Mafia Mamma

Tajuknya saja sudah jelas menggambarkan ‘selling point’ filem aksi komedi lakonan Toni Collette kali ini.
Seorang ibu, penulis pertengahan usia dan isteri yang tiba-tiba mewarisi sebuah organisasi mafia di Itali, memang huru-hara!
Kristin (Colette) tidak menyangka, datuk yang tidak pernah dikenali punya perancangan besar untuknya.
Berdepan majikan yang menindas dan seksis, anaknya Domenick pula diterima melanjutkan pelajaran ke universiti dan suami yang curang memang keterlaluan untuk ditelannya sendirian.
Ini menjadikan berita kematian datuknya dan undangan menghadiri upacara pengebumiannya di Rome, Itali kedengaran seperti satu idea yang sempurna.
Digandingkan dengan Monica Belluci (Bianca) sebagai penasihat kepada mendiang datuknya, Giuseppe Balbano, Kristin mula merasa kedatangannya ke Rome adalah satu kesilapan besar.
Bagaimana mungkin Kristin dapat menyesuaikan diri sebagai seorang ‘Dona Mafia’ sekaligus mendamaikan perang perebutan kawasan antara keluarga-keluarga mafia ini? Saksikan film ini hanya di iTunes, Vudu dan Google Play. – Suzan Ahmad
Ae Dil Hai Mushkil

Filem Bollywood arahan dan terbitan Karan Johar ini menampilkan pelakon-pelakon terkenal seperti Aishwarya Rai, Ranbir Kapoor dan Anushka Sharma. Ae Dil Hai Mushkil merupakan sebuah filem cinta yang tidak kesampaian yang terjadi kepada watak utamanya iaitu Ayan lakonan Ranbir.
Ayan merupakan anak orang berada dan bercita-cita menjadi seorang penyanyi. Dia mempunyai teman wanita tetapi wanita berkenaan hanya mahukan duitnya. Pada satu hari ketika di London dia telah bertemu dengan seorang wanita India bernama Alizeh lakonan Anushka. Dia terpesona dengan Alizeh yang berpewatakan berbeza dengan teman wanitanya.
Alizeh telah dijodohkan dengan seorang doktor kacak. Namun dia tidak mencintai lelaki berkenaan kerana masih cintakan bekas teman lelakinya iaitu Ali lakonan Fawad Khan. Pada satu hari, Alizeh telah terserempak semula dengan Ali dan memilih untuk berkahwin.
Hal ini membuatkan Ayan patah hati. Ketika di lapangan terbang, Ayan telah bertemu dengan wanita jelita yang merupakan seorang penulis puisi iaitu Saba lakonan Aishwarya Rai. Mampukah Ayan melupakan Alizeh? Dapatkah Saba yang merupakan seorang janda membuat Ayan jatuh cinta kepadanya? Saksikan kesudahan filem ini hanya di Netflix. – Helmi Anuar
The Big Bang Theory

Meskipun berulang kali menonton sitcom ini, namun ia tidak membosankan malah semakin terhibur dengan telatah Sheldon Cooper lakonan Jim Parsons.
Sitcom yang mula ditayangkan pada 2007 ini berkisar kepada kehidupan Sheldon, seorang lelaki bijak, yang mempunyai IQ 187, bersama rakan-rakan 'nerd' beliau yang juga pintar.
Walaupun Sheldon bersikap pentingkan diri, terlalu menjaga kebersihan, cerewet dan angkuh serta suka mengawal kawan-kawannya namun Leonard dan isterinya Penny, Howard dan isterinya Bernadette, Raj serta isteri Sheldon iaitu Amy menyayanginya.
Siri sitkom ini mengandungi 12 musim dengan 279 episod dan penghujung sitcom itu memaparkan Sheldon serta Amy mendapat anugerah Nobel hasil kerjasama mereka menyiapkan kertas kerja mengenai 'String Theory'.
The Big Bang Theory bagaimanapun ditamatkan pada 16 Mei 2019 selepas Parsons memutuskan untuk meninggalkan siri tersebut. Siri sitkom ini boleh ditonton di Netflix - Habibah Omar
Jannah: Home at Last, a Yaqeen Series with Dr. Omar Suleiman

Setiap Ramadan, Yaqeen Institute akan menerbitkan beberapa siri khas yang berkaitan dengan bulan istimewa itu.
Tahun ini mereka telah menerbitkan siri pendek 30 episod bertajuk ‘Jannah: Home at Last, a Yaqeen Series with Dr. Omar Suleiman’. Setiap episod mempunyai durasi sepanjang 9 minit sahaja dan ditayangkan secara percuma di YouTube.
Siri ini sepatutnya memberi kita semangat untuk ‘berjuang’ bagi mendapat tempat di syurga, tempat rehat abadi kita.
Siri ini juga menjawab beberapa persoalan yang sering timbul dalam minda kita apabila kita bicarakan tentang syurga, contohnya, bagaimanakah rupa kita di syurga nanti, adakah kita akan bertemu dengan ahli keluarga kita di sana, adakah kita akan berjumpa dengan haiwan kesayangan kita, dan pelbagai lagi persoalan.
Dengan visual yang sungguh menarik, penulis rasakan siri ini patut ditonton oleh semua umat Islam, bila-bila masa sahaja. - Ili Farhana – Getaran, 13 Mei 2023