Berita Terkini

11 jam yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 5 hari yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 1 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Mengingati Siti Sarah, Si Genit Bersuara Besar Berbakat Hebat

Perjalanannya sebagai penyanyi penuh dengan liku, namun Siti Sarah membuktikan bahawa dia punya bakat dan anugerah sejati. Kebetulan juga, kerjaya muziknya bermula dan berakhir dengan karya oleh Ajai.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 15 Aug 2021 7:59PM

oleh

Ellyna Ali

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Saat irama pop tidak mampu digugat serta teguh mendominasi industri muzik tanah air, muncul seorang penyanyi genit bersuara soul yang membawakan genre muzik pop R&B bernama Siti Sarah Raissuddin pada awal era 2000. 

Dengan penampilan ala penyanyi wanita Amerika Afrika, Siti Sarah pantas memukau ramai dengan vokalnya yang sangat hebat dan angelic serta teknik nyanyian melisma yang sangat dominan diguna pakai dalam gaya penyampaian penyanyi R&B seperti Whitney Houston dan Mariah Carey.

Menakluki industri muzik dan peminat seni suara pada waktu itu memang sukar serta tidak mudah dilakukan kerana fenomena Siti Nurhaliza (sekarang Datuk Seri Siti Nurhaliza) terlalu kuat dan besar, siapa-siapa sahaja mampu tewas melaluinya kalau tidak kena pada caranya. 

Akan tetapi dengan hanya berbekalkan bakat vokalnya itu semata-mata, dia berjaya meletakkan dirinya sebagai antara penyanyi yang disegani serta mampu berdiri sebaris dengan penyanyi hebat wanita tanah air yang lain. 

 

Bapa Bukan Laluan Mudah Siti Sarah Ikut Jejak Langkahnya

Siti Sarah mewarisi darah seni menyanyi daripada bapanya, Raissuddin Hamzah yang pernah menjadi penyanyi rakaman sekitar era 80-an. Beliau terkenal dengan lagu ‘Dia Bukan Lagi Milikku’ serta ‘Bior Pape Asal Bergaye’.

Sungguhpun begitu, laluannya sebagai penyanyi tidaklah mudah. Untuk menempatkan dirinya sebagai seorang penyanyi rakaman, dia terpaksa melalui jalan yang sukar dengan menyertai pelbagai jenis pertandingan nyanyian. 

Pada tahun 2001, dia telah menjadi peserta terakhir yang menyertai program Bintang RTM pada 2001. Melalui pertandingan yang penuh berprestij itu, dia terpaksa bersaing dengan dengan beberapa peserta yang kemudian turut menjadi penyanyi rakaman sepertinya iaitu Azharina, Amir Sofarz, Farawahida dan Misha Omar. 

Sepertimana bapanya yang pernah menyertai pertandingan yang sama pada 1980, perjuangan Siti Sarah terkandas dan tidak berjaya membawa gelaran juara, sebaliknya ia menjadi milik Azharina. 

Sebelum itu, Siti Sarah juga telah pernah menyertai pertandingan Bintang URTV yang mula diadakan pada tahun 2000 hingga 2001. 

Menurut bekas pengarang majalah URTV, Joha Ahmad, Siti Sarah telah menyertai pertandingan itu di beberapa peringkat zon tetapi tidak layak ke final. 

“Tetapi dia tetap tidak putus semangat dan masih berusaha untuk bertanding di Zon Timur iaitu di Kuantan, Pahang. 

“Waktu bertanding di zon inilah Siti Sarah menang dan dia kemudian menjadi juara sewaktu final Bintang URTV di adakan di Saloma Bistro, Kuala Lumpur pada 2001,” katanya. 

 

Belum 17 Tahun, Siti Sarah Sudah Ikat Kontrak Dengan NAR Records 

Kejayaan Siti Sarah sebagai juara Bintang URTV telah mengubah nasibnya dan telah pun menandatangani kontrak bersama NAR Records pada 2002. 

Mengimbas rentetan perjalanan Siti Sarah sebelum menjadi artis naungan di bawah label tersebut, Ahmad Mokhtaza atau Che Mokh yang ketika itu adalah pengurus besar di NAR Records memberitahu bahawa dia telah didatangi bapa Siti Sarah yang memberitahu bahawa anaknya boleh menyanyi. 

“Kebetulan saya sudah kenal Raissuddin sebelum ini dan kedai kawannya pula terletak dua pintu daripada syarikat NAR Records. Dia (Raissuddin) memang selalu ke kedai tersebut. 

“Tapi, disebabkan Siti Sarah ketika itu bakal menduduki SPM, saya minta supaya dia fokus dahulu dengan pelajaran. 

“Asal saya seorang pendidik, jadi kepada mana-mana bakat muda yang mahu jadi artis rakaman, saya pasti akan memberikan nasihat yang sama,” katanya. 

Sejak itu, Che Mokh memberitahu dia sentiasa mengikuti perkembangan Siti Sarah sewaktu bakat baharu itu menyertai beberapa pertandingan nyanyian. 

“Saya turut melihat dia beraksi di Bintang RTM dan juga Bintang URTV. Bila nampak saya, dia bilang, ‘terima kasih Uncle sebab support saya.’ 

“Dia memang panggil saya Uncle. Setelah jadi penyanyi rakaman di NAR Records pun dia masih panggil saya Uncle. 

“Walaupun ada ramai bakat-bakat baru yang berpotensi besar di dalam segala pertandingan yang saya lihat itu, tapi fokus saya memang tertumpu kepada Siti Sarah. 

“Sebab mungkin sudah ada persefahaman dengan bapanya, Raissuddin sebelum itu dan saya juga mendengar saranan Musa yang ketika bertugas sebagai A&R di NAR Records dan komposer Ajai.

“Lagipun, Raissuddin sendiri amat bimbang untuk menyerahkan anaknya kepada label lain. Katanya kepada saya, ‘Mokh, kau aku dah anggap sebagai kawan dan kau boleh perhatikan dia macam anak kau sendiri,’” katanya. 

Jelas Che Mokh lagi, ada juga segelintir pihak turut mempersoalkan tindakan NAR Records untuk mengambil Siti Sarah sebagai penyanyi rakaman kerana dia tidak punya pakej wajah menarik. 

“Masa itu kita fikir juga. Tapi bak kata Ajai, dia (Siti Sarah) kecil tapi suaranya besar. Suatu hari nanti dia boleh menjadi besar dan benarlah seperti apa yang dikatakan Ajai itu.

“Lagipun pada masa itu, kita sudah ada Elly Mazlein. Jadi kita mahu cari seorang lagi penyanyi wanita dan kita lihat dia (Siti Sarah) memang punya potensi besar di dalam bidang nyanyian,” katanya. 

Pada 2002, akhirnya Siti Sarah menandatangani kontrak perjanjian dengan NAR Records. Tapi kontrak itu ditandatangani bapanya bagi pihak Siti Sarah kerana waktu itu usia Siti Sarah belum lagi mencecah 17 tahun. 

 

 

Proses Rakaman Album Pertama Siti Sarah Bermula 

Album studio pertama berjudul Sarah memuatkan banyak lagu daripada komposer ternama termasuklah Ajai, Helen Yap, LY, Edrie Hashim, Nervous Pretty Ugly dan Asmin Mudin. 

Menurut Che Mokh lagi, walaupun NAR Records adalah syarikat rakaman yang kecil tapi mereka masih mampu mendapatkan khidmat komposer-komposer hebat ini di dalam album pertama Siti Sarah itu. 

“Malah, kami juga berupaya membuatkan muzik video untuk kesemua lagu-lagunya serta giat melakukan promosi dengan membawa Siti Sarah menjayakan jelajah promosi untuk albumnya di seluruh Malaysia. 

“Pendek kata, kita memang lakukan apa sahaja untuk membina namanya di dalam industri. Kalau hendak diikutkan, dia memang mahu membawakan lagu-lagu yang khusus bergenre R&B sebab dia mahu nyanyikan lagu-lagu yang ada soul

“Kami pula mahu ketengahkan dia sebagai penyanyi pop. Jadi, kami terpaksa beritahu tentang keadaan pasaran muzik dan statusnya sebagai penyanyi baharu yang mungkin menyukarkan buatnya jika dia muncul dengan album bergenre R&B,” katanya. 

 

Kejayaan Di Anugerah Industri Muzik Ke-10 

Biarpun masih baharu, namun Siti Sarah telah mencatat kejayaan yang mengejutkan di Anugerah Industri Muzik Ke-10 pada 2003 apabila album pertamanya, Sarah itu dinobatkan sebagai Album Pop Terbaik dan Album Terbaik di anugerah berprestij itu. 

Malah, Siti Sarah juga turut diangkat sebagai Artis Baru Terbaik selepas menewaskan pesainganya yang lain iaitu Hazami, Misha Omar, Jai dan Phyne Ballerz. 

Satu kejayaan yang boleh disifatkan sangat luar biasa bagi seorang penyanyi baharu sepertinya dan saat itu dia semakin meraih kedudukan yang selesa di dalam industri muzik tanah air. 

Berakhir sahaja kemenangan itu, Siti Sarah telah menghadiahkan kesemua komposer, produser, jurutera muzik dan pihak NAR Records dengan jam tangan Guess yang memiliki butiran kristal Swarovski sebagai tanda penghargaan. 

Perkara ini telah dikongsikan komposer Helen Yap yang turut terlibat di dalam pembikinan album pertamanya itu. 

“Setiap individu yang terlibat di dalam pembikinan album ini telah mendapat hadiah jam tangan tersebut. Kami juga telah diundang menghadiri majlis makan malam dan kenduri kesyukuran di rumahnya. 

“Pada usia yang cukup muda itu, Siti Sarah sudah tahu mengenang budi semua orang yang telah membantunya untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam album tersebut. 

“Sampai hari ini, saya masih simpan jam tangan tersebut sebagai kenangan manis. Jam tangan tersebut sangat cantik,” katanya di dalam akaun Instagramnya. 

 

 

‘Sandarkan Pada Kenangan’ Jadi Kegilaan 

Saat nama Siti Sarah sedang memuncak, dia telah mendapat tawaran untuk menyanyikan lagu ‘Sandarkan Pada Kenangan’ secara duet dengan Raja Pop, Jamal Abdillah (bergelar Datuk sejak 2013). 

Jamal Abdillah mahu merakamkan semula lagu yang pernah dimuatkan dalam filem Azura ini di dalam album kompilasinya, Raja Pop yang diluncurkan pada tahun 2003, tahun yang sama Siti Sarah muncul dengan album studio keduanya, Mimpi Pun Sama

“Suatu malam, saya telah didatangi komposer Arab (sudah arwah sejak 2016). Saya masih ingat ketika itu arwah hanya berseluar pendek. 

“Katanya, ‘gua ada satu projek untuk album Jamal Abdillah. Siti Sarah berduet dengan Jamal. Kalau lu berkenan okeylah.’ 

“Waktu itu, saya rasa bila artis baharu seperti Siti Sarah dapat tawaran menyanyi dengan penyanyi hebat seperti Datuk Jamal Abdillah, memang gilalah… 

“Saya tanya balik kepada Arab, ‘kau dah fikir masak-masak ke?’ Dia cakap, ‘Aku nampak dia (Jamal Abdillah) dengan Siti Sarah boleh’,” kata Che Mokh. 

Sambung Che Mokh lagi, memandangkan Jamal Abdillah seorang penyanyi yang sangat berdisiplin dan tersohor, dia menasihati Siti Sarah supaya datang lebih awal ke studio untuk rakaman lagu tersebut. 

“Siti Sarah memang datang awal dan kita telah memulakan rakaman untuk baris-baris lagu nyanyian. Waktu itu, Sheikh Qalam atau Man Bangla ikut sama dan dia secara santai telah membuat rakaman video sepanjang lagu itu dirakamkan dari saat Siti Sarah seorang sehinggalah waktu kedatangan Jamal. 

“Rakaman video itu memang tidak dirancang. Apabila Jamal Abdillah dan mendengar bahagian lagu yang dinyanyikan Sarah, dia sangat suka. 

“Akhirnya rakaman video yang dibuat Sheikh Qalam itu telah digunakan sebagai muzik video lagu ‘Sandarkan Pada Kenangan.’ 

“Apa yang dilihat di dalam muzik video itu adalah gambaran apa yang berlaku sepanjang lagu itu dirakamkan. 

“Apa yang luar biasa, lagu ‘Sandarkan Pada Kenangan’ itu telah menerima sambutan yang cukup hangat serta menjadi lagu top yang dinyanyikan di pusat karaoke,” katanya. 

 

Siti Sarah Fokus Dengan Pertandingan Realiti 

Selepas muncul dengan album ketiga dan terakhirnya, Tiada Dikau Tiada Makna pada 2005, Siti Sarah menyertai pertandingan realiti ‘One In A Million’ musim kedua pada 2007. 

Persembahannya pada setiap minggu cukup bertenaga dan membanggakan tetapi dia hanya berjaya meraih tempat ketiga apabila gelaran juara berpihak kepada Ayu Damit. 

Pada tahun 2009, Siti Sarah menyertai pertandingan World Championship of Performing Arts (WCOPA) di Los Angeles. Dalam pertandingan yang turut disertai Bob AF itu, Siti Sarah berjaya memenangi tiga pingat emas. 

Siti Sarah kemudian mengejutkan semua apabila bercinta dan mengahwini pelawak Shuib daripada kumpulan Sepah yang kemudian digelar Sepahtu pada 26 Februari 2011.  

Sepanjang mendirikan rumah tangga, mereka telah melalui pelbagai jenis susah senang serta mengusahakan perniagaan bersama-sama. Hasil perkongsian hidup, mereka telah dikurniakan empat orang cahaya mata Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8,  Ariq Matin, 6 dan Ayash Affan yang baru berusia 10 hari.

Sungguhpun begitu, minat terhadap nyanyian tidak pernah pudar dan Siti Sarah telah menyertai program realiti ‘Gegar Vaganza 3’ pada 2016. 

Sepanjang pertandingan itu, dia telah membuktikan kehebatannya membawakan pelbagai lagu termasuk ‘Teratai Layu Di Tasik Madu’ dan ‘Joget Sayang-Menyayang.’ Malah, persembahannya di dalam ‘Joget Sayang-Menyayang’ sangat diingati apabila menampilkan suaminya, Shuib sebagai artis undangan. 

Namun di akhir pertandingan, dia tewas di tangan Azharina yang dinobatkan sebagai juara dan terpaksa berpuas hati apabila meraih gelaran Naib Juara. 

Pada April 2019, Siti Sarah telah disatukan dengan Misha Omar dan Noryn Aziz dalam sebuah konsert yang dinamakan Soul Sisters di Istana Budaya. Konsert anjuran Edd Razhe Entertainment (ERE) ini berjaya memancarkan aura dan karismanya sebagai seorang penghibur bertaraf diva. 

 

Dari NAR Records Ke Indigital Music 

Selepas menyertai pertandingan ‘Gegar Vaganza Musim 3’, Siti Sarah telah muncul dengan sebuah single berjudul ‘Semakin’ ciptaan Shuib yang diluncurkan di bawah label Indigital Music. 

Walaupun lagu ini dikatakan mirip lagu ‘Matahari’ daripada Agnes Monica, namun lagu ini berjaya menonjolkan kehebatan vokal Siti Sarah. 

Bersama Indigital Music, Siti Sarah terus muncul dengan lagu ‘Manis’ ciptaan Yonniboi pada awal 2020. Walaupun menyedari lagu itu tidak akan diterima ramai, 

namun Siti Sarah tetap mahu menyanyikan lagu  bergenre R&B Hip Hiop tersebut untuk kepuasan dirinya. 

Lagu berikutnya adalah ‘Terakhir Buat Teman’ yang dinyanyikan secara duet bersama Hazama pada penghujung tahun yang sama. 

Lagu itu adalah sebuah lagu tribute yang dihasilkan oleh komposer Lok U atau Faizal Uzir,  untuk pemuzik Ally Rahman@Wan Kelly Abdul Rahman atau Kelli yang telah meninggal dunia pada 4 Mei 2019. Sebelum lagu itu sempat dikeluarkan Lok U pula meninggal dunia pada 22 Januari 2020, disusuli dengan Siti Sarah yang telah menyahut seruan Ilahi baru-baru ini. 

Sebelum menghembuskan nafas terakhirnya, Siti Sarah sempat merilis lagu duet bersama suaminya, Shuib berjudul ‘Semakin Benci Semakin Cinta’ pada Mac lalu. 

 

Lagu Ciptaan Ajai Lagu Pertama dan Terakhir Dinyanyikan Siti Sarah 

Ajai adalah antara komposer yang sememangnya rapat dengan Siti Sarah kerana dialah insan seni yang bertanggungjawab mencipta lagu ‘Kesetiaan’ yang dimuatkan dalam album pertamanya, Sarah

“‘Kesetiaan’ adalah lagu pertama yang dirakamkan Siti Sarah di dalam album tersebut. Dia selalu buat homework terlebih dahulu sebelum masuk studio. Sangat profesional dan sangat komited dengan kerjanya serta memiliki suara soul yang semula jadi.

“Saya tidak berhadapan dengan  apa-apa masalah sewaktu merakamkan lagu ‘Kesetiaan’ dengan Siti Sarah ini. Malah, rakaman suara juga tidak mengambil masa kerana dia sangat faham apa yang dia mahukan,” katanya. 

Sejak itu, kata Ajai, hubunganya dengan Siti Sarah semakin akrab kerana dia juga terlibat pembikinan album kedua dan ketiganya iaitu Mimpi Pun Sama (2003) dan Tiada Dikau Tiada Makna (2006). 

“Saya bahasa diri dia sebagai adik dan dia panggil saya abang. Waktu bercinta dengan Shuib, dia bawa Shuib datang jumpa saya. 

“Sebelum Siti Sarah pergi menyahut seruan Ilahi, dia minta saya untuk buatkan lagu duet untuk dia dan Shuib iaitu ‘Semakin Benci Semakin Cinta’ yang telah diluncurkan di pasaran kira-kira tiga minggu lepas. 

“Punyalah dia suka dapat lagu itu. Dan, dia mahu saya hasilkan pula lagu solo untuknya selepas ini. Tahu-tahu, Allah SWT lebih sayangkan dia. 

“Yang saya tidak sangka, lagu ‘Kesetiaan’ adalah lagu pertama saya yang dia nyanyikan dan lagu ‘Semakin Benci Semakin Cinta’ pula adalah lagu terakhir daripada saya yang dinyanyikannya walaupun secara duet dengan suaminya,” katanya lagi dengan nada sedih. 


Berakhirnya Kisah Perjalanan Insan Seni Bernama Siti Sarah Raisuddin 

Begitulah kisah dan rentetan perjalanan hidup Siti Sarah Raisuddin. Penyanyi hebat ini telah pun pergi meninggalkan kita semua akibat jangkitan COVID-19 .

Namun, ibu ini sempat bertarung nyawa untuk  melahirkan cahaya mata keempatnya, Ayash Affan secara pembedahan pada 6 Ogos setelah ditidurkan. 

Siti Sarah menghembuskan nafas terakhirnya di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM) Cheras pada jam 5.13 pagi, 8 Ogos lalu.

Pemergiannya bukan sahaja diratapi warga industri muzik tanah air, rakan selebriti, peminat-peminatnya mahupun seluruh lapisan masyarakat, bahkan  ia turut meraih simpati dunia sehingga berita kematiannya telah terpampang di pelbagai media antarabangsa.

Damailah kamu di sana, wahai Siti Sarah Raissuddin. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohmu dan menempatkanmu dalam kalangan orang-orang beriman. - Getaran, 15 Ogos 2021

Semua gambar: Instagram @sitisarahraissuddin, kecuali tertera

Isu Pada

Whulandary – Puspa Bangsa Di Bumi Malaysia

14 Aug 2021

Berita Berkaitan

1

Sukan 4 hari yang lalu

Pecahkan Dominasi JDT Musim Ini - Azman Adnan

2

Luar Negara 2 minggu yang lalu

Singapura Rampas 1.5 Tan Produk Segar, Makanan Proses Dari Malaysia

3

Semasa 3 minggu yang lalu

Anwar Terima Kunjungan Menteri Luar India

4

Sukan 3 minggu yang lalu

Beraksi Di Laman Sendiri Gagal Bantu Harimau Malaya Saingi Kehebatan Oman

Sorotan

1

Piala Asia B-23: Kesilapan Hukum Harimau Muda Berdepan Uzbekistan

2

Akta Kerja 1955 Benarkan Pekerja Mohon Aturan Kerja Anjal - Menteri

3

Tiada Keperluan Pemindahan Pulang Rakyat Malaysia, Keadaan Stabil Di Timur Tengah

4

Mangsa Banjir Di 3 Negeri Meningkat Sedikit Kepada 748 Orang Malam Tadi - NADMA

5

Aktiviti Gunung Berapi Cetus Pemindahan Ratusan Orang Di Sulawesi Utara Indonesia

6

Pinjaman RM1.8 Bilion Dipindahkan Ke Luar Negara Tanpa Usaha Wajar – Saksi

7

Kerajaan Tetap Kurangkan Subsidi Minyak Tahun Ini – Rafizi