Gara-gara dikatakan sudah makan cendol kemudian melarikan diri, dua remaja dikejar sekumpulan penunggang motosikal dari Batu Caves hingga ke Batu Muda sebelum berakhir di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Batu Caves.
Bukan itu saja, tindakan itu menyebabkan bukan saja kereta Nissan Almera berwarna hitam yang mereka naiki mengalami kerosakan malah kenderaan lain turut terjejas selepas dilanggar remaja berkenaan.
Video yang dimuat naik melalui aplikasi Telegram dan X itu turut mendapat reaksi ramai pengguna media sosial yang mempersoalkan kerugian dialami oleh remaja berkenaan lebih banyak berbanding harga cendol yang tidak dibayar.
Tindakan mereka serta penunggang motosikal yang mengejarnya juga amat berbahaya dan boleh menyebabkan kemalangan dan kecederaan.
Sementara itu, pemilik Pandan Cendol berkata, pelanggan berkenaan memesan tiga pinggan mi goreng ayam dan empat mangkuk cendol pulut, yang kesemuanya berharga RM50 sebelum melarikan diri. – Getaran, 28 September 2023