Berita Terkini

2 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 3 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


9 Klip Video Hip Hop Tempatan Ini Pernah Menggegarkan Industri Muzik Malaysia!

Kami membongkar semula klip video hip hop ikonik yang telah memberi impak besar dalam industri muzik Malaysia.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 10 Jul 2021 8:24AM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Muzik rap atau hip hop merupakan salah satu genre muzik yang  biasanya menjadi kegilaan anak muda. Tetapi tahukah anda, dunia hip hop memiliki sejarah yang cukup panjang malah telah melalui beberapa fasa perubahan.

Kalau disingkap sejarah hip hop pada tahun 1980-an, muzik ini selalu mempamerkan aura santai menceritakan gaya hidup masyarakat zaman ini. Namun, hip hop akhirnya mengalami perubahan di era 1990-an di mana ramai penyanyi rap mula menceritakan kegelisahan hidup dalam lirik mereka. Perubahan ini telah menjadi satu revolusi kerana mesej yang ditampilkan cukup berat dan dekat dengan realiti semasa.

Terima kasih kepada Youtube, kami akhirnya dapat  membongkar semula klip video hip hop ikonik yang telah memberi impak besar dalam industri muzik Malaysia. Jadi, berikut kami senaraikan 9 klip video hip hop yang terbaik bermula pada tahun 1998. Mari kita lihat adakah lagu hip hop kegemaran anda termasuk dalam senarai ini?
 

Kaka Azraff, Loca B dan Noki – ‘Gila’ (2020)

Kaka Azraff, Loca B dan Noki dari K-Clique benar-benar  menggegarkan industri muzik tanah air dengan single mereka bertajuk ‘Gila’. Ramai yang meremang mendengarnya.

Lagu ciptaan bersama Noki, Loca B dan Ezra Kong ini diberikan susunan muzik bercita rasa urban sesuai dengan trend muzik masa kini. Sungguhpun begitu, lagu itu bukan sekadar hiburan kosong. ‘Gila’ mengangkat mesej kekuatan diri  untuk menghadapi hidup dengan lirik yang puitis. 

Video muzik yang diarahkan oleh Adriana Tunku ini merupakan salah satu video tempatan yang cukup mengagumkan. Ia unik dan mempunyai nilai sentimental tersendiri malah lagu 'Gila' juga turut diangkat sebagai pemenang keseluruhan anugerah muzik paling berprestij Malaysia iaitu Anugerah Juara Lagu ke-35.

Sona One – ‘Bomba’ (2020)

Lagu ini sebenarnya ialah sebuah projek kolaborasi antara Sonaone, Dhani Illiani dan rumah produksi DenHouse. Adegan dalam muzik video ini tercipta hasil daripada perbualan mereka sebelum penggambaran bermula. Misalnya, tentang kucing dan makanan kesukaan masing-masing.

Meskipun penggambaran ini dirakam menggunakan layar hijau sahaja, namun ia memakan masa dua minggu kerana harus melalui beberapa fasa penelitian bagi memberikan hasil yang terbaik. Anda juga mungkin perasan lukisan Salvador Dali yang ada dalam video muzik ini. Sonaone sebenarnya ialah peminat tegar pelukis itu.

Dose Two- ‘Fine Wine’ (2020)

Video muzik ini dirakam di Janda Baik, dan bernuansa sangat ‘Malaysia’ sekali. Mana tidaknya, elemen  rekaan batik tradisional Melayu benar-benar ditekankan dalam video ini. 

Memandangkan video ini diarahkan oleh seorang perempuan, maka ia banyak memberi fokus kepada cara pandang seorang perempuan termasuklah perkara abstrak seperti gerak hati dan perasaan mereka. Konsep ini dipilih kerana ia sangat dekat dengan semua perempuan di luar sana.

Luqman Podolski – ‘Sorang’ (2019)

Walaupun Luqman merupakan figura alam maya yang lucu dengan koleksi rambut palsunya, namun, personaliti itu ternyata berbeza ketika Luqman menyanyikan lagu ini. Dia sebenarnya seorang yang sangat introspektif dan pendiam. Semua itu dapat dilihat di dalam video muzik ini. 

‘Hantu’ dalam video muzik ini juga mempunyai keperibadian yang berbeza. Apa yang menarik, rambut palsu yang digunakan dalam klip ini juga turut disesuaikan agar kelihatan seragam dengan pelakon tambahan dalam video ini. Comel bukan?


 

Jin Hackman – ‘2018 Malaysian Rap Up’ (2018)

Video muzik ini agak menarik kerana mempamerkan berbagai sudut tentang Malaysia dan perkara yang pernah trending. Ia termasuklah kontroversi logo kempen pelancongan Malaysia, burger nasi lemak, Pilihan Raya Umum-14 dan lain lain. 

Balan Kashmir – ‘Start That Thiruvizha’ (2016)

Sekiranya anda mencari video muzik yang menekankan aspek tentang budaya India yang ada di Malaysia, klip ini adalah jawapannya!

Video ini  menunjukkan kehebatan dan keindahan budaya masyarakat India iaitu Festival Holi yang penuh warna-warni. Bukan senang nak hasilkan video ini. Ia memakan masa sebulan untuk memastikan koreografi bernama Bharatanatyam dapat diikuti oleh pasukan penari yang juga merupakan anak didik kepada penari terkenal, Ramli Ibrahim. 

Fakta menarik, babak seorang pakcik yang memotong rambut dalam klip ini sebenarnya tak dirancang. Dia sebenarnya seorang lelaki yang datang dari ladang dan  tiba-tiba berada di situ untuk menonton penggambaran tersebut.

Too Phat – ‘Anak Ayam’ (2001)

Boleh dikatakan lagu ‘Anak Ayam’ adalah salah satu lagu terbaik yang dihasilkan kumpulan hip hop ini. Ia popular, ikonik dan menjadi siulan ramai pada waktu itu. Video muzik ini sebenarnya merakam apa yang ada pada zaman itu. Contohnya permainan video PS2 yang menjadi simbol kepada Too Phat dan animasi Dinosaur, memandangkan filem Jurassic Park sangat popular pada waktu itu. Muzik pembukaan klip juga cukup unik kerana diilhamkan dari lagu P. Ramlee.

Keseluruhan pengambaran yang memakan masa 22 jam ini telah dirakamkan dengan menggunakan kamera BetaCam. Selain itu ia juga menampilkan pelakon seperti Sazzy Falak, Natasha Hudson, Ferhad dan Radhi Razali.
 

Poetic Ammo – ‘Who Be The Player’ (2000)

Video ini sebenarnya cuba untuk melakonkan semula watak Yogi B yang terkenal dalam latar filem sains fiksyen. Sebab itulah terdapat bunyi guruh dan beberapa babak mereka bercakap menggunakan bahasa asing yang tidak difahami oleh manusia. Ia turut menampilkan bekas VJ MTV Zalia sebagai makhluk asing jelita yang berinteraksi dengan ahli kumpulan Poetic Ammo.

Diterbitkan pada tahun 2000, video muzik ini berjaya memenangi anugerah Video Muzik Terbaik di Anugerah Industri Muzik pada tahun yang sama.

KRU - Fanatik

Klip video yang pernah mencuri perhatian ini merupakan hasil arahan sinematografer dan sutradara tersohor Saw Teong Hin yang juga bertanggungjawab di atas seni visual hebat filem Puteri Gunung Ledang lakonan Tiara Jacquelina dahulu. Di dalam klip video ini KRU juga berpeluang memperkenalkan artis terbaharu di bawah naungan syarikat rakaman KRU Music mereka ketika itu, di mana kumpulan Elite, Indigo dan DanceKRU diberi kesempatan membuat kemunculan untuk beberapa saat di bahagian akhir lagu. Diselang-seli dengan warna memukau serta kesan khas yang hebat, tidak hairanlah jika di acara Anugerah Industri Muzik (AIM) 1998 ia telah menggondol Anugerah Muzik Video Terbaik.

Demikianlah 9 klip video yang kami rasakan mencipta fenomena. Anda pula bagaimana? - Getaran, 10 Jul 2021

Olahan Sara Mack Lubis dan Shah Shamshiri

Isu Pada

Inkarnasi Joe Flizzow

10 Jul 2021

Berita Berkaitan

1

Muzik 11 jam yang lalu

ONEUS Pun Terikut Trend Lagu Alamak Raya

2

Sukan 1 minggu yang lalu

Pecahkan Dominasi JDT Musim Ini - Azman Adnan

3

Muzik 2 minggu yang lalu

'Cinta Tak Mungkin' Hadiah Raya Siti Nurhaliza

4

Luar Negara 4 minggu yang lalu

Singapura Rampas 1.5 Tan Produk Segar, Makanan Proses Dari Malaysia

Sorotan

1

Anak MB Perlis, 4 Yang Lain Dilepas Dengan Jaminan SPRM

2

Pemilik Stesen Minyak Diminta Lapor KPDN Jika Diancam Sindiket

3

Najib Diberi Peluang Jelaskan Mengenai Dokumen 1MDB Ketika Disoal Siasat - Pegawai SPRM

4

Elak Ketirisan, Perkukuh Tatakelola, Boleh Beri Upah Lumayan Kepada Pekerja - PM

5

5 Laluan Ditutup Sementara Sempena Hari Penamaan Calon PRK KKB Esok

6

Misi Pelayaran Ke Gaza Ditangguhkan Berikutan Tekanan Rejim Zionis - FFC

7

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi