Rakyat antara Malaysia dan Indonesia sememangnya selalu bertelagah di media sosial mengenai pelbagai perkara seperti makanan, pakaian, dan kesenian.
Sebut saja makanan seperti rendang malah nasi lemak, cukup untuk memulakan ‘peperangan’ antara rakyat dua negara, masing-masing mendakwa ia masakan asli milik mereka.
Namun, ia tidak bererti sesiapa saja boleh menyerang salah satu daripada dua negara Asia Tenggara ini dengan sewenang-wenangnya.
Ia dapat dilihat melalui satu video dimuat naik melalui aplikasi TikTok dikongsi pemilik akaun ardarumahutan2023.
Melalui video itu, seorang pencipta kandungan berterima kasih dengan warganet Indonesia yang menyatakan sokongan dan sanggup membantu Malaysia jika benar negara ini diserang Israel.

Beliau yang mengulas satu lagi video tular, berkata video itu memaklumkan Malaysia akan diserang dan dibom oleh Israel selepas melihat tindakan negara ini menghentam negara itu atas perbuatan menindas rakyat Palestin.
Bagaimanapun, individu berkenaan tidak menunjukkan atau menyatakan sumber video yang diulas.
Katanya, sokongan rakyat Indonesia itu tular melalui media sosial yang antara lain menyebut ‘Yang boleh ganggu Malaysia cuma Indonesia, paham?’ dan ‘mau ngelawan Malaysia? hadapin Indonesia dlu boss’.
Ruangan komen pada hantaran itu turut dipenuhi dengan kata-kata sokongan warganet kedua-dua negara.
Seorang pengguna aplikasi berkenaan dengan nama akaun NasiTomato menyatakan “Bangsa Nusantara hanya kami saja boleh bergaduh manja umpama adik beradik. Orang luar tidak boleh sentuh kami.”

Teuku Roni B A196 pula memuat naik komen berbunyi “Indonesia dan Malaysia itu serumpun, cincang sampai hancur pun tak kan terpisahkan. Itulah kami utk Malaysia” manakala Aidil23 syaz pula menyatakan “Malaysia tak payah takut sebab Indonesia kan ada jangan takut kepada Israel takut kepada Allah SWT #Free Palestine?? #Malaysia pasti menang??❤️”.

Sebelum ini, ada khabar angin yang mengatakan CyberSecurity Malaysia akan diserang penggodam dari Israel.
Ia dipercayai susulan serangan siber yang dinamakan Operasi Badai Al-Aqsa pada Jumaat lalu, oleh Kumpulan penggodam Malaysia yang menggelar diri mereka sebagai Dragonforce Malaysia (DFM).
Serangan siber oleh DFM itu dikatakan sebagai tindak balas terhadap tindakan rejim zionis menyerang rakyat Palestin di Gaza, ia menyasarkan pangkalan data dan akaun media sosial Israel.
Pada 2021, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama agensi keselamatan lain sudah meningkatkan kawalan keselamatan dari semua aspek susulan ancaman Israel terhadap pemimpin pejuang Palestin di seluruh dunia, termasuk Malaysia.
Ia susulan maklumat yang tular di media sosial dan aplikasi sembang mengenai dua badan perisikan Israel dilaporkan mendapat 'lampu hijau' untuk menghapuskan pemimpin pejuang Hamas yang berada di dalam dan luar Gaza, termasuk di Malaysia. – Getaran, 19 Oktober 2023
@ardarumahutan2023 Terima kasih Indonesia ??#tiktokmalaysia?? #prayforpalestine #FreeForPalestine #palestinetiktok #indonesia?? #indonesiapalestine??❤️?? ♬ original sound - yaraa ??