KUALA LUMPUR – Bagi menjamin kestabilan bekalan elektrik di Semenanjung dan keselesaan pengguna pada Aidilfitri ini, Tenaga Nasional Berhad (TNB) menugaskan hampir 9,400 warga kerja di pelbagai peringkat.
Pengerusi TNB, Datuk Abdul Razak Abdul Majid berkata, penugasan giliran dan tunggu sedia itu dilakukan di stesen janakuasa, pusat kawalan serta seluruh rantaian perkhidmatan.
Katanya, ia termasuk grid dan pencawang bagi memastikan kelancaran penghantaran serta pembahagian bekalan elektrik dan siap siaga memberi perkhidmatan pelanggan.
“Walaupun tugasan ini adalah rutin harian warga kerja di bahagian perkhidmatan masing-masing, ia adalah satu pengorbanan tatkala orang ramai ceria menyambut Aidilfitri bersama keluarga, sedangkan mereka bertugas di lapangan,” katanya.
Beliau berkata, bagi menghargai sumbangan warga kerja terbabit, TNB mengekalkan tradisi menitipkan bingkisan kuih raya sebagai tanda penghargaan.
“Persatuan Wanita TNB (PELITAWANIS TNB) dari cawangan sekitar Semenanjung, berganding bahu menyiapkan hampir 9,400 pek bingkisan kuih raya minggu lalu,” katanya.
Khamis lalu, Abdul Razak bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Indera Ir Baharin Din, menyempurnakan Sesi Simbolik Penyerahan Bingkisan Raya TNB 2023 kepada ketua bahagian TNB di TNB Platinum, Ibu Pejabat TNB, Bangsar.
Baharin berkata, pemantauan di setiap negeri, khususnya dalam bidang teknikal ditingkatkan menjelang Syawal.
Ujarnya, TNB menjangkakan umat Islam pulang lebih awal ke kampung halaman, selain mereka yang mengambil peluang melancong sempena cuti panjang hujung minggu.
“Bersamalah kita doakan agar mereka yang bertugas ini sentiasa sihat dalam menyempurnakan amanah dengan selamat, demi keselesaan semua. Terima kasih kerana sentiasa komited memikul tanggungjawab ini yang juga adalah satu ibadah atas kepentingan umum.
“Penugasan sebegitu ramai tenaga kerja mengambil kira tempoh kritikal 72 jam atau 3 hari bermula sehari sebelum 1 Syawal, berikutan penggunaan tenaga elektrik dijangka meningkat ketika orang ramai rancak membuat persiapan akhir, terutama pada malam Aidilfitri,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua PELITAWANIS TNB, Datin Indera Noor Aizah Abd Karim berkata, kerja pembungkusan Bingkisan Aidilfitri TNB 2023 itu, bermula pada 3 Mac dan selesai pada 9 April 2023 serta akan dihantar ke pejabat TNB di seluruh Semenanjung.
“Bingkisan Aidilfitri TNB ini adalah tanda ingatan dan penghargaan TNB kepada pekerja yang diberi tanggungjawab untuk bertugas pada hari raya pertama, demi memastikan bekalan elektrik kekal berdaya harap serta stabil untuk keselesaan rakyat bagi merayakan Aidilfitri dengan penuh kegembiraan,” katanya. – Getaran, 16 April 2023