Setelah bercuti panjang menyambut lebaran di kampung halaman, kini rata-rata warga kota sudah mula kembali ke kota untuk bekerja demi kelangsungan hidup. Bagaimana dengan sambutan hari raya anda kali ini? Sudah puas menggayakan persalinan raya yang ada?
Jika belum atau ingin terus beraksi di depan kamera demi ‘suapan’ ke akaun media sosial, di sini ada cadangan 8 lokasi instagrammable yang boleh anda kunjungi di sekitar negeri Selangor. Percayalah, anda tidak akan kecewa.
Sama ada anda seorang jurugambar yang mencari lokasi penggambaran yang kreatif atau sekadar inginkan gambar-gambar menarik untuk kepuasan diri sendiri, Selangor merupakan destinasi pelancongan yang menawarkan pelbagai lokasi menarik dari kawasan pantai, landskap bandar, alam semulajadi dan pelbagai lagi latar belakang yang menakjubkan.
Jom semak lapan lokasi berikut, mana tahu ada yang sesuai dengan tema baju raya anda tahun ini!
1) Laluan Seni Pekan Lama Kuala Selangor

Laluan Seni ini terletak di Lorong Belakang Jalan Raja Jalil, Pekan Lama Kuala Selangor hingga ke turapan bersambung. Lorong yang ditambah baik ini dikenali sebagai Laluan Seni Bandar Lama Kuala Selangor yang menampilkan pelbagai lukisan mural di sepanjang laluan itu. Dengan adanya mural yang cantik, anda boleh menggayakan pakaian raya anda di sini!
2) Elmina Central Park

Elmina Central Park, destinasi ‘Instagramable’ yang popular di Shah Alam, terletak di perbandaran baharu Elmina City. Penduduk tempatan menyukai taman yang indah ini, yang mempunyai beberapa tarikan menarik seperti laluan pelangi dan Jambatan Elmina yang ikonik.
Taman ini menawarkan pelbagai aktiviti, termasuk berjoging dan berbasikal, sesuai untuk lawatan bersama seisi keluarga.
3) Taman Persahabatan Selangor-Jepun

Kerjasama antara negeri Selangor dan pelabur Jepun telah meningkat sejak 10 tahun lalu. Bagi tanda sokongan pelabur Jepun terhadap potensi negeri Selangor, Taman Persahabatan Selangor-Jepun telah dibina.
Pembukaan taman itu sangat simbolik menggambarkan keakraban kerajaan negeri Selangor dengan Jepun. Taman tepi tasik yang terletak di Shah Alam ini dibuka kepada pengunjung secara percuma dari jam 10 pagi-7 malam pada setiap hari.
Antara tarikan di taman ini ialah Zen Garden, Maze Pool dan Tsukubai Torii Gate. Dengan landskap cantik yang kemas dan elegan, suasana damai dan jambatan kecil yang dikelilingi air tasik, ia benar-benar mencerminkan budaya masyarakat Jepun.
Anda juga boleh merasa seperti berada di negeri matahari terbit. Bayangkan diri anda dalam persalinan tradisional, menarik bukan?
4) Tamarind Square

Berkonsepkan reka bentuk bandar yang menghijau, pencinta alam pasti teruja untuk melaram dengan baju raya di sini. Dengan struktur bangunannya yang unik dan moden serta tumbuhan menjalar yang subur, Tamarind Square menyediakan ruang lapang yang selesa sepanjang sesi fotografi di sini. Terdapat juga beberapa kafe yang terdapat di Tamarind Square untuk bersantai sebelum sesi fotografi seterusnya!
5) Mural Safari di Pekan Diraja Klang

Mungkin ramai yang tidak tahu dengan kewujudan mural ini. Terletak di Pekan Diraja Klang, mural l bertemakan safari ini cukup menarik untuk dipotretkan sebagai kenang-kenangan, tanda anda sudah menjejakkan kaki ke sini.
Kanak-kanak pasti seronok dapat melihat pelbagai haiwan dalam warna-warna menarik. Mudah sahaja untuk sampai ke sini, hanya guna ‘google map’ dengan memasukkan destinasi Klang Art Street atau juga dikenali sebagai Safari Jejak Warisan.
6) Lover’s Bridge atau Jambatan Kekasih, Tanjung Sepat

Lover’s Bridge boleh dikatakan sebagai ikon yang paling terkenal di Tanjung Sepat. Walaupun jauh dari kawasan bandar, perkampungan nelayan ini tetap menjadi destinasi pelancongan popular bagi mereka yang mencari tempat untuk melihat matahari terbenam sambil ‘OOTD’ di sini.
7) Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah

Masjid yang gah ini dibina di atas kawasan seluas 14.6 hektar di pusat bandar Shah Alam. Turut dikenali sebagai ‘Masjid Biru’, ianya mempunyai ciri-ciri seni bina yang menarik dengan hiasan dalaman yang menakjubkan.
Tambahan pula, ianya merupakan masjid terbesar di Malaysia dan merupakan salah sebuah ikon pelancongan utama di negara ini. Masjid dengan kubah berwarna biru ini terletak indah di sebahagian Tasik Raja Lumu.
Jika ingin bergambar di sini, pastikan anda sopan bergaya dan tidak membuat bising. Cari sudut yang boleh merakam bangunan masjid ini, jangan sampai mengganggu orang lain untuk beribadah.
8) Istana Bandar Jugra

Terletak di Pekan Jugra, Kuala Langat, Istana Bandar di Jugra memberikan latar belakang nostalgia seperti zaman dahulu! Anda juga boleh bersiar-siar di sekitar Pekan Jugra sambil mencari sudut-sudut menarik yang boleh dirakam dan dikongsi ke platform media sosial.
Dengan deretan bangunan yang masih terpelihara sejak berpuluh tahun dahulu seperti Masjid Alaeddin, Muzium Insitu Jugra dan lain-lain tanpa sebarang bayaran masuk! - Getaran, 6 Mei 2023