Berita Terkini

2 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 1 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Ovulasi Dan Keturunan – Dua Faktor Yang Jadi Penyebab Utama Risiko Kanser Ovari 

Risiko ini lebih tinggi dalam kalangan mereka yang datang haid pada awal usia, menopaus di lewat usia, bersalin pada usia lebih dari 35 tahun, pengambilan androgen atau ubat fertiliti serta obes dengan BMI sekurang-kurangnya 30 kg/m2. 

TARA Dikemaskini 10 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 20 May 2023 12:00PM

Kanser ovari biasanya tidak mempunyai sebarang gejala yang spesifik pada peringkat awal. - Gambar hiasan

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Pada tahun 2018, seorang wanita di Connecticut, Amerika Syarikat, dibedah untuk mengeluarkan ketumbuhan seberat 60 kg dari ovarinya! Sebelum pembedahan, simptomnya cuma peningkatan berat badan yang mendadak. 

Walaupun ketumbuhan sangat besar, pesakit tidak langsung menyedari ada sesuatu yang asing sedang tumbuh di dalam badannya. Syukur, ketumbuhan itu bukan kanser dan pesakit pulih sepenuhnya.

Kanser ovari digelar silent killer iaitu kanser yang membunuh secara senyap-senyap. - Gambar hiasan
Kanser ovari digelar silent killer iaitu kanser yang membunuh secara senyap-senyap. - Gambar hiasan

Bagaimana jika ketumbuhan itu kanser?

Ovari ialah organ reproduktif wanita yang menghasilkan telur serta hormon wanita iaitu estrogen dan progtesterone. Kanser ovari adalah kanser yang terhasil dari sel-sel tidak normal yang tumbuh dalam ovari. Ketumbuhan kanser ovari mungkin tidak seberat 60 kg tetapi ia juga membesar di dalam badan secara perlahan-lahan, kadang-kadang mengambil masa bertahun-tahun. 

Kanser ovari biasanya tidak mempunyai sebarang gejala yang spesifik pada peringkat awal. Selalunya simptom kanser ovari ini timbul di peringkat akhir. Disebabkan itu, kanser ovari digelar silent killer iaitu kanser yang membunuh secara senyap-senyap. 

Kanser ovari juga lambat dapat dikesan kerana kedudukan organ itu yang letaknya jauh di dalam pelvis berbanding pangkal rahim (serviks) dan juga endometrium (dinding rahim).

Umumnya, ketumbuhan dalam ovari bukanlah kanser terutama di kalangan wanita dalam usia reproduktif. Untuk kanser ovari pula, kebanyakannya merupakan kanser yang timbul daripada permukaan ovari (epithelial cancer) dan sebahagian kecil berasal daripada sel-sel benih telur (germ cell cancer) yang lebih banyak berlaku di kalangan mereka yang berusia 30 tahun ke bawah.

Faktor yang menentukan risiko

Punca sebenar kanser ovari masih belum diketahui, tetapi ada beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko seseorang itu mendapat kanser ini.

Risiko kanser ovari terbahagi kepada dua faktor utama iaitu ovulasi dan keturunan. Risiko ini lebih tinggi di kalangan mereka yang datang haid pada awal usia, menopaus di lewat usia, bersalin pada usia lebih dari 35 tahun, pengambilan androgen atau ubat fertiliti serta obes dengan BMI sekurang-kurangnya 30 kg/m2. 

Risiko kanser ovari juga tinggi di kalangan wanita menopaus yang menggunakan monoterapi estrogen selama lebih lima hingga 10 tahun.

Wanita yang mengandung, bersalin buat kali pertama dan menyusu badan pada usia tidak melebihi 25 tahun serta wanita yang mengambil pil cegah hamil sekurang-kurangnya selama lima tahun mempunyai risiko kanser ovari yang rendah iaitu sebanyak 30 hingga 60 peratus kurang dari mereka yang berisiko tinggi. 

Kaitan dengan kanser lain

Sebanyak 15 peratus dari kes kanser ovari adalah disebabkan faktor genetik. Jika ahli keluarga yang rapat seperti ibu, adik-beradik atau anak mendapat kanser ovari sebelum usia 50, risiko untuk mendapat kanser yang sama bertambah sebanyak enam hingga 10 kali ganda. 

Mereka yang ada ahli keluarga yang mengidap kanser usus juga mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat kanser ovari. Kaitan kekeluargaan ini disebabkan mutasi genetic seperti BRCA1, BRCA 2 dan yang berkaitan dengan Lynch syndrome. Semakin berumur, semakin tinggi risiko kanser ovari terutamanya apabila mencapai usia 80 ke atas. Risiko juga meningkat sekiranya ada kes kanser payudara dalam keluarga. 

Seperti juga kanser yang lain, kanser ovari tidak semestinya menunjukkan sebarang gejala di peringkat awal. - Gambar hiasan pexels
Seperti juga kanser yang lain, kanser ovari tidak semestinya menunjukkan sebarang gejala di peringkat awal. - Gambar hiasan pexels

Prihatin kunci pencegahan 

Tiada jaminan bahawa seseorang wanita itu tidak akan mendapat kanser ovari. Walau bagaimanapun, risikonya boleh dikurangkan dengan mengawasi tanda-tanda kanser. 

Sekiranya ramai ahli keluarga yang mendapat kanser, anda disyorkan untuk mendapatkan kaunseling genetik. Kekalkan berat badan, amalkan pemakanan dan gayahidup yang sihat untuk merendahkan lagi risiko kanser ovari. 

Seperti juga kanser yang lain, kanser ovari tidak semestinya menunjukkan sebarang gejala di peringkat awal. Di peringkat akhir, simptom yang nyata ialah rasa kembung atau tertekan di bahagian abdomen, rasa sakit di bahagian abdomen atau pelvis, cepat berasa kenyang, penambahan atau pengurangan berat badan yang mendadak dan pendarahan faraj yang tidak normal. 

Prosedur untuk diagnosis

Diagnosis kanser ovari biasanya didapati pada peringkat akhir kanser. Walaupun begitu, simptom adalah sangat umum dan kabur. Untuk mendapatkan diagnosis yang lebih tepat, berikut adalah prosedur yang biasa dilakukan: 

Ujian pelvis 

Ini ialah ujian pertama yang akan dijalankan ke atas pesakit apabila disyaki ada kanser ovari.  Secara klinikal melalui pemeriksaan pesakit, doktor akan menjumpai ketumbuhan yang keras di dalam pelvis atau kadang-kadang ketumbuhan berupa sista (cyst) air atau campuran cecair dan ketumbuhan yang keras.

Imbasan Bunyi (Ultrasound)

Penggunaan gelombang bunyi untuk menghasilkan imej organ dalaman termasuk ovari, uterus dan serviks.  Saiz ketumbuhan ciri-ciri tertentu dapat membantu doktor untuk mengenalpasti sama ada ketumbuhan itu normal atau tidak.

Ujian darah

Ujian tumor antigen CA 125 boleh dijalankan. Ianya merupakan sejenis protin yang dihasilkan oleh kanser ovari. Malangnya protein CA 125 ini juga dihasilkan juga oleh keadaan lain seperti endometriosis, fibroid serta keadaan radang pada dinding peritoneum. Bezanya adalah pada keadaan kanser ovari bacaannya selalu sangat tinggi kadang-kadang menghampiri atau jauh melebihi 1000 iu.

Pembedahan

Ini merupakan kaedah yang paling tepat untuk membuat diagnosis kanser ovari. Ianya hanya akan dilakukan setelah ujian-ujian di atas dilakukan dan pesakit sudah dipastikan dalam keadaan optimum untuk menjalani pembedahan. Tahap penyakit (staging) akan dibuat semasa pembedahan serta ketumbuhan akan dibuang sebanyak yang mungkin. Ketentuan tahap penyakit (staging) adalah berlandaskan The International Federation of Gynaecology and Obstetrics (FIGO).

CT Scan - Gambar hiasan pexels
CT Scan - Gambar hiasan pexels

Imbasan Tomografi Berkomputer (CT scan)

Ia membantu mengesan kanser di ovari, tiub fallopian dan peritoneum.

Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI)

Ia mengesan ketumbuhan atau ketumbuhan yang tumbuh semula di bahagian badan yang lain. 

Imbasan Tomografi Pancaran Positron (PET scan)

Ini adalah ujian imbasan untuk memeriksa aktiviti tisu dan organ. Imbasan ini menggunakan ubat radioaktif untuk memaparkan keadaan organ sama ada berfungsi dengan baik atau tidak.   Kadangkala, imbasan ini boleh mengesan penyakit sebelum ianya kelihatan pada ujian imbasan yang lain. 

Melawan kanser ovari

Ketiadaan simptom di peringkat awal kanser ovari menjadi cabaran terbesar dalam sebarang rawatan kanser.  Kebanyakan kes dikesan apabila sudah di peringkat akhir. Di peringkat ini, langkah perubatan yang biasa diambil ialah pembedahan.  

Pembedahan ‘debulking’

Ini ialah langkah bedah dan dedah serta membuang ketumbuhan kanser yang kelihatan. Pembedahan adalah langkah yang pertama dan paling penting untuk memastikan (confirm) ianya diagnosis, mengetahui tahap penyakit (staging) serta membuang sebanyak mungkin ketumbuhan yang nampak dengan nyata.

Rawatan kemoterapi untuk pesakit kanser. - Gambar hiasan pexels
Rawatan kemoterapi untuk pesakit kanser. - Gambar hiasan pexels

Kemoterapi

Gabungan ubat-ubatan yang kuat dengan dos yang tinggi untuk mematikan sel-sel kanser. Pada masa yang sama, mengurangkan kerosakan kepada bahagian tubuh yang lain. 

Radioterapi

Sinaran radiasi bertenaga tinggi untuk membunuh sel kanser. 

Terapi bersasar

Untuk menghalang enzim poly ADP-ribose polymerase (PARP) dari mengesan DNA yang rosak yang terkandung dalam sel kanser. Perencat PARP ini boleh menghalang sel kanser dari pembaikpulihan.

Ringkasan

Untuk mengurangkan risiko diri dari mendapat kanser ovari, pastikan anda menjaga kesihatan dengan teliti dari segi berat badan, aktiviti seharian serta tabiat pemakanan. Banyakkan memakan sayur serta buah-buahan. Prihatin dengan kesihatan diri sendiri, sejarah kesihatan keluarga serta faktor-faktor yang mempengaruhi risiko kanser. - Getaran, 20 Mei 2023 

(Dr. Khairiah Seman adalah  Pakar Obstetrik & Ginekologi, Columbia Asia Hospital – Klang)

Isu Pada

Aishwarya Rai - Aura Nandini dan ‘Women Empowerment’

20 May 2023

Berita Berkaitan

1

TARA 1 tahun yang lalu

Jangan Keliru Dengan Simptom Kanser Ovari 

2

TARA 1 tahun yang lalu

Adibah Noor - Perginya Seorang Penghibur Yang Terlalu Istimewa

3

Selebriti 1 tahun yang lalu

Jenazah Adibah Noor Selamat Dikebumi

4

TARA 1 tahun yang lalu

5 Faktor Yang Tingkatkan Risiko Diabetes

Sorotan

1

Pemain Badminton Negara Pamer Kekuatan Mental Menjelang Piasa Thomas, Uber

2

Pelajar Sekolah Meninggal Dunia Ketika Acara Larian Rentas Desa

3

Lelaki Israel Miliki Senjata: 10 Individu Ditahan Bawah SOSMA

4

PM, Kerajaan Enggan Terlibat Keputusan Lembaga Pengampunan Berhubung Kes Najib

5

AS Guna Veto Halang Usul Iktiraf Keahlian Palestin Dalam PBB

6

Jangan Abai Peruntukan Untuk Pembangunan Sukan - Hannah