Berita Terkini

3 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 4 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Wanita, Buatlah Ujian Saringan Kesihatan, Jangan Takut

Setiap dekad membawa cabaran kesihatan baharu dan pemeriksaan kesihatan secara tetap boleh membantu mengesan masalah lebih awal

TARA Dikemaskini 4 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 02 Dec 2023 3:24PM

Amalkan gaya hidup sihat untuk kesejahteraan tubuh badan

oleh

Rahayu MN

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Cuba soal diri sendiri. Sudah berapa kali anda melakukan pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh sepanjang hidup anda? Satu, dua, tiga atau tidak pernah? Jika anda di antara mereka yang melakukan pemeriksaan secara berkala, syabas diucapkan kepada anda. Ini kerana anda percaya dengan perumpamaan, mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.

Bagi yang masih ‘degil’, kupasan daripada Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi di IMU Healthcare, Dr Muralitharan Ganesalingam ini boleh meningkatkan kesedaran untuk anda segera menitik beratkan pemeriksaan kesihatan secara berkala. Ikuti soal jawab berikut untuk pemahaman yang lebih jelas.

Saya sihat-sihat sahaja; kenapa perlu buat pemeriksaan kesihatan?

“Matlamat ujian saringan adalah untuk mengesan perubahan dalam badan sebelum ia menjadi tidak terurus. Dengan cara ini, anda berpeluang mengubah suai gaya hidup dan mengelak penyakit tertentu,” jelas Dr Murali.

Dr Muralitharan Ganesalingam
Dr Muralitharan Ganesalingam

Secara ringkasnya, ini bermakna anda perlu menjalani pemeriksaan kesihatan semasa anda sihat!

Jadi, bila saya perlu mula menjalani pemeriksaan kesihatan?

Badan kita melalui proses penuaan semula jadi, dan matlamatnya adalah untuk menua secara sihat. Secara amnya, wanita berumur antara 19-24 tahun dianggap berada di kemuncak kesihatan. Selepas itu, bermula usia 25 tahun, lemak mula terkumpul terutamanya di pinggul, paha dan perut. 

Jisim otot pun semakin merosot. Dari umur 35 tahun, jisim tulang berkurangan pada kadar 0.5-1 peratus setahun. Semua itu adalah perubahan semula jadi walaupun setiap orang ada perbezaannya. 

Dr Murali menasihati supaya pemeriksaan tahunan dilakukan sejurus mencapai usia dewasa, contohnya apabila anda mula bekerja, dan dua kali setahun selepas berumur 45 tahun.

Ada begitu banyak jenis ujian! Ujian saringan yang manakah harus saya utamakan?

Statistik penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi telah meningkat saban tahun. Oleh itu, Dr. Murali mencadangkan agar pemeriksaan kesihatan tahunan untuk semua orang dewasa yang sihat harus bermula dengan:

Tekanan darah untuk memeriksa hipertensi. Penyakit yang dikenali sebagai pembunuh senyap ini berkembang tanpa gejala yang ketara dan menjejaskan tiga daripada 10 rakyat Malaysia, iaitu kira-kira 6.4 juta orang serta meningkatkan risiko strok dan serangan jantung.

Kiraan darah untuk mengesan penyakit seperti anemia. Secara purata, anemia menjejaskan tiga daripada 10 orang wanita berumur 15-49 tahun dan boleh menyebabkan komplikasi semasa hamil seperti keguguran dan kelahiran pramatang.

Ujian glukosa darah untuk memeriksa diabetes. Kira-kira satu daripada lima orang dewasa menghidap diabetes, bersamaan dengan 3.9 juta orang dewasa.

Indeks Jisim Badan (BMI) untuk memantau kenaikan berat badan dan membantu mencegah obesiti. Statistik kebangsaan menunjukkan bahawa satu daripada dua orang dewasa mempunyai berat badan berlebihan atau obes, manakala seorang daripada dua orang mempunyai obesiti perut, di mana wanita masing-masing menyumbang 54.7 dan 64.8 peratus.

Ujian lipid untuk memeriksa peningkatan paras kolesterol yang boleh menyebabkan penyakit jantung. Sekitar empat daripada 10 rakyat Malaysia, iaitu kira-kira lapan juta orang mengalami tahap kolesterol yang tinggi. Wanita lebih berkemungkinan mempunyai tahap lebih tinggi berbanding lelaki. Walaupun begitu, seorang daripada empat orang tidak menyedari yang mereka mempunyai kolesterol tinggi.

Fungsi buah pinggang dan profil hati kerana penyakit buah pinggang kronik menjejaskan seorang daripada tujuh orang rakyat Malaysia, dan diabetes merupakan faktor risiko yang ketara.

Apabila usia anda meningkat, Dr Murali turut mengesyorkan pemeriksaan mata tahunan, ujian pendengaran dan pemeriksaan pergigian. 

Apa pula ujian yang khusus untuk wanita?

Beberapa ujian saringan amat penting untuk wanita, iaitu pap smear untuk memeriksa kanser serviks, pemeriksaan payudara untuk mengesan kanser payudara dan imbasan kepadatan mineral tulang untuk mengesan osteoporosis.

Pemakanan yang sihat boleh membantu mencegah penyakit
Pemakanan yang sihat boleh membantu mencegah penyakit

Kanser Serviks

“Salah satu penyakit khusus apabila wanita semakin meningkat ialah kanser serviks. Berdasarkan sejarah, kanser serviks pernah menjadi salah satu kanser yang dominan di kalangan wanita, dengan 500,000 kes baharu setahun di seluruh dunia dan 250,000 kematian. 

Disebabkan kita mempunyai program saringan yang cekap melalui penggunaan pap smear, kita berupaya mengurangkan kes kanser serviks dengan banyak sekali. Ia adalah kemajuan paling ketara dalam kawalan kanser. Justeru, pemeriksaan tahunan untuk kanser serviks adalah sesuatu yang sangat saya galakkan,” ujar Dr Murali.

Ujian pap smear melibatkan pengambilan sedikit sampel tisu dari serviks, yang akan diperiksa untuk keganjilan atau perubahan yang boleh menjadi tanda kanser serviks. Bagaimanapun, di sebalik keberkesanannya sebagai ujian saringan, satu kajian baru-baru ini mendapati hanya 45% wanita Malaysia pernah menjalani ujian tersebut, katanya.

Kanser Payudara 

Kanser payudara kekal sebagai kanser yang paling biasa dihidapi wanita Malaysia. Mengikut anggaran baru-baru ini, seorang daripada 20 orang wanita akan menghidapnya dan sekurang-kurangnya sembilan individu mati akibat kanser payudara setiap hari. 

Walaupun statistiknya begitu, hanya seorang daripada dua orang wanita berumur 18 tahun ke atas yang melakukan pemeriksaan payudara sendiri dan hanya seorang daripada empat wanita berusia 40 tahun ke atas yang pernah menjalani ujian mamogram. 

“Memandangkan kanser payudara boleh dirawat apabila dikesan pada peringkat awal, adalah penting bagi semua wanita berdisiplin melakukan pemeriksaan kendiri payudara dan pemeriksaan tahunan oleh doktor yang akan menasihati jika ujian mamogram diperlukan,” ujar Dr Murali.

Osteoporosis

Akhir sekali, apabila ketumpatan mineral tulang berkurangan seiring usia dan risiko patah tulang meningkat, wanita yang sudah menopaus berusia 50 tahun ke atas harus disaring. Dalam kalangan warga emas berumur 65 tahun ke atas, saringan hendaklah dilakukan sekurang-kurangnya sekali setahun, mengikut garis panduan Malaysia.

Apa yang doktor maksudkan apabila mereka menyebut ‘berisiko tinggi’?

Jelas Dr Murali, terdapat perkara tertentu seperti sejarah keluarga dan faktor gaya hidup yang meningkatkan risiko anda mengalami masalah kesihatan tertentu. 

Faktor yang mungkin memerlukan pemeriksaan lebih kerap ialah peningkatan usia, sejarah keluarga, tahap tekanan yang tinggi dan tabiat gaya hidup seperti merokok, pengambilan alkohol dan mempunyai ramai pasangan seksual. 

Beliau juga mengingatkan bahawa kesan tabiat gaya hidup hanya dapat dilihat di usia tua dan tekanan kronik yang dihadapi sama ada dari pekerjaan, keluarga atau situasi kewangan, adalah ancaman besar kepada kesihatan. - Getaran, 2 Disember 2023

Foto :  IMU Healthcare & Unsplash

Isu Pada

Pesona Nana Mahazan 2 Disember

02 Dec 2023

Berita Berkaitan

1

Refleksi 1 bulan yang lalu

Jangan Tolak Rawatan Gigi Meskipun Berpuasa

2

TARA 3 bulan yang lalu

Di Mana Mahu Dapatkan Pakaian Untuk Percutian Musim Sejuk? 

3

TARA 3 bulan yang lalu

5 Berita Hiburan Paling Panas Dan Jadi Bualan Netizen Sepanjang 2023

4

TARA 3 bulan yang lalu

5 Filem, Siri Menarik Di Netflix Untuk Tontonan Cuti Tahun Baharu

Sorotan

1

Kerajaan Tidak Bercadang Gantung Sementara Perkhidmatan Helikopter Jenis Fennec, HOM

2

Tiada Tepung Di Pasaran Tempatan Mengandungi Benzoil Peroksida Melebihi Kadar Dibenarkan - KKM

3

Proses Penamaan Calon PRK KKB Lancar - Polis Selangor

4

Dakwa Kerajaan Ambil Tindakan Terhadap Kritikan, Syed Saddiq Diminta Tidak Hipokrit - Fahmi

5

Najib Diberi Peluang Jelaskan Mengenai Dokumen 1MDB Ketika Disoal Siasat - Pegawai SPRM

6

Elak Ketirisan, Perkukuh Tatakelola, Boleh Beri Upah Lumayan Kepada Pekerja - PM