuk TikTokers, Pelakon Dan OKU Berkerusi Roda

4

Budaya 3 bulan yang lalu

KUOA 2022 Tampilkan Keunikan Produk Usahawan Orang Asli

Sorotan

1

Kandungan Sumbang: Pelakon Zul Ariffin Didenda RM30,000

2

Wai Ching Cipta Rekod Baharu Di Space Needle, Seattle

3

‘Saya Akan Sekolahkan Kamu, Harap Guan Eng Tak Kecut’ - Saravanan

Disyorkan untuk anda

Selebriti 1 hari yang lalu

Aksi Noh Salleh Meludah Atas Pentas Terima Kecaman, Disindir ‘Terpaling Rockstar’

oleh Wafa Aula

Selebriti 12 jam yang lalu

BTS ARMY Dan Blackpink Blinks Gaduh Teruk Kerana Gambar Intim V Dan Jennie, Gurumi Haribo Pula Curahkan Minyak Di Dalam Api

Gurumi Haribo dilaporkan merancang untuk berdepan dengan Jennie di Paris untuk memintanya menjawab tentang kesahihan mengenai khabar angin bahawa dia dan V seda...

oleh Wartawan Hiburan Getaran

Filem & TV 3 jam yang lalu

Farid Kamil Bawa Kembali ‘Remp-it’ Selepas 16 Tahun

Farid berasa bertuah diberi kebenaran membuat penggambaran di Terowong Karak yang sinonim dengan pengguna jalan raya dan penunggang motosikal.

oleh Helmi Anuar

Filem & TV 5 jam yang lalu

Senarai Tontonan Netflix Terbaru Untuk Anda, Bulan Oktober Yang Penuh Seram Ini!

oleh Rubini Nagarajah