BolehJe, sebuah platform digital berfokuskan belia yang menghubungkan pengguna dengan peluang gig, projek fleksibel dan inisiatif komuniti dilancarkan secara rasmi hari ini.
Pelancaran yang berlangsung di Tamarind Square, Cyberjaya itu menandakan langkah penting platform berkenaan dalam menangani cabaran dihadapi golongan muda, termasuk peluang pekerjaan yang terhad, peningkatan kos sara hidup serta keperluan kepada sumber pendapatan lebih fleksibel dan relevan dengan gaya hidup masa kini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) BolehJe, Angeline Barron (Chai) berkata, platform ini dibangunkan berdasarkan realiti sebenar yang dihadapi oleh belia Malaysia hari ini.
“BolehJe diwujudkan untuk memberi lebih banyak peluang kepada anak muda menjana pendapatan, membina kemahiran dan bergerak secara lebih fleksibel. Kami mahu memastikan peluang tidak lagi terhad kepada golongan tertentu, sebaliknya boleh diakses oleh semua,” katanya.
Sokongan Industri Melalui Rakan Penaja
Majlis pelancaran turut menyaksikan sesi khas bersama rakan penaja BolehJe yang diberikan masa khas untuk berkongsi peranan dan sokongan masing-masing terhadap pembangunan belia serta ekosistem ekonomi tempatan.
Antara penaja terlibat ialah K1 Exhaust, Car Com Tyres Auto Services, Alha Alfa Makeup dan QPac, yang mewakili pelbagai industri termasuk automotif, kecantikan, perkhidmatan dan teknologi.
Kerjasama ini mencerminkan keyakinan industri terhadap visi dan potensi BolehJe sebagai platform pemerkasaan belia.
BolehJe Dan Identiti Baharu
Sempena pelancaran ini, BolehJe turut memperkenalkan penjenamaan semula platform terbabit, selaras dengan hala tuju baharu platform tersebut.

Penjenamaan terbabit melambangkan pertumbuhan, kemajuan dan komitmen BolehJe dalam membina ekosistem peluang yang mampan untuk generasi muda.
Chai berkata, perubahan tersebut mencerminkan aspirasi syarikat untuk berkembang secara lebih menyeluruh.
“Ini bukan sekadar pelancaran aplikasi, tetapi permulaan kepada satu pergerakan yang memberi fokus kepada kebebasan bekerja, pembangunan potensi dan sumbangan kepada masyarakat,” katanya.
Bagi memeriahkan pelancaran, BolehJe turut memperkenalkan kempen giveaway yang menawarkan pelbagai hadiah menarik termasuk iPhone 17, basikal elektrik, produk automotif seperti ekzos dan minyak hitam serta baucar makanan Ley Pak Restaurant, selain beberapa hadiah lain.
Penyertaan terbuka kepada pengguna yang memuat turun aplikasi BolehJe dan mendaftar secara percuma, manakala pengumuman pemenang akan dibuat Rabu depan menerusi akaun media sosial rasmi BolehJe.
Aplikasi BolehJe kini boleh dimuat turun, dengan pendaftaran percuma dibuka kepada orang ramai di seluruh negara. - Getaran, 16 Januari 2026