Istana Ozu, yang terletak di Ehime Prefecture, merupakan istana pertama di Jepun yang membenarkan tetamu menginap di menara istana.
Ia dibina semula pada tahun 2004 menggunakan teknik tradisional yang berdaftar dengan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan dihidupkan semula untuk projek itu.

Pada tahun 2020, istana yang cukup mengagumkan ini telah membuka pintunya kepada tetamu dari seluruh dunia
Tetamu yang menghargai sejarah dan budaya pasti akan dapat menyelami kemegahan dan suasana seperti yang dilalui pemilik pertama istana ini, Sadayasu Kato pada tahun 1600-an.

Bukan itu sahaja, tetamu juga boleh menikmati makan malam bagaikan golongan bangsawan pada abad ke-17 di Garyu Sanso, sebuah kompleks kedai teh bersejarah yang terletak berhampiran. Kedua-dua tinggalan sejarah ini telah diisytiharkan sebagai Harta Budaya Penting Jepun.
Tidak jauh dari pantai Pulau Kyushu, Nagasaki Prefecture terletaknya Istana Hirado yang menempatkan menara istana bersejarah, Kaiju Yagura yang tersedia sebagai tempat percutian peribadi bagi mereka yang ingin menyelami budaya Hirado.
Kaiju Yagura telah diubah suai pada tahun 2020 dan bahagian dalamannya menampilkan gaya moden pada estetika Jepun dengan penekanan pada bahan semula jadi yang diperolehi daripada sumber tempatan.
Istana Hirado juga boleh mengatur pelbagai pengalaman kebudayaan yang unik, seperti Iaijutsu, seni bela diri pedang samurai yang melibatkan seni mencabut pedang dengan cepat, sesi menjamu selera persendirian oleh chef peribadi, dan menyewa kimono yang elegan untuk upacara minum teh di kuil Zen tempatan.
Bagi mereka yang bukan beragama Islam dan ingin menghayati atau mendalami sisi rohani masyarakat Jepun, penginapan di kuil mungkin menjadi pilihan.
Di salah sebuah kuil Buddha tertua dan terpenting di Jepun, Zenkoji, Nagano Prefecture, tetamu boleh menyertai aktiviti dan upacara keagamaan yang menjadi amalan penganut agama ini.

Selain itu, ia juga terkenal dengan shojin ryori (masakan tradisional Buddha) yang bermusim dan berasaskan buah-buahan dan sayuran tempatan. Bandar Nagano boleh diakses dengan mudah dari Stesen Tokyo dalam masa tempoh kurang 2 jam menggunakan shinkansen.
Mereka yang lebih suka pengalaman peribadi boleh memilih untuk menginap di kuil di Miidera, Shiga Prefecture. Selama beribu-ribu tahun, kuil ini telah mengalu-alukan kedatangan pemuja daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Kuartersnya yang berusia 400 tahun tersedia sebagai tempat percutian peribadi yang menawarkan pengalaman mengasyikkan untuk menghubungkan pelawat dengan Miidera dan budaya tempatan.
Tahun ini, pengunjung atau pengembara ke Jepun boleh menantikan pembukaan beberapa penginapan unik, termasuklah Istana Fukuyama di Hiroshima dan Istana Nakatsu, di Oita. - Getaran, 29 April 2023