Berita Terkini

2 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 3 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Adibah Noor - Perginya Seorang Penghibur Yang Terlalu Istimewa

Perginya minggu lalu tanpa diduga. Baca temu bual Getaran bersama Azlan Abu Hassan, Rashid Sibir, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Linda Onn dan ramai lagi dalam naskhah khas buat insan yang ‘Terlalu Istimewa’ ini.

TARA Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 25 Jun 2022 9:42AM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

“Kau terlalu istimewa, kasih dan sayangmu terpancar seikhlas tiada batasan terus membara, terkilan rasa jiwa, inginku lihatmu dewasa apa daya tuhan lebih menyayangimu…”

Bait-bait lirik lagu 'Terlalu Istimewa' yang ditulis dan dinyanyikan Adibah Noor ini cukup indah dan dekat di hati kita semua.

Apa yang menyedihkan, seperti mana terdapat di dalam sebahagian bait lagu itu,  penghibur sejati ini telah pergi meninggalkan kita semua pada 18 Jun lalu akibat menderita sakit kanser ovari tahap empat.

Masih jelas di ingatan saya pada malam 18 Jun itu, terbaca sebuah hantaran yang dimuat naik Datin Emylia Rosnaida di laman Facebook.

Saya benar-benar terkejut! Lantas saya menghantar mesej kepada teman-teman media untuk mendapatkan pengesahan kerana bimbang kalau-kalau berita itu tidak benar.

Ya, benarlah Adibah Noor telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada hari itu. Saya terus sugul menerima pengesahan berita ini.

Seminggu sebelum beliau meninggal, berita mengenai keadaan tubuh arwah yang dilihat semakin kurus menghiasi laman-laman portal berita hiburan.

Pelbagai spekulasi yang timbul ketika itu, sehingga ada yang mengaitkan perubahan fizikal arwah disebabkan menjalani pembedahan memotong usus.

Siapa sangka, ada kisah duka di sebalik susuk tubuhnya yang semakin susut, namun bibirnya masih mampu menguntum senyuman.

Selama bernafas di muka bumi sehingga usia 52 tahun, banyak jasa yang ditabur Adibah kepada industri hiburan negara. Arwah adalah ikon selebriti serba boleh yang sukar dicari dan tiada galang gantinya. 

Mula menceburkan diri dalam industri seni dengan bidang nyanyian, Allahyarham Adibah yang merupakan bekas guru Bahasa Inggeris pernah memenangi pertandingan nyanyian Suara 90-an Nescafe pada tahun 1994.

Namun pada tahun 2006, barulah arwah berhasil mengeluarkan album solonya yang berjudul Terlalu Istimewa. Kemunculannya menerusi lagu itu sekali gus berjaya meletakkan nama Adibah Noor sebaris dengan penyanyi wanita lain yang memiliki vokal hebat di Malaysia.

Lagu ciptaan Azlan Abu Hassan dan lirik hasil tulisannya sendiri itu telah berjaya meraih gelaran Juara Lagu di Anugerah Juara Lagu 2006 dan arwah turut memenangi kategori Vokal Terbaik ketika itu.

“Lagu itu dihasilkan selepas perjumpaan kami pertama kali di acara ‘post-party’ Anugerah Industri Muzik (AIM).

“Adibah inginkan sebuah lagu untuk meluahkan perasaan beliau berkenaan kes tragis arwah adik Nurul Huda. Jadi saya menulis sebuah demo dalam bentuk melodi dan beliau menulis lirik untuk menyampaikan mesej,” kata Azlan Abu Hassan.

Menurut Azlan lagi, Adibah merupakan seorang insan yang sangat baik hati dan merendah diri serta mereka sangat serasi bila bekerjasama menghasilkan lagu. 

Ditanya apakah pengalaman yang paling tidak dapat dilupakan bersama arwah, kata Azlan ia adalah sewaktu rakaman terakhir mereka pada tahun 2014.

“Pada tahun 2014, Adibah ada merakam lagu bersama Anuar Zain berjudul ‘Andai Ada Ruang’. 

“Lagu itu itu masih belum diterbitkan lagi tapi sesi rakaman itu meninggalkan kenangan istimewa untuk saya. 

“Bila saya tahu arwah meninggal dunia Sabtu lalu, hati saya menjadi hancur terutamanya bila dapat tahu arwah menderita sakit kanser selama beberapa bulan. Perkara ini dirahsiakan arwah. 

“Kita telah kehilangan permata yang sangat bernilai di dalam industri hiburan ini. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh arwah dan mengampuni segala dosa-dosanya,” katanya. 

Wajah Adibah juga sering menghiasi kaca televisyen satu ketika dahulu menerusi iklan-iklan mencuit hati yang kebanyakannya disiarkan di TV3. Dari situlah nama Adibah kembali menjadi bualan ramai sebelum beliau menghasilkan album Terlalu Istimewa.

Tidak hanya hebat di arena seni suara, bakat besar Adibah turut diterima baik di layar lebar.

Wajah Adibah sering menjadi pilihan pengarah terkenal Allahyarham Yasmin Ahmad untuk membintangi filem-filem beliau seperti Sepet, Gubra, Mukhsin, dan Talentime

Bakat lakonan semula jadi Adibah turut menjadi pilihan pengarah terkenal, Rashid SIbir untuk membintangi beberapa karya arahannya.

“Adibah seorang yang sangat berbakat besar. Lakonannya bersahaja. Beliau mampu membawa watak berat walaupun sering dilihat lebih ke arah komedi.

‘Penghayatannya sangat hebat begitu juga dengan komitmen yang diberikan. Dia memang sangat hebat!” kata Rashid Sibir yang mengarahkan Adibah dalam tiga buah telemovie terbitannya. 

Seperti teman-teman yang lain, Rashid juga tidak tahu tentang keadaan arwah yang menanggung derita melawan kanser.

“Saya sangat terkejut dengan berita kematian beliau. Saya pernah tanya dia kenapa dia kurus, tetapi jawabnya sedang diet. Beliau ada pakai rambut palsu dalam satu rancangan temu bual, saya tanya kenapa, beliau kata fesyen. 

“Sedih bila ingat pasal beliau. Beliau seorang yang sangat baik dan kelakar. Seronok bekerja dengannya. 

“Nasihat saya kepada insan seni yang sedang sakit, jangan segan untuk maklumkan kepada rakan-rakan. Sekurang-kurangnya kawan-kawan boleh tengok-tengokkan dan ambil berat,” kata Rashid lagi. 

Kepetahan Adibah berkata-kata turut membuka peluang untuknya meluaskan bakat sebagai seorang pengacara yang disegani. Ringkasan kerjayanya turut lengkap dengan pengalaman sebagai penyampai radio di stesen Suria FM. 

“Tutur katanya sangat tersusun. Bila bercakap dalam Bahasa Melayu, begitu indah bahasanya. Bila bertutur dalam bahasa Inggeris, sempurna tatabahasanya. Sedap dengar dia bercakap.

“Arwah juga merupakan seorang yang bijak. Arwah pernah bergandingan dengan Halim Othman. Saya selalu gelarkan gandingan mereka sebagai 'Intelligent Duo'.

“Arwah seorang yang suka mengajar. Mungkin lumrah sebagai seorang bekas guru, kan. Bila duduk dengan dia biarpun tengah saja-saja lepak bersama kawan-kawan, pada  masa yang sama banyak info yang kita dapat sebagai pelajaran. 

“Saya sendiri banyak bertanya tentang penggunaan bahasa Inggeris dengan dia, dari segi sebutan, tatabahasa dan sebagainya.

“Arwah sering berkongsi video-video tentang penggunaan bahasa Inggeris yang tepat di Twitter. Saya ambil dan amalkan apa yang diajar biarpun saya tidak respond secara terus dengan dia,” jelas Linda Onn.

Tambah Linda lagi, arwah merupakan seorang yang sangat pemurah dan tidak pernah berkira dengan kawan-kawan. 

“Bayangkan, kadang-kadang kita lepak ramai dan makan di tempat yang mahal, tapi dia akan bayarkan untuk semua. Kadang-kadang kami sendiri rasa macam malu sebab dia selalu belanja. 

“Tapi disebabkan sifat pemurah dia itulah yang membuatkan rezekinya sentiasa murah. Wajahnya sentiasa di mana-mana. Buka TV muka dia, papan iklan ada muka dia, pergi kedai nampak muka dia.”

Ujar Linda, antara momen indah bersama arwah ialah sewaktu mereka sama-sama berkumpul di rumahnya ketika Ramadan.

“Arwah seorang yang suka berkumpul bersama kawan-kawan. Dulu-dulu, kami selalu buka puasa bersama di rumah saya. 

“Dia datang sebelum berbuka, kemudian kami lepak berborak sehinggalah esok pagi. Kalau lepak kat luar pun, selagi kedai tak tutup selagi itulah kami akan duduk berborak. 

“Satu tentang arwah, biarpun dia seorang artis yang punya nama dalam industri, tetapi dia sentiasa membuatkan orang rasa disenangi. 

“Saya boleh hubungi dia bila-bila masa. Kalau dengan artis lain mungkin saya akan rasa segan. Itulah yang membuatkan dia terlalu istimewa di mata saya,” kata Linda lagi. 

Lama menyepi dek terkesan dengan pandemik COVID-19, nama Adibah kembali menjadi bualan hujung tahun lalu apabila telah terpilih menjadi salah seorang peserta program Gegar Vaganza musim kelapan (GV8). 

Penyertaan Adibah nyata menggembirakan hati para peminatnya yang sekian lama memendam impian untuk melihatnya beraksi di pentas besar itu. Dan itulah kali terakhir penulis berpeluang bertemu arwah untuk duduk bercerita mengenai perjalanan kariernya. 

“Sewaktu di Majlis Pelancaran Projek Lagu Raya Famili Kita, Semua rakan media bertanya kenapa Kak Dib tak datang? 

“Dengan rasa berat hati, kami terpaksa memberitahu kak Adibah tidak dapat turut serta kerana faktor kesihatan dan sampaikan salam pada semua 

“Hanya itu yang mampu kami beritahu pada rakan-rakan media yang hadir. Sedangkan kami tahu kakak sedang menjalani rawatan susulan kanser pada waktu itu. Kami terpaksa kunci mulut.

“Terima kasih kak Adibah kerana sentiasa ceriakan kami dan menjadi ‘kak long’ kami (Famili Kita), selalu menasihati, memberi kata-kata semangat dan menyemarakkan kasih sayang antara kami,” kata Ani Maiyuni yang merupakan salah seorang peserta GV8.

Hebatnya seorang Adibah Noor apabila arwah turut menjadi idola kepada penyanyi nombor satu negara iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza yang mengakui sangat merasai kehilangan arwah.

“Saya agak terkejut dengan berita pemergian arwah. Ketika itu sedang berlangsung majlis ilmu di rumah saya. Alhamdulillah kami sempat membuat bacaan doa buat arwah. 

“Tanpa kita sedari arwah berahsia dengan kita tentang penyakitnya. Rasa kehilangan sangat sebab arwah adalah antara penyanyi yang saya idolakan dari segi ilmunya. 

“Pertama kali saya tengok dia sewaktu pertandingan Suara 90-an Nescafe, saya rasa kagum sangat. Kami sama-sama pernah terlibat dengan iklan Pepsi satu ketika dahulu. 

“Kenangan saya dengan arwah mungkin tidak banyak, tetapi kehilangan beliau sangat memberi kesan di hati saya. 

“Tambahan pula saya lihat arwah sangat disayangi ramai dan arwah sangat menyayangi kucing. Saya rasa susah untuk kita dapat penyanyi yang begitu baik sepertinya. 

“Bila dia meninggal, ramai yang kongsi tentang kebaikan dia. Bila saya jumpa dia, dia seorang yang sangat merendah diri dan sentiasa menyokong, biarpun saya yang sebenarnya mengaguminya.

“Saya yang rasa segan dengan dia tetapi dia buat kita rasa selesa sangat,” kata Tok Ti. 

Sikap ramah serta profesional arwah dalam bekerja turut disenangi para petugas media selama berurusan dengan arwah. Beliau sering mengundang tawa tiap kali bersua dan sentiasa menghormati para teman media.

“Adibah Noor sangat istimewa kerana beliau sangat profesional ketika bekerja. Mudah bagi kerjasama dan selalu bagi vibes yang positif bila kita temu bual beliau.

“Beliau juga seorang yang kelakar dan suka berjenaka. Tak pernah streslah kalau bersembang dengannya. Beliau adalah seorang penghibur yang berada dalam kelas tersendiri,” kata Farihad Shalla Mahmud, wartawan dari meja hiburan akhbar Berita Harian.

Benar bak kata pepatah, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Nama Adibah Noor pastinya akan dikenang buat selamanya sebagai ikon dan penghibur yang gemilang.

Al-Fatihah. - Getaran, 24 Jun 2022

 

DI SEBALIK TABIR PEMBIKINAN WAJAH TARA – GETARAN

Wajah TARA : Allahyarham Adibah Noor

Editor Gaya Hidup & Hiburan : Shah Shamshiri

Penyelaras : Shah Shamshiri & Helmi Anuar

Teks: Helmi Anuar

Suntingan Teks : Ellyna Ali & Ili Farhana

Gambar : Ihsan Astro dan Red Communication

Rekaletak : Abdul Hanif Zahari

Isu Pada

Adibah Noor - Perginya Seorang Penghibur Yang Terlalu Istimewa

25 Jun 2022

Berita Berkaitan

1

Semasa 6 hari yang lalu

MKN, KPN Ucap Takziah Kepada Keluarga Allahyarham Tun Mohammed Hanif Omar

2

Semasa 6 hari yang lalu

Mantan Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar Meninggal Dunia

3

Semasa 1 minggu yang lalu

Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Meninggal Dunia Akibat Serangan Jantung

4

Semasa 3 minggu yang lalu

Jaafar Onn Miliki Bakat Unik, Tersendiri - PM

Sorotan

1

Anak MB Perlis, 4 Yang Lain Dilepas Dengan Jaminan SPRM

2

Pemilik Stesen Minyak Diminta Lapor KPDN Jika Diancam Sindiket

3

Najib Diberi Peluang Jelaskan Mengenai Dokumen 1MDB Ketika Disoal Siasat - Pegawai SPRM

4

Elak Ketirisan, Perkukuh Tatakelola, Boleh Beri Upah Lumayan Kepada Pekerja - PM

5

5 Laluan Ditutup Sementara Sempena Hari Penamaan Calon PRK KKB Esok

6

Misi Pelayaran Ke Gaza Ditangguhkan Berikutan Tekanan Rejim Zionis - FFC

7

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi