Hanya tinggal kurang daripada dua minggu lagi bagi umat Islam menyambut kedatangan bulan Ramadan. Pernahkah anda berhasrat untuk berbuka puasa di tempat dingin dengan hidangan yang sederhana serta harga berpatutan? Medan Selera Food Court SKY, Resort World Genting menyediakan sesuatu yang menarik.
Tempat makan yang berkonsepkan medan selera ini menyediakan sebuah hidangan yang diberi nama Setalam Ramadan. Set ini disediakan untuk dua orang makan dan penulis berpendapat ia sangat berbaloi untuk dinikmati ketika bulan Ramadan.
Dengan harga RM59, set ini di datang bersama talam yang menyediakan menu dua jenis masakan ikan sebagai lauk utama iaitu seekor ikan tilapia sambal dan ikan keli masak cili padi. Kedua-duanya memiliki rasa sensasi pedas yang mantap.
Turut disediakan bersama air asam dan sambal belacan sebagai penaik selera. Jadi, sesuailah hidangan ini dimakan di persekitaran yang dingin seperti Genting Highland ini!.
Didatangkan juga bersama kerabu daun selom dan ulam-ulaman sebagai sayur dan juga hidangan sampingan. Jadi sudah semestinya menu-menu ini akan dimakan bersama dua set nasi putih dan air teh ais lemon. Wow! Pastinya membangkitkan selera.
Tidak ketinggalan, buah-buahan dan kuih tempatan serta pencuci mulut seperti Sagu Gula Melaka disediakan bagi menutupi sesi berbuka puasa anda.

Menurut Chef Hapizi Hussain yang bertanggung jawab dalam menyediakan menu khas bulan Ramadan ini, cetusan idea bagi Setalam Ramadan ini merupakan set makanan berbuka puasa berasaskan masakan tradisional Melayu.
“Setalam Ramadan ini diinspirasikan daripada beberapa negeri yang berteraskan masakan melayu seperti Pahang dan perak. Jadi ini bagi memberi peluang pengunjung untuk merasai masakan tradisional di Genting dengan harga berpatutan,”katanya.
Oleh itu, penulis berpendapat set ini sangat berbaloi untuk dinikmati dengan harga RM59. Lengkap, puas dan sedap! Itu yang boleh digambarkan oleh penulis yang sudah merasai hidangan tersebut.

Jadi kepada anda yang yang sudah merancang untuk ‘naik’ Genting Highland pada bulan Ramadan seterusnya berbuka puasa disana secara santai, pastikan hadir ke sini untuk menikmati hidangan set Setalam Ramadan. - Getaran, 12 Mac 2023
Maklumat lanjut, anda boleh melayari laman sesawang rasmi ini.