Berita Terkini

2 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 1 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Enggan Bisnes 'Berkubur', Peniaga Piza Durian Ubah Strategi

Usahawan Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 28 Jul 2021 11:19AM

Siti Rafitah Rakhimi menunjukkan piza durian yang dijual di Tapak Food Truck Putrajaya Presint 14. - Gambar Bernama

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

PUTRAJAYA - Tatkala sebilangan besar peniaga terpaksa “tunduk” kepada pandemik COVID-19, segelintir usahawan kecil di sini masih mampu bertahan selepas mengubah strategi perniagaan selain mempunyai semangat juang yang tinggi.

Seorang daripada mereka, Siti Rafitah Rakhimi, 37, yang mengusahakan trak makanan di Presint 14 di sini, sedar beliau tidak boleh lagi bergantung pada kaedah itu semata-mata jika mahu piza jenama sendiri yang dibangunkannya, Alla Piccola Italia (API), terus bertahan. 

Justeru, seperti ribuan usahawan yang lain, beliau beralih kepada perniagaan dalam talian dengan pasaran bertumpu di sekitar daerah ini dan juga Cyberjaya.

“Sebelum COVID-19, saya beranggapan tapak berniaga seharusnya mempunyai ramai pelanggan. Namun, pandangan itu berubah semasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) apabila semua tempat mengalami kesan sama akibat daripada wabak tersebut," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Katanya beliau beralih kepada perniagaan dalam talian sejurus PKP 1.0 berkuat kuasa dengan promosi dibuat menerusi edaran risalah ke rumah selain media sosial Facebook dan Instagram. 

“Saya tidak boleh biarkan perniagaan yang saya usahakan sejak 2019 ini ‘berkubur’ dan sasaran saya ialah pelanggan tetap yang menggemari piza ‘air tangan’ saya,” kata wanita kelahiran Kedah yang memiliki ijazah sarjana dalam bidang sumber manusia daripada Universiti Putra Malaysia itu.

Menurut Siti Rafitah, terdapat 14 peniaga trak makanan di Presint 14, namun kini hanya empat yang masih beroperasi termasuk beliau.

“Ada rakan peniaga kini terpaksa melakukan kerja lain termasuk  menjadi pemandu e-hailing. Pada ketika ini, bukan lagi isu keuntungan yang diutamakan, sebaliknya memastikan peniagaan itu mampu bertahan,” katanya yang mengakui hampir “terduduk” apabila PKP 1.0 dilaksanakan.

“Bayangkan, perniagaan belum berusia setahun dan saya masih dalam usaha menaikkan jenama API apabila tiba-tiba COVID-19 melanda,” katanya yang memulakan perniagaan itu dengan modal RM150,000 hasil bantuan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Menurutnya, semangat juang beliau bertambah kuat apabila mengenangkan nasib dua pekerja yang bersama-sama beliau sejak awal perniagaan.

Mengulas perniagaannya, Siti Rafitah berkata sebelum PKP, beliau mampu mencatat hasil jualan RM4,000 hingga RM5,000 seminggu, namun pelaksanaan sekatan pergerakan itu menyebabkan perniagaan merudum kepada sekitar RM1,000 hingga RM2,000 sahaja.

Menurutnya, keadaan kini bertambah baik dengan tempahan diterima meningkat saban hari.

Siti Rafitah yang mempelajari cara membuat piza melalui YouTube, turut mempelbagaikan toping dan kini menawarkan 14 jenis piza yang dijual pada harga antara RM15 dan RM30 mengikut jenis dan saiz.

Menurutnya, beliau turut menggaji dua rider bagi menghantar tempahan yang lazimnya memuncak antara 5 petang dan 8 malam.

 "Pandemik ini mengajar saya untuk menyesuaikan diri dengan keadaan tidak menentu. Kita harus sentiasa bersedia menghadapi apa jua keadaan walaupun dulu mungkin produk kita mendapat sambutan,” tambahnya.

Beliau juga bersyukur dengan bantuan kewangan sebanyak RM3,000 secara sekali bayar  yang disediakan kerajaan menerusi Geran Khas Prihatin kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), yang sedikit-sebanyak telah  meringankan beban kewangannya.

Sementara itu pengusaha Sarah Satay Ampang, Muhammad Hadi Abdul Rahim berkata setakat ini, tujuh daripada 10 cawangan kedainya di sekitar Lembah Klang terpaksa ditutup akibat PKP tahun lepas.

Beliau yang masih berusaha mempertahan perniagaan yang diusahakan sejak 1981 itu berkata sebelum COVID-19, setiap cawangan tersebut mampu menjual hingga 3,000 cucuk sate setiap hari.

“Jualan merosot 50 peratus sejak PKP dilaksanakan pada Mac tahun lepas,” katanya yang berharap pandemik itu akan berakhir segera.

Menurutnya walaupun ada bantuan kerajaan untuk PKS, peniaga kecil masih terbeban kerana terpaksa membayar sewa tapak dan gaji pekerja yang menyebabkan pegangan tunai hampir 'kering’.

Katanya keadaan diburukkan lagi oleh kenaikan harga bahan mentah.

“Nasib baik sekarang dapat berniaga walaupun hanya sampai 10 malam berbanding semasa PKP tahun lalu yang langsung tidak dibenarkan berniaga,” katanya. - Bernama

Sorotan

1

Pemain Badminton Negara Pamer Kekuatan Mental Menjelang Piasa Thomas, Uber

2

Pelajar Sekolah Meninggal Dunia Ketika Acara Larian Rentas Desa

3

Lelaki Israel Miliki Senjata: 10 Individu Ditahan Bawah SOSMA

4

PM, Kerajaan Enggan Terlibat Keputusan Lembaga Pengampunan Berhubung Kes Najib

5

AS Guna Veto Halang Usul Iktiraf Keahlian Palestin Dalam PBB

6

Jangan Abai Peruntukan Untuk Pembangunan Sukan - Hannah

Disyorkan untuk anda

Ekonomi 1 hari yang lalu

JS-SEZ, SFZ Mampu Pacu Ekonomi Johor Atasi Negeri Lain – PM