Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang baharu sahaja dilantik, Datuk Kamil Othman bakal mengemukakan beberapa cadangan yang boleh memberikan penambahbaikan terhadap fungsi dan hala tuju agensi kerajaan tersebut dalam membantu mengembangkan dan memajukan industri perfileman tanah air.
Ketika diwawancara Getaran, Kamil berkata, dalam pertemuan bersama Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang bakal diadakan pada minggu hadapan, beliau akan mengemukakan beberapa cadangan yang masih belum dapat dilaksanakan sewaktu memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah FINAS sepanjang 2014 hingga 2016.
“Antara cadangan yang bakal saya kemukakan dalam pertemuan bersama YB Fahmi Fadzil nanti adalah untuk membincangkan tentang ‘eksport lokal’ yang sudah siap sepenuhnya.
“Kita harus buat filem yang bukan hanya setakat untuk tayangan dalam negara semata-mata , tetapi juga mempunyai potensi untuk dieksport untuk ke luar negara.

“Kita ambil contoh filem Mat Kilau yang telah pun berjaya mencapai kutipan RM100 juta. Selepas mencapai kutipan sebanyak ini untuk tayangan dalam negara atau serantau, kita harus meletakkan sasaran yang lebih jauh lagi.
“Misalnya, bagaimana RM100 juta kutipan Mat Kilau itu mampu dikembangkan kepada RM100 juta euro. Caranya adalah dengan mengeksport kandungan filem kita ke luar negara. Tapi, pada waktu yang sama, kita harus bikin filem yang berkualiti serta penceritaan yang orang luar boleh faham,” katanya.
Menurut Kamil lagi, dia juga akan menyentuh tentang aspek strategi dan pelan pemasaran terhadap produk kandungan filem tempatan di dalam pertemuan bersama Fahmi Fadzil kelak.
“Pelan pemasaran juga adalah salah satu aspek yang perlu diberikan tumpuan. Sebab kita selalu menyediakan dana untuk menghasilkan produk kandungan filem tetapi kita sering lupa tentang sudut pemasarannya.
“Disebabkan itulah, filem kita sukar memberikan impak yang besar. Melalui pelan pemasaran ini, kita berpeluang untuk memikirkan cara untuk memasarkan produk filem kita ke luar negara.
“Selain memastikan kualiti dan produk penceritaan yang bagus yang boleh difahami oleh orang luar, kita juga harus memikirkan bagaimana kita mampu memasarkan sama aspek budaya, pelancongan dan produk tempatan kita yang lain seperti makanan, kereta dan muzik di dalam filem kita.
“Itulah strategi yang dilakukan negara Korea lebih 15 tahun dahulu dan hari ini, kita dapat melihat bahawa produk filem, drama, muzik, budaya dan makanan mereka serta yang lain-lain telah dikenali di serata dunia,” katanya.

Jelas Kamil lagi, antara perkara yang perlu diberikan perhatian termasuk sistem arkib kita untuk yang menyimpan segala maklumat tentang produk filem tempatan yang dihasilkan selama ini.
“Kita memang ada menyimpan segala dokumentasi dan ia sudah pun boleh diperolehi dalam bentuk digital tapi malangnya, kita tidak memiliki statistik yang lengkap.
“Mungkin, kita harus memperkuatkan lagi polisi arkib. Apapun, saya akan mengkaji lebih mendalam lagi tentang perkara ini dan mungkin kita perlu melakukan banyak kerjasama dengan pihak RTM kerana mereka juga memiliki bahan arkib yang banyak,” katanya.
Dalam pada itu, Kamil berkata lagi, antara aspek lain yang perlu diberikan perhatian adalah tentang Akta FINAS.
“Sewaktu saya menjadi Ketua Pengarah, memang kita ada melakukan sedikit penambahbaikan terhadap Akta FINAS terutama dalam memastikan persediaan FINAS untuk menempuh dunia digital sepenuhnya.
“Tetapi, implementasinya terhenti apabila perkhidmatan saya di FINAS ditamatkan. Jadi, mungkin ini adalah antara perkara yang boleh ditimbangtara semula dan juga beberapa penambahbaikan lagi,” katanya.

Jelas Kamil lagi, dia gembira apabila dapat kembali semula ke FINAS dengan jawatan baharu tersebut kerana setidak-tidaknya dia dapat membantu untuk membuat dasar yang diperlukan demi kemajuan industri perfileman tempatan.
“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita dapat melihat progress industri perfileman kita. Dahulu, kita agak ragu-ragu dengan skil teknikal dan bakat kita dalam menjayakan sesebuah filem. Tapi, sejak beberapa tahun ini, standard itu sudah naik.
“Apa yang diperlukan sekarang adalah memastikan mmeperbetulkan lagi apa yang perlu di sana sini supaya produk filem dan bakat kita mampu berkembang dengan lebih besar lagi di luar negara,” katanya.
Perlantikan Datuk Kamil sebagai Pengerusi FINAS telah berkuatkuasa semalam dan ia telah diumumkan sendiri Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menerusi akaun Facebooknya.
Kamil menggantikan Senator Datuk Seri Zurainah Musa yang tamat tempoh perkhidmatannya pada Disember lepas. – Getaran, 25 Februari 2023