Berita Terkini

2 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 1 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Bagaimana Grafiti Membentuk Saya - Sebuah Wawancara Bersama Koh Yung Shen

Ikon ‘streetwear’ tempatan Koh Yung Shen dari The Swagger Salon berkongsi fikiran mengenai kekuatan dan pengaruh grafiti dalam budaya dan muzik hip hop.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 10 Jul 2021 8:25AM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Saya masih ingat topi snapback Lansi pertama saya. Serba hitam dengan sulaman putih perkataan LANSI di panel depan, dan juga putih di pinggir bawah. 

Entah di mana topi itu sekarang tetapi saya masih ingat perasaan teruja ketika membelinya. 

Pada awal tahun 2010-an di Kuala Lumpur, tidak banyak jenama streetwear tempatan yang berjaya menempa nama dan meraih keuntungan berteraskan cabang seni, muzik dan budaya. Namun The Swagger Salon pastinya tersenarai di dalam golongan yang menemui sukses. 

Berbekalkan objektif dilihat merata-rata, jenama LANSI yang mempersonifikasi etos hip hop; berpegang teguh dengan identiti sendiri dan attitude, meledak di pasaran.

Inilah yang mendorong pengasas bersama LANSI, Koh Yung Shen. Shen dengan nama samaran Schizzow, menjadi seorang artis grafiti dan rapper dalam kru Rogue Squadron yang berpusat di Kuala Lumpur. Jika anda tertanya-tanya mengenai rujukan Star Wars tersebut, ianya merupakan satu inisiatif oleh nama besar hip hop tempatan, The Rebel Scum.

Silalah Google, wahai para 'Zoomer'.

Anda mungkin pernah terdengar kisah bagaimana jenama itu diasaskan, di mana Yung Shen melaburkan semua wang simpanannya untuk menghasilkan edisi pertama topi LANSI. 

Ayuh kita bersembang mengenai grafiti – bagaimana ia mempengaruhi Schizzow yang ketika itu baru bertunas sebagai artis grafiti dan berkembang dari menconteng dinding kepada mencetak kemeja T.

Sejak penghujung 1960-an, grafiti dan hip hop tidak dapat dipisahkan. Ia bercambah menjadi suatu rekabentuk seni di kejiranan New York di samping b-boy dan dj lantas bertapak dalam budaya pop.

Ceritakan sedikit tentang karya grafiti pertama anda.

Shen: Pada tahun 2003, saya baru berusia 16 tahun. Seorang hip hop head yang janggal berbanding rakan-rakan sekolah jenis kebangsaan Cina yang memuja Jay Chou, yang tidak memahami ketaksuban saya terhadap jersi besar, topi visor, 8 Mile dan tabiat tagging  "Schizzow" di seluruh ceruk sekolah.

Memang wajar saya dan rakan sekelas akhirnya menyeludup tin semburan Anchor ke sekolah pada hari cuti umum dan ‘mempersembahkan’ karya setinggi 7 kaki, 'Street 7' iaitu nama kru saya di sekolah menengah, di dinding belakang salah satu makmal sains.

Depan mata! Kantoi tak?

Shen: Ya, saya telah dikenakan tindakan disiplin tetapi hanya kerana ada orang yang membocorkan rahsia beberapa bulan kemudian.

Pastinya membina karakter. Bagaimana dengan scene di Pulau Pinang?

Shen: Scene seni jalanan seakan tidak wujud di Pulau Pinang ketika itu. Pada tahun 2003, ada beberapa rakan sebaya yang berjinak-jinak dengan seni grafiti dan tagging, namun kami lihat tiada scene atau artis tempatan yang berkecimpung di dalam seni ini yang boleh kami contohi.

Setahun kemudian, pada tahun 2004, saya berkenalan dengan seorang artis yang dikenali sebagai Psycho MC dan ketika itulah saya mendapat inspirasi untuk meneroka dan paint the town red (dan pelbagai warna lain). Satu-satunya penggiat grafiti yang ada di Pulau Pinang yang saya tahu ketika itu adalah Pa'din Musa dan rakan-rakan CLIMAX (kedai skate beliau) tetapi saya tidak mengenali mereka secara peribadi – walaupun karya grafiti kami di sekitar bandar George Town pernah diketengahkan bersama dalam akhbar The Star pada tahun 2004.

Siapa yang memberi inspirasi kepada anda untuk mulakan tagging?

Shen: Saya peminat Banksy, DAIM, Pryme, kru 1UP dan Space Invader ketika saya mula berjinak dengan seni jalanan (sekitar tahun 2001/2002), tetapi artis-artis tempatan yang benar-benar memberi inspirasi kepada saya untuk meneroka tagging dan mengekspresi diri melalui seni grafiti ketika itu: kru tempatan seperti SWS (terdiri daripada DrewOne, Shieko, VDS, dan percaya atau tidak - SonaOne) dan Phobiaklik. Tidak lupa juga artis Singapura seperti OAC (Operation Art Core) dan The Killer Gerbil. Saya menjadi pengikut setia semua blog mereka (di kafe siber sebelum ke sekolah) untuk melihat karya baharu.

Saya dan rakan-rakan juga selalu mengunjungi pusat grafiti terkenal di Kuala Lumpur pada masa itu – Tembok Melawati untuk melihat karya terbaru kru tempatan dan mempelajari teknik dan skema warna mereka.

Sebagai seorang remaja yang membesar di Taman Melawati, saya berasa takjub dengan saiz tembok tersebut. Jadi apa yang membuat anda beralih arah dari melukis grafiti kepada mereka topi snapback?

Shen: Intipati seni grafiti pada masa itu adalah meninggalkan tanda di merata-rata tempat dan tagging nama anda di kawasan kejiranan atau bandar seberapa banyak yang mungkin. Jadi saya rasa peralihan untuk saya berlaku ketika saya menyedari bahawa saya boleh menyebar atau lebih tepat lagi, menempa nama dengan lebih berkesan sekiranya saya letak tanda tersebut di atas kemeja T atau topi, dan lihat orang ramai memakainya ke sana ke mari. 

Kongsi cerita dengan kami tentang topi pertama LANSI.

Shen: Topi LANSI pertama saya buat adalah untuk diri saya sendiri kerana saya inginkan sesuatu yang unik dan tidak dimiliki orang lain. Kemudian saya terfikir yang LANSI adalah suatu attitude yang relevan dengan ramai orang lain. Ketika itu saya baru sedar yang saya boleh memulakan sebuah pergerakan kecil dengannya.

Ketika itu anda masih dikenali sebagai seorang rapper. Bagaimana reaksi masyarakat hip hop ketika anda menukar medium dan mula mengekspresi seni anda melalui fesyen?

Shen: Sokongan mereka padu. Saya tidak pasti sama ada kerana topi LANSI itu menarik atau kerana mereka hanya mahu saya berhenti rapping dan musnahkan tembok yang elok. Haha. Tetapi saya banyak terhutang budi kepada komuniti hip hop dan Rogue Squadron kerana menyokong saya dari awal.

Saya masih ingat hari Jin Hackman menelefon dan memberitahu saya tentang rancangan beliau menganjurkan “malam hip hop" bulanan di Tropicana City Mall dan bertanya sama ada saya mahu membuka gerai menjual topi saya di sana. Begitulah bermulanya Raising The Bar (RTB), dan kami mengenakan topi dan kemeja T LANSI di setiap acara RTB sejak itu. Rebel Scum, SSK dan Rogue Squad adalah antara yang pertama menyokong jenama LANSI. Begitu juga mereka-mereka yang di dalam scene seperti Vandal, Tactmatic, Altimet dan ramai lagi. Saya sentiasa bersyukur, sentiasa rendah hati dengan sokongan yang diberi.

Pernah tak anda tertanya-tanya apa agaknya terjadi jika anda hanya fokus kepada tembok sebagai kanvas?

Shen: Saya akui sesekali saya masih terfikir untuk meletakkan seni di tembok awam tetapi jika saya melakukan seni jalanan sekarang, saya akan beralih dari gaya liar kepada karya yang lebih bersifat komentari sosial dan bizarre guerilla installation. Sejujurnya buat masa ini saya lebih senang menjadi orang awam dan meninjau serta mengagumi karya-karya artis seperti Bibichun dan Trina Teoh. 

Apakah nilai seni grafiti yang anda terapkan ke dalam rekaan fesyen?

Shen: Seni jalanan dan hip hop secara lazimnya berkisar tentang menarik perhatian dan membuktikan nilai seseorang – anda tidak akan dengar tentang 'rapper yang rendah hati' atau 'seniman grafiti meminta maaf'. Pasti terdapat persaingan antara artis atau rapper, sering bercakap dalam bahasa yang berlagak bagus, meletakkan karya yang lebih segar di sebelah karya artis lain di tembok yang sama, dan saya rasa itulah nilai atau attitude yang saya terap dengan selesa dalam semua rekaan fesyen saya. 
 

Nota sampingan: adakah akan muncul topi trucker berstensil 'LANSI' di bahagian depan tak lama lagi?

Shen: Sekiranya topi trucker membuat kemunculan semula, semestinya saya berharap kami yang mulakan gelombang itu!

Saya akan berbaris untuk membeli topi tersebut! Kembali kepada grafiti dan hip hop. Apa kaitan antara keduanya dari segi ekspresi diri?

Shen: Saya akan mengatakan keaslian. Dari dulu lagi, baik grafiti atau rap, tertanam dalam benak untuk tidak 'menggigit', kerana 'menggigit', atau meniru karya atau lirik artis lain adalah sesuatu yang memalukan dan tidak digemari. Oleh itu, kena selalu berusaha dan berasak untuk memikirkan dan menghasilkan idea yang lebih segar, kiasan dan permainan kata yang lebih menyengat, gaya yang lebih hebat dan menjadi orang pertama yang menyajikan karya untuk dilihat, didengar dan dihargai oleh ramai.

Dan saya percaya itulah yang sebenarnya dambaan semua artis atau rapper atau b-boy atau DJ atau beatboxer. Saya masih mempunyai semangat yang sama ketika melancarkan koleksi baru, dengan harapan belum ada orang lain yang menghasilkan idea rekaan kemeja T atau topi mirip rekaan saya.

Siapa rapper atau artis grafiti lain yang telah menerjemahkan karya mereka ke medium yang berbeza?

Shen: Saya tidak pasti mengenai rapper, tetapi satu kebetulan yang lucu ialah ketika saya mula-mula mengenali Kenjichai (artis grafiti), beliau adalah seorang pereka pakaian (Black Fryday) semasa saya masih menyanyi rap dan aktif melakukan grafiti. Beliau begitu murah hati menaja busana Black Fryday untuk saya kenakan ketika membuat persembahan! Beliau kemudian beralih ke seni grafiti sementara saya menceburkan diri dalam rekaaan fesyen dan saya yakin untuk mengatakan bahawa kami berdua gembira dengan peralihan itu.

Individu lain yang terkenal ialah Joe Tribe aka DJ Mushroom, pelopor scene yang berbakat di Melaka, yang memulakan jenama pakaiannya pada tahun 2004 (memberi inspirasi kepada saya dalam pelbagai segi). Beliau menceburkan diri dalam seni grafiti dan menganjurkan pertandingan grafiti (yang saya kunjungi dari Pulau Pinang dengan menaiki bas), menjadi DJ sepenuh masa dan juga menyelenggarakan akademi DJ. Bermulanya perintah kawalan pergerakan, beliau memindahkan DJ-nya ke TikTok dan sejak itu telah mengumpulkan hampir 600,000 pengikut. Sangat hebat!

Memang hebat! Saya ingin tahu, mengapa LANSI taksub dengan gangster Cina?

Shen: Saya cukup yakin bahawa itu adalah ketaksuban milik Rogue Boss Chan, bukan saya. Hahaha.

Semestinya. Sebelum kita sampai ke penghujung wawancara, beritahu kami yang mana satu karya seni jalanan tempatan kegemaran anda.  

Shen: Terdapat begitu banyak karya seni jalanan tempatan yang saya banggakan dan kagumi tetapi saya satu karya yang selalu terlintas di fikiran saya adalah potret Almarhum Yasmin Ahmad karya JENG (Champ Teh, RIP) di sepanjang tembok tebing Sungai Klang.

Indah. Dan itulah penutup wawancara. Tuan-tuan dan puan-puan, inilah Schizzow.

Semua gambar ihsan Koh Yung Shen.

Teks olahan Mursh Mat Som

Lihat koleksi terbaru LANSI di The Swagger Salon, atau singgah kedai utama LANSI di Georgetown, Pulau Pinang selepas PKP berakhir.

Swagger Salon Georgetown terletak di 37, Jalan Gurdwara, 10300 Pulau Pinang.

12:00 - 20:00 pada hari Selasa hingga Jumaat

12:00 - 21:00 pada hari Sabtu dan Ahad

Tutup pada hari Isnin.

Isu Pada

Inkarnasi Joe Flizzow

10 Jul 2021

Berita Berkaitan

1

Politik 8 bulan yang lalu

Politik Negara Stabil, Berjaya Tarik Pelabur Asing - PM

2

Jelajah 9 bulan yang lalu

Galeri Haji Pulau Pinang Diiktiraf MBOR Sebagai Galeri Haji Pertama Malaysia

3

Budaya 9 bulan yang lalu

Rumah 'Diconteng' Bekas Kartunis Jadi Galeri

4

Filem & TV 9 bulan yang lalu

Polis Evo 3 Diabadikan Di Mural Gergasi

Sorotan

1

Pemain Badminton Negara Pamer Kekuatan Mental Menjelang Piasa Thomas, Uber

2

Pelajar Sekolah Meninggal Dunia Ketika Acara Larian Rentas Desa

3

Lelaki Israel Miliki Senjata: 10 Individu Ditahan Bawah SOSMA

4

PM, Kerajaan Enggan Terlibat Keputusan Lembaga Pengampunan Berhubung Kes Najib

5

AS Guna Veto Halang Usul Iktiraf Keahlian Palestin Dalam PBB

6

Jangan Abai Peruntukan Untuk Pembangunan Sukan - Hannah