KUALA LUMPUR - “Tahniah JDT menang Piala FA semalam … Sayangnya pemain JDT tak pandai cakap Johor.”
Itu reaksi Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor susulan kemenangan 3-1 Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Terengganu FC pada final Piala FA malam tadi.
Kata-kata itu dimuat naik Muhammad Sanusi di Facebook yang memaparkan video beliau menggeser biola lagu dari filem Bollywood terkenal Mohabbatein ketika menghadiri Festival Melodi Sungai Kedah.
Beliau turut meletakkan emoji menutup mulut dan ketawa pada hantaran berkenaan.
Hantaran itu menerima 7,600 tanda suka dan emoji ketawa, 2,500 komen dan lebih 700 perkongsian selepas kira-kira dua sejam dimuat naik.
Tindakan Muhammad Sanusi menerima pelbagai komen dari netizen dengan kebanyakan mereka tidak bersetuju dengan kenyataan beliau yang seolah-olah dianggap ‘tidak profesional’, malah segelintir memerlinya memandangkan pasukan Kedah tidak berjaya ke perlawanan akhir itu.
Tahniah JDT menang Piala FA semalam... sayangnya pemain JDT tak pandai cakap Johor. ???
Posted by Muhammad Sanusi Md Nor on Saturday, September 10, 2022
“Sebagai pemimpin, Sanusi tak menunjukkan sikap dan teladan yang bagus untuk dijadikan contoh, menggunakan kedudukan ajak rakyat berpecah hanya kerana sukan dan memupuk kebencian, nak benci, benci sendiri jangan ajak orang untuk membenci…,”
“Tak payah cakap banyak. Team (pasukan) Kedah bungkus awal. Ikat tepi,”
“Sudah-sudahlah, buat la kerja yang berfaedah untuk rakyat,”
“Tahniah juga buat MB (Menteri Besar) Kedah…anda memang juara menyindir,”
“Rasanya maksud dia pemain Johor kebanyakan bukan anak Johor lah tu, beli sana beli sini,” itu antara beberapa komen diberikan netizen berhubung tindakan Sanusi.
Terdahulu, Getaran melaporkan dua hari menjelang perlawanan akhir itu, Muhammad Sanusi yang juga MB Kedah, berterus-terang menyatakan sokongannya kepada pasukan Terengganu FC.
Malah, beliau yakin bahawa majoriti rakyat Malaysia akan menyokong Terengganu FC.
Katanya, hanya orang Johor akan memberikan sokongan kepada pasukan dari selatan tanah air itu, manakala penduduk di negeri lain pastinya memihak kepada Terengganu.
“Saya sokong Terengganu FC sebab isteri saya orang Terengganu dan setakat ini, saya belum kahwin orang Johor lagi. Lagipun biasanya orang macam saya sentiasa sokong pasukan ‘underdog’.
“Semua sokongan rakyat Malaysia akan ‘pergi’ ke Terengganu dan kalau tak percaya, tunggu. Orang Johor saja sokong JDT, manakala yang lain, semua Terengganu,” katanya. - Getaran, 11 September 2022

