Berita Terkini

1 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 1 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


5 Perkara Tak ‘Best’ Yang Hanya Pemilik Kereta Elektrik Tahu Atau Faham

Minggu lepas, Hezeri Samsuri sudah menceritakan hal-hal yang baik tentang kenderaan elektrik. Minggu ini ada hal-hal yang tidak 'best' pula katanya. Jom semak.

TARA Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 14 Feb 2021 8:50AM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Dalam bahagian pertama minggu lalu, saya dedahkan perkara-perkara positif berkaitan penggunaan kenderaan elektrik (EV).

Seperti biasa, tak akan ada benda yang 100 peratus positif di dunia ini. Selagi ia dibuat oleh manusia, memang akan ada keburukannya - kecuali mee rebus Parit Jawa yang emak saya buat. Yang itu memang 100 peratus positif.

Kali ini, biar saya ceritakan isu-isu EV yang akan membuatkan muka anda kelat.

1. Kalau rosak, tidak ada pomen tempatan langsung!

Gambar: Hezeri Samsuri
Gambar: Hezeri Samsuri

Untuk kenderaan EV yang baharu, kita boleh mengharapkan waranti dari pengeluar. Pusat servis juga sudah dilatih serba sedikit mengenai cara-cara penjagaan EV yang dijual oleh mereka. Selepas habis waranti, pemilik masih boleh menghantar EV mereka ke pusat servis cuma seperti biasa, harganya memang mahal.

Ekosistem automotif Malaysia memerlukan industri penjagaan dari pihak ketiga kerana selepas tamat tempoh waranti, adalah lebih murah untuk dihantar ke bengkel luar. Secanggih mana pun kenderaan enjin biasa, pasti ada mekaniknya di luar itu. Perkara yang sama tidak boleh dikatakan untuk EV kerana selama ini, tidak ada EV yang wujud di Malaysia untuk mekanik mempelajarinya.

Kepada pembeli-pembeli Tesla di Malaysia, memang saya tabik. Ini ialah kerana Malaysia tidak ada pakar untuk Tesla. Mungkin ada yang mendabik dada berkata ia tahu, tetapi saya sudah buktikan bahawa dengan hanya Renault Zoe pun, 'pakar' Tesla tempatan terkedu dan terus diam.

Ya, Renault Zoe saya pernah mengalami masalah. Bukan bateri. 

Bateri EV sebenarnya jarang rosak kerana sistem penjagaan bateri (Battery Management System) untuk EV memang canggih dan ia mempunyai sistem sejukan untuk memastikan bateri berada di dalam suhu yang optimum.

Zoe saya pernah mengalami kerosakan pada unit pengecaj binaan dalaman yang ada pada kereta itu sendiri. Battery Charger Block atau BCB ini memang antara isu yang boleh terjadi kepada kenderaan EV Eropah. 

Unit BCB ini sebenarnya mempunyai pelbagai litar di dalam dan ia boleh dibaiki dengan menggantikan komponen yang perlu sahaja tetapi syarikat kereta tidak akan ada masa untuk membuat benda-benda remeh seperti itu.

Di Eropah, kita memang ada pakar-pakar untuk membaiki BCB tapi di Malaysia, semasa Zoe saya rosak (ia tidak mahu menerima sebarang caj elektrik dari mana-mana sumber), saya tidak ada pilihan lain selain dari menghantar Zoe saya ke Renault Malaysia.

Harga BCB baharu hampir RM20,000 dan selepas diskaun, saya terpaksa membayar hampir RM17,000. Terima kasih Renault Malaysia kerana kualiti pemasangan dan layanan memang terbaik walaupun kereta saya sangat jarang dijumpai.

Unit BCB lama saya, saya berikan kepada Kelab Pemilik Zoe di mana kami ada beberapa hamba Allah yang cukup rajin untuk mempelajari bagaimana untuk membaiki kenderaan kami itu.

Dengan unit BCB saya itu, mereka kini sudah mampu untuk membaiki beberapa lagi unit Zoe yang mengalami kerosakan yang sama.

Sayangnya, bukan semua pemilik EV mahu bercampur gaul dan mengotorkan tangan seperti beberapa individu ini.

Apa pun, jika anda berminat untuk mempelajari EV, rakan-rakan saya ini sudah mampu membuka unit bateri dan pelbagai komponen lain lagi.

Cuma satu saya perlu pesan - pengetahuan mengenai elektronik sangat diperlukan. Mekanik EV lebih banyak memegang kalkulator dan laptop dari spana dan pemutar skru!

2. Rumah anda tidak semestinya boleh mengecaj EV anda!

Gambar: Hezeri Samsuri
Gambar: Hezeri Samsuri

Mempunyai rumah di bawah (landed) tidak semestinya memungkinkan anda boleh memasang unit pengecaj EV di rumah atau home-charger.

Ini ialah apa yang saya pelajari sendiri, dan Alhamdulillah, rumah saya lulus ujian.

Mungkin kerana itu Porsche Malaysia mewajibkan ujian elektrikal di rumah kediaman atau premis home-charger itu dilakukan dahulu sebelum anda boleh membeli Taycan EV.

Ada beberapa sebab kenapa home-charger tidak boleh dipasang di premis-premis. 

a. Pembumian yang tidak baik.

Sistem elektrik di premis itu perlu mempunyai pembumian atau earthing yang baik. Jika tidak, anda perlu memanggil juruelektrik untuk membuat pembumian baharu atau membaiki pembumian lama.

b. Wujud isu 'Electrical Harmonics.'

Ini adalah masalah yang sukar dibaiki kerana ia datang dari punca tenaga itu sendiri dan di Malaysia, dari TNB.

Masalah ini ialah umpama tenaga elektrik yang tidak stabil atau mempunyai frekuensi-frekuensi 'kotor' yang akan merosakan bateri EV anda.

Apa yang akan terjadi ialah EV anda akan menolak caj dari punca kotor itu.

Hanya satu cara untuk mengatasi masalah ini - pindah ke kawasan lain.

c. Tiada kebenaran dari pengurusan 

Ini sering terjadi kepada mereka yang tinggal di apartment atau kondominium.

Tempat parkir mereka tidak mempunyai punca tenaga elektrik dan mereka tidak dibenarkan membuat pendawaian baharu.

Selagi undang-undang perumahan tidak mewajibkan pemasangan punca kuasa untuk pemasangan pengecaj, masalah ini akan sentiasa wujud.

Penyelesaiannya ialah melepak di pengecaj awam selama beberapa jam atau beli kediaman baharu atau pasang pengecaj di pejabat.


3. EV tetap tidak akan menjadi kenderaan utama keluarga

Gambar: Hezeri Samsuri
Gambar: Hezeri Samsuri

EV masih tidak boleh dijadikan kenderaan utama kerana gaya hidup kita masih bergantung kepada kenderaan bahan api fosil - petrol dan diesel.

Kita gemar berjalan, dan kita gemar pulang ke kampung, terutama kaum Melayu.

Walaupun pusat pengecaj awam wujud, ia hanya sesuai untuk jumlah EV yang sedikit, seperti sekarang. Bayangkan anda perlu mengecaj, dan di tempat caj, ada sebuah EV baru mula mengecaj.

Adakah anda sanggup tunggu selama 60 minit untuk ia habis mengecaj? Bayangkan ada dua EV menunggu, atau tiga? 

Memang ada pemilik EV yang sanggup berjalan jauh di Malaysia, tetapi mereka mempunyai banyak masa terluang. Ia umpama mahu ke London dengan menaiki kapchai Honda EX-5, boleh dilakukan tetapi adakah anda sanggup? 

Buat masa sekarang, EV hanya sesuai sebagai kenderaan kedua atau ketiga, bagi perjalanan di dalam bandar.

Harga EV yang mahal juga akan menyukarkan ia menjadi kenderaan kedua.


4. Nilai jual balik yang mungkin tidak stabil

Gambar: Hezeri Samsuri
Gambar: Hezeri Samsuri

Ini sebenarnya berkait dengan kewujudan ekosistem automotif yang tidak lengkap untuk EV.

Tanpa kemahiran pihak ketiga, sukar untuk menjaga dan membaiki EV yang sudah berusia atas dari lima tahun, dan ini akan menyebabkan permintaan untuk EV terpakai rendah.

Ia bermakna, nilai jual balik EV mungkin akan menurun dengan drastik.

Buat setakat ini, harga untuk Renault Zoe masih berada dalam kawalan kerana yang membeli adalah hanya mereka yang berminat, seperti situasi dalam industri kereta klasik dan ya, Yamaha RX-Z.


5. Tidak ada insentif untuk pemilik EV

Gambar: Hezeri Samsuri
Gambar: Hezeri Samsuri

Pemilikan EV memerlukan pengguna mengubah cara hidup mereka. Contoh paling mudah, anda perlu melihat jarak perjalanan dan memeriksa baki bateri masih ada atau tidak.

Ini sebenarnya adalah cabaran terbesar EV di seluruh dunia kerana perangai manusia sukar untuk diubah.

Oleh kerana itu, kerajaan-kerajaan di negara-negara maju, termasuk Thailand, memberikan insentif dari segi cukai mahupun dari segi kemudahan (parkir percuma, laluan bebas tol dan sebagainya) untuk menjadikan EV itu menarik kepada orang ramai.

Malaysia adalah satu negara yang unik. Walaupun sudah ada ramai penduduknya sudah bersedia untuk membeli EV dan ada agensi-agensi kerajaan yang sudah lama merancang untuk melebarkan sayap EV negara, masih tidak ada seorang pemimpin Malaysia dari parti dahulu dan sekarang yang benar-benar mahu revolusi EV ini berlaku.

Jadi bila anda bertemu dengan pemilik EV, ucapkan terima kasih kepada mereka kerana mereka adalah antara mereka yang berani membuka jalan untuk melihat kemampuan Malaysia menggunakan EV sebagai pengangkutan harian. - Getaran, 14 Februari 2021

Isu Pada

Alvin Chong

13 Feb 2021

Berita Berkaitan

1

Video & Galeri 3 bulan yang lalu

Kenderaan Elektrik Rentung Terbakar Ketika Dicas

2

Kolum 4 bulan yang lalu

Malaysia Belum Bersedia Untuk Penggunaan Kenderaan Elektrik Secara Meluas?

3

Semasa 5 bulan yang lalu

Struktur Cukai Jalan EV Diumumkan Bulan Depan - Menteri

4

TARA 8 bulan yang lalu

Adakah Malaysia bersedia guna EV?

Sorotan

1

AS Guna Veto Halang Usul Iktiraf Keahlian Palestin Dalam PBB

2

Jangan Abai Peruntukan Untuk Pembangunan Sukan - Hannah

3

Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Meninggal Dunia Akibat Serangan Jantung

4

32 Keluarga Dipindahkan Selepas Banjir Lahar Sejuk Landa Jawa Timur, Indonesia

5

Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai Dijangka Beroperasi Semula Dalam Tempoh 24 Jam

6

PRK DUN Kuala Kubu Baharu: Calon Atas Nama Kerajaan Perpaduan, Bukan Parti - Zamry