Berita Terkini

2 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 1 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Faizal Tahir : Saya Akan Terus Menyanyi

Sentiasa beradaptasi sesuai suasana dan mencari kelainan dalam berkarya membuat kami ingin mengupas visi terbaharu Faizal Tahir. Dari pusat kota ke gelanggang kuda kami menjejakinya.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 08 May 2021 9:15AM

Gambar: Mohd. Azim Abd. Rahman

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Hujan lebat membasahi bumi tengah hari itu. Kawasan pejabat kami di Bangsar tidak terkecuali diguyur hujan. Seusai menunaikan solat Zohor, saya bergegas ke Putrajaya untuk menjemput pereka fesyen, Anuar Faizal yang telah sudi menaja pakaian untuk sesi penggambaran wajah TARA kali ini.

Pada awalnya, kami agak khuatir kerana hujan semakin lebat dan tidak menunjukkan sebarang tanda akan reda. Malah perasaan risau kami berasas kerana lokasi dan konsep penggambaran kali ini agak berbeza daripada sesi-sesi penggambaran wajah TARA sebelumnya.

Namun berbekalkan secebis doa kami gagahi juga curahan air mata bumi yang tidak berhenti.

Temu janji telah ditetapkan dan akhirnya kami tiba di Pusat Ekuestrian Maeps Rubinga (MREC) di Serdang, kawasan bangsal rekreasi kuda seperti yang telah dipersetujui.

Ya, kali ini kami mahu tampilkan sedikit kelainan. Alhamdulillah berkat doa di bulan Ramadan, Yang Esa mendengar doa kami dan hujan mula reda sedikit demi sedikit. Saya menarik nafas lega dan bersyukur, kerana jika hujan lebat berterusan mungkin sesi fotografi ini tidak akan berjalan seperti yang direncanakan.

Almaklum saya yang mencadangkan kelainan ini sebab saya tahu personaliti pilihan kami kali ini ‘bukan biasa-biasa’ kata anak muda zaman sekarang. Dia sentiasa mencari kelainan dan penampilannya sering menjadi bualan. 

Malaysia tak mungkin lupa saat dia membuka baju sewaktu membuat persembahan di sebuah konsert stesen TV swasta sehingga digam pihak kerajaan, lantas gagal membuat penampilan sulung di Anugerah Juara Lagu lebih sedekad yang lalu.

Kendati apa pun, ia tidak pernah menghalang pemilik nama penuh Ahmad Faizal bin Mohammad Tahir, yang juga wajah TARA kami minggu ini untuk terus berkarya. 

Malah, Faizal Tahir kini sebuah household name di Malaysia. Sebut sahaja namanya, pasti ramai yang mengenali orangnya. Dan jika anda pemerhati tegar industri hiburan Malaysia, anda akan sedar bahawa Faizal selalu berbeza dalam persembahannya. 

Membakar piano, memotong rambut di atas pentas, menyanyi dalam air, menyanyi memakai tongkat semasa kakinya tercedera sambil membuat persembahan dan ajnas aksi lain, semuanya pernah beliau lakukan. Mungkin itu nalurinya, selalu nak nampak lain dari yang lain.

Sebab itu jugalah saya terpaksa mengumpannya dengan konsep fotografi yang agak berbeza. Seperti yang saya jangkakan, dia termakan umpan sahabatnya ini, maka sebab itulah sampul digital kami menampilkan Faizal Tahir bersama Merida, salah seekor kuda miliknya.

“Pandai awak pujuk saya ya Shah,” katanya kepada saya selepas saya berikan tawaran unik menjadi wajah TARA kami kali ini. 

Bukannya apa, saya tahu memang susah untuk mencuri waktu seorang yang bernama Faizal Tahir. Dia bintang tersohor. Rockstar daddy beranak enam. Pemenang pelbagai anugerah muzik tempatan dan serantau. Jadi untuk sebuah jenama media baharu seperti kami, pasti susah untuk menarik perhatiannya. 

Biarpun saya pernah menulis lagu pertamanya ‘Mahakarya Cinta’ dahulu, itu bukan kepastian untuk meminjam waktunya. Saya tahu hanya mereka yang bernasib baik sahaja mampu mendapatkan waktunya.

Alhamdulillah, kami bertuah kerana pelawaan kami yang berbeza ini disambut baik. Sungguhpun begitu (seperti yang telah saya ramalkan jua), Faizal telah menetapkan beberapa syarat. Dia tidak mahu penataan gaya yang berlebihan. Dia mahukan look yang sangat mudah dan bersahaja. 

Tanpa berfikir panjang, saya turuti kemahuannya. 

Anything for Faizal Tahir,” saya berjenaka dengannya. Gurauan dalam kebenaran bunyinya. Namun jika kita kotakan janji, inshaAllah ia diberkati. Faizal memberikan kerjasamanya yang terbaik. Namun berbeza pula dengan Merida kuda betina miliknya di awal sesi.

“Kuda ni ada mood dia. Macam tuan dia,” seloroh Faizal lagi.

Jurugambar kami Azim Rahman telah diberi amaran tentang apa yang boleh dan tak boleh dilakukan semasa mengambil gambar dengan kuda. Azim akur dan bersabar menunggu detik yang dinanti-nantikan untuk mengabadikan gambar yang sudah kami visikan.

Syukur sekali lagi, bukan sahaja hujan berhenti malah puluhan tangkapan foto berjaya kami dapatkan petang itu. Merida berjaya diumpan dengan makanan dan belaian tuan kesayangannya. Lantas, terhasillah foto-foto cantik yang anda saksikan dalam petikan ini.

“Sejak bila mula berkuda ni?” tanya saya memulakan wawancara bersama Faizal.

“Sebenarnya saya memang sukakan kuda. Kebetulan mengikut kalendar Cina juga saya dilahirkan pada tahun kuda. Sungguhpun begitu isteri dan anak-anak saya sebenarnya yang beri inspirasi sebab mereka telah bermula dengan aktiviti memanah sambil berkuda beberapa tahun yang lalu. Lama sebelum saya menyertai mereka. 

“Pada awalnya saya sangat sibuk dengan kerja dan bila diajak, saya masih belum pasti. Ada terfikir rasa gayat juga mula-mula. Tetapi selepas dilanda pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, saya tidak dapat ke mana-mana. 

“Sebelum ini setiap hujung tahun saya akan bercuti ke luar negara bersama keluarga. Namun, sejak PKP dan ‘terperangkap’ di Malaysia, saya akhirnya mengambil keputusan untuk mengikuti aktiviti berkuda ini,” kata Faizal.

Apakala ditanya tidakkah dia berasa sukan berkuda ini memakan biaya yang tinggi selain reputasinya sebagai kegiatan yang agak mewah, Faizal punya penjelasan lengkap.

“Kita sering menyangka bahawa sukan berkuda ini mahal dan tampak mewah tapi sejujurnya ia tidaklah seperti yang disangkakan. Ia satu kegiatan yang mampu dilakukan oleh ramai orang. Ya benar, ada kuda yang berasal dari luar negara yang lebih mahal. Namun kuda-kuda tempatan lebih murah.

“Dan buat yang tidak tahu, kuda-kuda saya merupakan bekas kuda-kuda lumba yang sudah tidak boleh digunakan untuk berlumba lagi. Malah dalam sukan tersebut, kuda yang sudah tidak diperlukan perkhidmatannya akan dimatikan begitu sahaja.

 “Kala saya memikirkan situasi tersebut, saya berasa kasihan dan lebih termotivasi untuk memiliki beberapa kuda demi menyelamatkan haiwan-haiwan ini. Saya mungkin tak dapat menyelamatkan kesemuanya, tapi sekurang-kurangnya saya dapat melakukan sesuatu.

“Lagipun, dalam ajaran Islam kuda adalah haiwan yang disebut dalam sunnah Nabi Muhammad SAW Ia dikatakan haiwan yang ada di syurga. Memberi makan kepada kuda sahaja kita sudah dapat pahala yang besar, apatah lagi menjaga dan memelihara mereka,” jelas Faizal yang kini memiliki dua ekor kuda.

Menurut Faizal lagi, selain aktiviti berkuda dia juga bakal memulakan satu lagi perniagaan baharu.

“Sesiapa yang mengikuti aktiviti berkuda di kawasan sekitar ini juga mungkin tahu bahawa jalan yang digunakan untuk berkuda boleh digunakan untuk aktiviti pemanduan kenderaan serba permukaan (ATV).

“Saya juga meminati aktiviti ATV kerana ia sesuatu yang boleh dilakukan seisi keluarga. Saya fikir jika saya boleh lakukan sesuatu yang dapat memberi peluang kepada orang lain untuk menghabiskan waktu bersama keluarga dan sahabat handai, mengapa tidak? Ia mengeratkan silaturahim juga. 

“Selepas dihubungi oleh pihak Putrajaya Wetlands dan bermesyuarat, mereka akhirnya mahu saya mengetuai projek khas ATV ini dan saya bersetuju.

“Prinsip saya sekarang, jika apa yang saya lakukan dapat memberi manfaat kepada orang lain, saya mahu lakukannya. Saya ingin memberi sebanyak yang mungkin sementara saya masih hidup di dunia ini. Sudah cukuplah memikirkan diri saya sendiri,” ujarnya lagi.

Dengan kenyataan tersebut saya bertanya dengan terus terang. “Jadi Faizal tak nafikan yang Faizal pernah pentingkan diri sendiri. Pernah lalui saat berlagak diva?”

“Ya, saya mengaku. Dahulu pengurus saya Karim pun pernah saya marah habis-habisan, hanya gara-gara cermin mata hitam saya tiada untuk sebuah persembahan konsert. 

“Saya pernah membazir wang mengumpul gitar-gitar sehingga memiliki 60 buah gitar dan alat permainan mahal yang akhirnya tidak juga saya gunakan kesemuanya.   

“Saya pernah membuat orang marah dengan saya dan macam-macam lagi. Ya, saya pernah lewati kejutan budaya bergelar bintang di awal kerjaya. Tapi itu dulu. Sekarang dengan usia semakin meningkat semuanya dah berbeza.

Saya dapat lihat apa yang lebih penting dalam hidup serta saya percaya you get what you deserve. Apa yang kita tanam, itulah yang kita tuai. Baik dibalas baik dan sebaliknya,” bingkasnya panjang lebar.

Mungkin sebab itu jugalah Faizal mengumumkan yang dia ingin berehat seketika. 

“Tapi ramai yang salah faham. Saya bukan berehat dari bidang muzik dan membuat persembahan. Saya masih dan akan terus menyanyi. Saya perlukan wang untuk sara keluarga saya. Menyanyi dan muzik adalah mata pencarian saya.

“Maksud saya bila saya katakan berehat adalah, berehat dari mengeluarkan lagu atau album. Kepenatan untuk mempromosikan produk muzik sendiri setiap kali kita lancarkan sesuatu karya masa kini sangat berbeza dengan cara dahulu. Banyak prosesnya dan macam-macam yang perlu kita lakukan.

“Kepenatan itulah yang saya tak sanggup lalui dan membuat saya ingin berehat dari menghasilkan lagu atau album sendiri untuk sementara waktu. Namun saya akan terus menerbitkan karya artis lain.

“Jadi buah tangan terakhir saya sendiri buat sementara waktu ini adalah album Qibla yang menampilkan tiga lagu lama yang diberi nafas baharu. Ini termasuk lagu pertama dulu ‘Aku Tanpa CintaMu’ bersama kumpulan nasyid Mirwana serta Jay Jay, dan lagu raya pertama saya ‘Ceria Aidilfitri’.  

Turut dimuatkan sedutan audio khas bacaan surah-surah Al-Quran di samping maksud serta penjelasannya yang saya namakan segmen ‘Borak Barang Baik’, ia sering saya kongsi di media sosial saya,” kata Faizal menjelaskan kekeliruan.

Sejujurnya, saya lega dan gembira mendengar penjelasan tersebut, kerana saya salah seorang daripada ribuan peminat Faizal Tahir yang suka melihat dia beraksi di pentas.

Malah saya meminatinya sejak pertama kali mendengar suaranya sewaktu bersama kumpulan nasyid Mirwana 17 tahun yang lalu sehinggalah dia menyertai rancangan realiti ‘One In A Million’ kemudiannya. 

Persembahannya yang sentiasa lincah dan unik disulam dengan vokalnya yang mantap membezakan Faizal Tahir dengan ramai artis lain. Kebolehannya untuk beradaptasi mengikut peredaran zaman juga memberikannya satu kelebihan.

Walau bagaimanapun, dalam membicarakan kerjaya dan arah tujunya, sempat saya bertanya tentang sambutan Ramadan dan Syawalnya tahun ini.

“Alhamdulillah. Perbezaan paling ketara adalah gara-gara PKP dan pandemik tahun ini, saya mampu menyempurnakan solat tarawih saya setiap malam. Seperti tahun lalu 30 malam saya bertarawih bersama keluarga. Sebelum ini sangat sukar buat saya kerana terlalu sibuk dengan pekerjaan.

“Proses rakaman lagu sering dilakukan di waktu malam. Saya seringkali letih selesai kerja lewat malam atau awal subuh. 

“Kalau dahulu tarawih saya pasti di masjid, tapi sejak PKP ini dengan keluarga di rumah sahaja. Dan kali ini saya dapat melatih anak-anak lelaki saya untuk bergilir-gilir menjadi imam. Itu membuat saya bersyukur dan gembira.

“Untuk sambutan Aidilfitri pula tiada yang istimewa sangat tahun ini. Apatah lagi dengan keadaan PKP, kami akan beraya ala kadar sahaja memenuhi syarat.

“Seperti biasa saya akan ke rumah ibu bapa saya di Puncak Alam. Keluarga isteri saya pula di Selayang. Jadi kami akan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan,” ucapnya lagi.

Jadi buat yang merindukan karya baharu dari Faizal Tahir, berdamailah dengan keputusannya ini. Untuk sementara waktu dia tidak akan menghasilkan apa-apa produk muzik bagi dirinya sendiri.

Tapi jangan risau, seperti yang dia katakan, kita masih boleh melihat dirinya beraksi di acara-acara dan persembahan pentas kerana dia akan terus menyanyi. – Getaran, 8 Mei 2021

DI SEBALIK TABIR PEMBIKINAN WAJAH TARA - GETARAN

Wajah TARA : Faizal Tahir

Editor Getaran: M. Zulkifli Abd Jalil

Penyelaras & Teks : Shah Shamshiri

Suntingan : Ili Farhana

Penata Gaya & Arahan Seni : Shah Shamshiri

Pakaian : Anuar Faizal

Solekan & Dandanan: Jib Salim

Jurugambar : Azim Rahman

Video Belakang Tabir : Syeda Imran 

Suntingan Video : Muharram Kasim

Rekaletak: Hanif Zahari

Lokasi : Maeps Rubinga Equestrian Centre (MREC) (Terima Kasih Encik Abdul Latif Bin Abd Rani)





 

Isu Pada

Faizal Tahir : Saya Akan Terus Menyanyi

08 May 2021

Berita Berkaitan

1

Muzik 1 minggu yang lalu

'Cinta Tak Mungkin' Hadiah Raya Siti Nurhaliza

2

Muzik 3 bulan yang lalu

Tiket Konsert Siti Nurhaliza Licin Dijual Dalam Masa 2 Jam

3

Muzik 4 bulan yang lalu

Akhirnya Hindia Mendarat, Bawa Representasi Anak Muda

4

Muzik 5 bulan yang lalu

Noah Tidak Pernah Mengecewakan, Lebih 5,000 Peminat Terpukau Saksikan Konsert ‘Terakhir’

Sorotan

1

Lelaki Sindrom Down Melecur Disimbah Air Panas Dalam Lif

2

8 Aksi Pramusim Digunakan Untuk Uji Sistem VAR - Stuart

3

Misi Hantar Bantuan Kemanusiaan Ke Gaza Dengan Kapal Tetap Diteruskan - Ann Wright

4

PRK Kuala Kubu Baharu: Kerajaan Perpaduan Ada Kaedah Pastikan Calon Menang

5

Pemain Badminton Negara Pamer Kekuatan Mental Menjelang Piasa Thomas, Uber

6

Pelajar Sekolah Meninggal Dunia Ketika Acara Larian Rentas Desa

7

Lelaki Israel Miliki Senjata: 10 Individu Ditahan Bawah SOSMA