Berita Terkini

4 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 5 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


5 Hotel Pilihan Untuk Introvert, Tak Perlu Bersemuka Dengan Petugas Hotel

Hotel yang menawarkan pengalaman daftar masuk sendiri ini lebih bebas dan peribadi, kerana ia membolehkan tetamu mendaftar masuk tanpa perlu berinteraksi dengan petugas hotel

TARA Dikemaskini 8 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 27 Aug 2023 1:07PM

Hotel daftar masuk sendiri (self check-in) adalah pilihan yang tepat untuk introvert

oleh

Rahayu MN

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Sejumlah 25 hingga 40 peratus daripada populasi dunia mempunyai ciri-ciri introvert dan jumlah ini bukanlah sedikit. Sebab itulah di mana-mana sahaja anda boleh berjumpa dengan si introvert. Mereka tidak gemar bersesak-sesak dalam sesuatu acara dan lebih suka menyendiri. Sebab itulah, mereka yang gemar mengembara secara solo adalah mereka yang introvert.

Mereka yang gemar mengembara secara solo adalah golongan introvert.
Mereka yang gemar mengembara secara solo adalah golongan introvert.

Bagaimana pula dengan anda? Jika anda adalah pengembara introvert, dan suka bercuti atau staycation di hotel, hotel daftar masuk sendiri (self check-in) adalah pilihan yang tepat untuk anda. 

Hotel yang menawarkan pengalaman daftar masuk sendiri ini lebih bebas dan peribadi, kerana ia membolehkan tetamu mendaftar masuk tanpa perlu berinteraksi dengan petugas hotel. Begitu juga dengan urusan daftar keluar. 

Kaunter layan diri atau kiosk yang tersedia merupakan sebuah terminal elektronik yang serba lengkap. Biasanya premis ini dilengkapi dengan skrin sentuh bagi membolehkan pengguna melakukan operasi rutin tanpa sebarang bantuan daripada kakitangan. 

Ciri yang boleh diakses ini bukan sahaja membolehkan tetamu memilih dan mendaftar masuk ke bilik tetapi tetamu juga boleh menaik taraf bilik dan juga menempah meja di restoran hotel. 

Proses daftar masuk juga selalunya lebih menjimatkan masa. Ini bermakna anda boleh cepat-cepat masuk ke bilik untuk merehatkan diri. Berikut adalah senarai hotel di Malaysia yang sesuai untuk introvert. 

1. STEG Hotel Kuala Lumpur

Foto : STEG Hotel Kuala Lumpur

STEG Hotel Kuala Lumpur menawarkan bilik-bilik yang mempunyai dekorasi moden, ceria dan minimalis. Sama ada anda menginap untuk tujuan bercuti atau urusan perniagaan, STEG Kuala Lumpur menjanjikan pengalaman yang menggembirakan. 

Menggabungkan reka bentuk kontemporari dan warisan sejarah, hotel ini menyerlahkan tarikan vintaj atau pesona moden untuk dihayati oleh setiap tetamu yang datang menginap.

Biarpun menawarkan kemudahan untuk daftar masuk dan keluar sendiri, kakitangan di sini sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan sekiranya anda memerlukan pertolongan. STEG Kuala Lumpur komited sepenuhnya untuk memberikan anda pengalaman yang tidak dapat dilupakan dan menggembirakan. 

2. Sunway Hotel George Town 

Foto : Booking.com

Sunway Hotel George Town mengalu-alukan tetamu dengan kiosk daftar masuk sendiri semenjak tahun 2021 lagi. Kiosk ini membolehkan urusan daftar masuk secara pantas tanpa perlu beratur di kaunter penerimaan tetamu.

Lebih memudahkan, kiosk itu juga menyokong sistem e-pembayaran, sejajar dengan visi kumpulan hospitaliti ini untuk bergerak ke arah menjadi penyedia hospitaliti yang disokong teknologi.

Sunway Hotel George Town ialah pilihan yang tepat untuk pengembara yang ingin melawat bandar George Town memandangkan kedudukan yang terletak di pusat bandar. Ruangan lobi yang besar dan mewah membuatkan anda kagum sebaik sahaja melangkah masuk ke hotel ini.

Menjengah ke dalam bilik, hati lebih riang kerana ia dilengkapi dengan pelbagai kemudahan yang cukup selesa. Bahagian yang terbaik ialah, apabila tiba masanya untuk meninggalkan hotel, anda juga tidak perlu pergi ke kaunter kerana urusan daftar keluar juga boleh dilakukan sendiri. Bolehlah nikmati percutian sebagaimana yang anda idamkan. 

3. Citizen M Hotel, Kuala Lumpur

Foto : Citizen M Hotel, Kuala Lumpur

Hotel Citizen M di Bukit Bintang adalah mengenai penggunaan teknologi baharu untuk menjadikan penginapan anda berbeza daripada hotel lain. Terletak di tengah-tengah Bukit Bintang, hotel ini sangat mudah diakses dengan mana-mana mod pengangkutan. 

Percayalah, sebaik sahaja anda melangkah masuk ke hotel dan mula menggunakan kemudahan yang tersedia, anda akan terpesona dengan cara mereka memanfaatkan penggunaan teknologi. Anda boleh mengawal hampir semua perkara menggunakan ‘ethernet-APL mereka. 

Ruangan daftar masuk di CitizenM Hotel
Ruangan daftar masuk di CitizenM Hotel

Daripada urusan mendaftar masuk hinggalah masuk ke dalam bilik, hanya imbas kod bar yang perolehi selepas memuat turun APL.

Antara tawaran yang boleh anda rebut di Citizen M Hotel Kuala Lumpur ialah, diskaun sehingga 20% untuk penginapan lebih tujuh malam, dengan syarat anda mendaftar sebagai ahli mycitizenM+. Jika tidak, hanya layak mendapat potongan harga sebanyak 15%. 

4. Genting Skyworlds Hotel, Genting Highland

Foto : Resort World Genting

Terletak di puncak keriangan dan bersebelah dengan taman tema Skyworlds Genting, hotel ini adalah edisi terbaharu yang mesti anda cuba jika ke Genting Highland. 

Genting Skyworlds Hotel mengagumkan dengan kemudahan daftar masuk sendiri yang terkini dan mesra pengguna. Apabila anda tiba, anda akan teruja apabila menemui kiosk daftar masuk sendiri yang terletak di kawasan kaunter hotel. 

Proses yang mudah dan lancar ini membolehkan anda mendaftar masuk dengan cepat tanpa gelisah. Jika masa menunggu dirasakan terlalu lama, petugas hotel akan segera membantu untuk mempercepatkan proses. 

Sebagai sebahagian daripada taman tema Genting Skyworlds, Genting Skyworlds Hotel menjanjikan penginapan yang mengasyikkan di mana keajaiban taman itu turut tersebar ke hotel. Dari saat anda melangkah masuk, anda akan disambut dengan suasana riang mempesona yang melengkapkan pengalaman mendebarkan di taman tema.

5. Komune Living & Wellness, Kuala Lumpur

Foto : Booking.com

Hotel ini pernah mencuri perhatian pengguna TikTok tidak lama dahulu kerana menawarkan penginapan selesa pada harga yang tidak membebankan. Konsep yang ditampilkan cukup unik kerana ia menggabungkan penginapan yang selesa dengan memberi tumpuan kepada kesejahteraan dan komuniti.

Proses daftar masuk juga sangat mudah kerana tetamu hanya perlu buat sendiri semasa ketibaan. Kemudahan ini memastikan masa tidak terbuang begitu sahaja. Jadi boleh manfaat masa yang ada dengan merebahkan diri di atas katil. 

Bilik-bilik di sini direka dengan teliti dengan mengutamakan keselesaan dan menampilkan hiasan kontemporari. Sesuai dengan namanya, jangan lupa gunakan pelbagai kemudahan kesihatan yang tersedia. Sambil bercuti, cubalah mensejahterakan tubuh badan. 

Komune Living & Wellness mempunyai akses mudah ke pelbagai tarikan di Kuala Lumpur. Tepuk dada, tanya selera. Mahu ke sana-sini, atau cukup dengan bersantai di bilik. - Getaran, 27 Ogos 2023

Isu Pada

Gemilang Putrajaya

26 Aug 2023

Berita Berkaitan

1

Semasa 2 bulan yang lalu

Op Noda: 263 Individu Ditahan Di Ibu Kota

2

TARA 3 bulan yang lalu

Di Mana Mahu Dapatkan Pakaian Untuk Percutian Musim Sejuk? 

3

TARA 3 bulan yang lalu

5 Berita Hiburan Paling Panas Dan Jadi Bualan Netizen Sepanjang 2023

4

TARA 3 bulan yang lalu

5 Filem, Siri Menarik Di Netflix Untuk Tontonan Cuti Tahun Baharu

Sorotan

1

Akta Keselamatan Kesihatan Pekerja (Pindaan) 2022 Berkuat Kuasa 1 Jun

2

Pakar Ekonomi Sabut Baik Penubuhan Akaun Ketiga KWSP

3

Kempen PRK KKB: Semua Pihak Diingatkan Tidak Sentuh Isu 3R - Fahmi

4

Genting Malaysia Nafi Babit Bincang Mengenai Kasino Di Forest City

5

Akta Laut Wilayah Masih Sah, Terpakai Termasuk Di Terengganu - PMO

6

PM Akan Hadir Forum Ekonomi Dunia Di Riyadh Dalam Lawatan Kerja